(DEFENCE SECURITY ASIA) – Peluru berpandu kruis lancaran udara (Air Launched Cruise Missile – ALCM) buatan tempatan Korea Selatan dipanggil Cheonryong ALCM atau Korean ALCM kini sedang menjalani ujian penerbangan menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50 di bandar Sacheon, yang merupakan pangkalan kepada syarikat Korean Aerospace Industries (KAI).
Peluru berpandu kruis Cheonryong ALCM merupakan komponen utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 Boramae.
Peluru berpandu kruis Cheonryong ALCM, yang dibangunkan sejak tahun 2018, direka untuk melaksanakan serangan tepat ke atas sasaran strategik bernilai tinggi seperti pusat komando bawah tanah pada jarak melebihi 500 kilometer.
Ia dibangunkan dengan teknologi stealth bagi mengelak daripada dikesan radar serta mengelak dipintas oleh musuh.
Dilengkapi sistem panduan navigasi berketepatan tinggi dan sistem pemanduan terminal, peluru berpandu kruis Cheonryong ALCM itu berkemampuan membedil sasaran dengan ketepatan dalam lingkungan beberapa meter sahaja.
Selain itu, ia juga mempunyai peledak khas yang berkeupayaan untuk menembusi dan memusnahkan struktur bawah tanah yang diperkuat dengan konkrit.
Oleh kerana fungsinya sebagai senjata serangan strategik, peluru berpandu Cheonryong ALCM diklasifikasikan sebagai aset strategik negara, sekaligus menghadkan usaha Korea Selatan untuk mengeksport peluru berpandu kruis ini ke negara-negara luar yang berminat.

Pembangunan peluru berpandu kruis ini — yang diterajui oleh Agency for Defense Development (ADD) dengan kerjasama syarikat-syarikat LIG Nex1 dan Hanwha Aerospace – menjadi tunjang utama kepada keupayaan pencegahan strategik udara masa depan Korea, serta faktor penarik dalam usaha menembusi pasaran eksport global pesawat pejuang.
Walaupun memiliki kepentingan strategik, perkembangan rasmi program pembangunan peluru berpandu kruis Cheonryong ALCM agak terbatas dalam beberapa tahun kebelakangan ini – disebabkan kekangan platform ujian.
Pada awalnya, peluru berpandu kruis jarak jauh ini dirancang untuk digabungkan dengan pesawat pejuang KF-21, namun kelewatan dalam pembangunan pesawat tersebut yang hanya dijangka siap sepenuhnya pada 2026 menyebabkan proses integrasi peluru berpandu kruis itu tergendala.
Sebagai langkah sementara, ADD telah berjaya menjalankan ujian pemisahan (separation tests) pada tahun 2021 menggunakan pesawat pejuang F-4 Phantom II Tentera Udara Republik Korea (ROKAF).
Bagaimanapun, persaraan pesawat pejuang F-4 pada Jun 2024 telah menimbulkan kebimbangan akan berlakunya jurang beberapa tahun dalam ujian penerbangan peluru berpandu kruis Cheonryong ALCM.
Nasib menyebelahi program pembangunan peluru berpandu kruis ini apabila pesawat pejuang ringan FA-50 telah dipilih sebagai platform ujian pengganti.
Sumber pertahanan memberitahu media Korea Selatan yang mengesahkan bahawa ujian penerbangan sebenar menggunakan peluru berpandu Cheonryong pada pesawat pejuang ringan FA-50 telah pun dimulakan sejak Disember 2024.
Seorang pegawai pertahanan daripada negara luar yang sedang menilai pesawat pejuang ringan FA-50 menyatakan kepada media Korea Selatan bahawa mereka tertarik melihat ujian tersebut dan kagum dengan potensi FA-50 yang semakin berkembang, termasuk keupayaannya membawa peluru berpandu generasi baru.
Walaupun pihak berkuasa pertahanan dan wakil industri Korea enggan mengulas secara terbuka atas faktor kerahsiaan, pihak Defense Acquisition Program Administration (DAPA) sebelum ini telah memaklumkan bahawa pesawat pejuang ringan FA-50 akan terus digunakan sebagai platform ujian Cheonryong ALCM sehingga program pembangunan penuh pesawat pejuang KF-21 Blok 1 siap pada 2026.
Ujian penerbangan Cheonryong ALCM juga dijangka menghidupkan semula perbincangan mengenai pendekatan terbaik dalam rancangan perolehan peluru berpandu udara ke darat negara itu, terutamanya isu pertindihan antara program peluru berpandu jarak jauh dan jarak sederhana.
Terdapat pihak yang mencadangkan agar peluru berpandu kruis Taurus KEPD 350 buatan Jerman turut diintegrasikan, manakala satu pendekatan lain sedang dibincangkan melalui kerjasama dua hala.
Pada tahun 2023, Taurus Systems GmbH dan LIG Nex1 telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Pameran Udara Seoul (ADEX) bagi membangunkan varian Taurus KEPD 350 lebih kecil, dikenali sebagai Taurus K2.
Satu lagi alternatif yang sedang dipertimbangkan ialah mengubahsuai peluru berpandu kruis Cheonryong ALCM agar sesuai untuk digunakan oleh pesawat pejuang ringan FA-50 tanpa perlu rekabentuk semula peluru berpandu itu secara menyeluruh.
Antara kaedah yang dicadangkan termasuk mengurangkan kapasiti bahan api atau berat kepada peledak – bagi menghasilkan varian Cheonryong ALCM yang lebih ringan dan kompak bersesuaian dengan keupayaan muatan yang boleh dibawa oleh pesawat pejuang FA-50.
Kaedah ini telah digunakan dalam peluru berpandu supersonik udara-ke-darat dan anti-kapal, yang sebelum ini telah diuji pada FA-50 dan bakal diguna bersama pesawat KF-21 pada masa hadapan.
Integrasi Cheonryong ALCM ke atas FA-50 bukan sahaja menjamin kesinambungan dalam pembangunan sistem peluru berpandu strategik Korea Selatan, malah mencerminkan usaha negara Asia Timur itu untuk memperkukuh keupayaan serangan FA-50 – sekali gus meningkatkan nilai eksport serta ketahanan industri pertahanannya dalam landskap keselamatan serantau yang semakin mencabar.
— DEFENCE SECURITY ASIA