Konflik Nagorno-Karabakh Semakin Meruncing

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Semalam menyaksikan pertempuran paling sengit di antara tentera Armenia dan Azerbaijan di wilayah rebutan, Nagorno-Karabakh sejak peperangan terakhir antara kedua-dua negara yang bertelagah pada 2016.

Kedua-dua pihak menerusi Kementerian Pertahanan masing-masing mengakui mengalami kemalangan jwa di kalangan anggota tentera dan orang awam.

Nagorno-Karabakh ini merupakan wilayah yang dimiliki oleh Azerbaijan tetapi majoriti besar penduduknya adalah berbangsa Armenia yang dalam tindakan unilateral mengisytiharkan wilayah di selatan Caucasus itu merdeka pada 1991 menyebabkan peperangan sehingga 1994.

Peta wilayah Nagorno Karabakh yang menjadi rebutan antara Armenia dan Azerbaijan.

Negara baru dinamakan sebagai Republik Artsakh dengan Stepanakert sebagai ibu negaranya, tetapi dunia tidak mengiktirafnya.

Pada 1991, tentera Armenia bersama milita bangsa Armenia di wilayah rebutan telah secara haram menduduki Nagorno-Karabakh, yang diakui masyarakat antarabangsa sebagai milik Azerbaijan.

Konflik di Nagorno-Karabakh ini telah berlaku sejak lama lagi tanpa sebarang jalan penyelesaian.

Ia bermula sejak 1918 apabila Armenia dan Azerbaijan merdeka daripada empayar Russia dan menuntut Nagorno-Karabakh sebagai sebahagian daripada wilayah negara sehingga mencetus peperangan pada 1920-an.

Konflik di selatan Caucasus itu sentiasa berlaku walaupun Kesatuan Soviet yang mengambilalih Empayar Russia mewujudkan Nagorno Karabakh Autonamous Oblast (NKAO) untuk mentadbir wilayah itu pada 1923.

Dalam pertempuran terbaru yang bermula pada pagi Ahad (waktu tempatan),  Azerbaijan mendakwa pihak Armenia melepaskan tembakan ke arah kawasan awam di Nagorno-Karabakh itu menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan orang awam.

Tentera Armenia juga didakwa melepaskan tembakan senjata kaliber besar seperti artileri dan mortar terhadap kedudukan tentera Azerbaijan di sepanjang garisan tentera yang memisahkan kedua-dua negara di Nagorno-Karabakh.

Berikutan apa yang didakwa sebagai tindakan provokasi oleh tentera Armenia itu, tentera Azerbaijan telah bertindak balas dengan membalas serangan.

Kementerian Pertahanan Azerbaijan mengatakan ia telah mengarahkan serangan udara terhadap kedudukan tentera Armenia yang didakwa telah memusnahkan 12 sistem pertahanan udara “Osa” (SA-8 Gecko) dan sistem pertahanan udara yang lain.

Dibawah adalah video yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Azerbaijan, menunjukkan serangan udara terhadap kedudukan tentera Armenia.

“Serangan roket dan tentera termasuk helikopter juga dilancarkan terhadap pusat kawalan dan pemerintahan musuh, memusnahkan banyak kelengkapan dan kemudahan tentera musuh,” kata Kementerian Pertahanan Azerbaijan.

Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dalam satu kenyataan terhadap seluruh negara menerusi televisyen berkata negara itu akan membalas terhadap setiap serangan yang dilakukan oleh tentera Armenia.

“Semoga Allah S.W.T memelihara roh pejuang-pejuang yang terbunuh,” katanya.

Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan pula berkata, ia menyokong segala tindakan yang diambil oleh Azerbaijan dalam usahanya di Nagorno-Karabakh dan menyifatkan Armenia “batu penghalang utama terhadap kedamaian serantau.”

Azerbaijan dan Turkey berkongsi budaya dan sejarah.

Sementara itu Kementerian Pertahanan Armenia dalam satu kenyataan berkata, ia terpaksa melancarkan tindakan ketenteraan bagi membalas serangan oleh tentera Azerbaijan.

Serangan itu telah memusnahkan pos-pos peninjau, kenderaan tentera, pengkalan kawalan dan pemerintahan dan helikopter, katanya dan menambah, ia juga mengeluarkan video yang menunjukkan “kejayaan serangan” tentera Armenia itu.

Admin sertakan video di bawah.

Video itu didakwa menunjukkan kejayaan serangan tentera Armenia memusnahkan beberapa kenderaan tentera Azerbaijan termasuk kereta kebal T-72, kenderaan BMP-3 Infantry Fighting Vehicles dan kenderaan bagi unit kejuruteraan.

Perdana Menteri Armenia Nikola Pashiyan dalam satu kenyataan berkata, serangan pihaknya adalah reaksi balas terhadap tindakan ketenteraan yang dilakukan oleh Azerbaijan.

Apa yang dibimbangi kini adalah konflik di Nagorno Karabakh ini akan meluas dengan pembabitan lebih ramai pemain-pemain antaranya Turki dan Russia yang mempunyai treati pertahanan dengan Armenia.

Sebelum ini juga terdapat dakwaan, Turki telah mengirimkan ribuan pejuang Syria untuk berjuang bersama-sama tentera Azerbaijan di Nagorno-Karabakh, manakala Armenia pula mengerahkan secara rahsia pejuang Kurdish/YPG ke wilayah bergolak itu.

Tentera Turki dan Azerbaijan turut mengadakan latihan bersama baru-baru ini.

Bagaimana pula Russia, apa langkah seterusnya?

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

ArmeniaAzerbaijanKonflikNagorno KarabakhTurki
Comments (0)
Add Comment