(DEFENCE SECURITY ASIA) — Korea Aerospace Industries (KAI) dilaporkan telah menawarkan penjualan pesawat pejuang generasi 4.5 yang sedang dibangunkannya, KF-21 Boramae kepada Arab Saudi.
Menurut laporan media asing, KAI baru-baru ini telah mengadakan pembentangan kepada pegawai Arab Saudi mengenai cadangan penjualan pesawat pejuang KF-21 itu.
Seorang pegawai industri pertahanan mengesahkan laporan media asing dan berkata, “Saya memahami bahawa laporan media asing itu adalah tepat.”
Penganalisis industri berpendapat bahawa salah satu kelebihan utama pesawat pejuang KF-21 yang sedang dibangunkan oleh KAI adalah kesesuaiannya (compatibility) dengan sistem persenjataan dari Amerika Syarikat dan Eropah sedang digunakan oleh tentera Arab Saudi, yang memberikannya fleksibiliti operasi yang lebih besar.
Selain itu, Tentera Udara Diraja Arab Saudi sememangnya sedang di dalam proses mencari pesawat-pesawat pejuang yang baru.
Terbaru, Arab Saudi dilaporkan sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi kira-kira 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkan oleh Turkiye.

Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” oleh Arab Saudi itu dikata telah dibincangkan ketika lawatan Panglima Tentera Udara Diraja Arab Saudi Putera Turki bin Bandar Al Saud ke Turkiye itu baru-baru ini.
Ketika lawatannya ke Turkiye itu, Putera Turki telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat pertahanan negara Mediterranean itu termasuk Roketsan, Aselsan dan syarikat pembuat “KAAN” iaitu Turkish Aerospace Industries (TAI).
“Lawatan Putera Turki ke Turkiye itu telah memberikan beliau dan delegasi Arab Saudi dengan maklumat terkini tentang kemampuan pesawat pejuang KAAN itu serta cadangan kerjasama strategik antara kedua-dua negara berkenaan pesawat pejuang generasi kelima itu, “ menurut laporan media pertahanan antarabangsa.
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan Arab Saudi dan Turkiye mahu mengeratkan hubungan pertahanan antara kedua-dua kuasa serantau itu.
Riyadh juga dilaporkan mempertimbangkan pembelian 54 pesawat Rafale dan sekiranya direalisasikan, ia akan menjadi pembelian pertama pesawat Perancis oleh Arab Saudi, mengikut jejak langkah negara-negara jiranya seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Oman dan Mesir.
Akhbar mingguan Perancis Le Tribune menyatakan bahawa Arab Saudi secara rasmi telah meminta harga bagi perolehan 54 pesawat pejuang Rafale itu daripada syarikat pembuatnya, Dassault Aviation.
Sebelum ini, akhbar Perancis itu dalam laporannya menyatakan bahawa kerajaan Arab Saudi bercadang memperolehi di antara 100 buah hingga 200 buah pesawat pejuang Rafale,yang turut digunakan oleh beberapa negara jiran Arabnya.
Selain Rafale, kerajaan Arab Saudi juga ditawarkan pembelian pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh konsortium negara Eropah dan juga pesawat pejuang F-15EX oleh syarikat Boeing.
Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Riyadh berhadapan masalah sebelum ini, selepas kerajaan Jerman pada 2018 bertindak menggantung penjualan sebarang senjata kepada Arab Saudi berikutan penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Bagaimanapun Jerman telah mengugurkan bantahannya terhadap penjualan Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi itu.
Minggu lepas, Ketua Staf Tentera Udara Korea Selatan Jeneral Lee Young-su melakukan penerbangan ujian yang pertama beliau dengan pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 Boramae yang kini kini berada di tahap terakhir program pembangunannya sebelum mula menyertai Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) pada tahun depan.
Pesawat pejuang KF-21 itu akan menggantikan pesawat-pesawat pejuang F-4 Phantom dan F-5 milik ROKAF.
Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) mula membina kumpulan pertama 20 buah pesawat pejuang KF-21 Boramae pada tahun lepas, bagi membolehkan pesawat pejuang itu memulakan operasinya untuk ROKAF bermula pada tahun.
Kontrak pembinaan 20 buah pesawat pejuang KF-21 Block 10 bernilai USD$1.41 bilion (RM6.65 billion) itu telah ditandatangani di antara KAI dengan agensi kerajaan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) pada tahun lepas.
“Dibawah perjanjian itu, KAI akan menghasilkan 20 unit pesawat pejuang itu dan menyediakan bantuan lojistik, manual teknikal dan latihan. Pesawat-pesawat pejuang itu akan berkhidmat untuk ROKAF pada akhir tahun 2026.”
— DEFENCE SECURITY ASIA