Tiada Komponen Israel Dalam Pesawat FA-50 Block 20 Ditawarkan Kepada TUDM

Defence Security Asia dimaklumkan bahawa pesawat FA-50 Block 20 keluaran syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) yang ditawarkan kepada Malaysia tidak akan menggunakan sebarang komponen buatan syarikat pertahanan Israel.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Masih ramai yang bertanya sama ada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) boleh menerima penggunaan pesawat FLIT/LCA FA-50 Block 20 keluaran syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) berikutan pesawat itu menggunakan beberapa sistem keluaran firma pertahanan Israel.

Jawapannya adalah sudah tentu Malaysia tidak akan menggunakan sebarang sistem pertahanan yang dikeluarkan oleh firma-firma pertahanan Israel.

Jadi bagaimana dengan pesawat FA-50 Block 20 yang menyertai tender Kementerian Pertahanan untuk 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA)?

Adakah ini bermakna pesawat FA-50 Block 20 itu sudah terkeluar daripada saingan, kerana pesawat itu menggunakan beberapa sistem buatan firma pertahanan Israel?

Jawapan pendeknya adalah tidak, malah pesawat FA-50 Block 20 itu adalah di antara frontrunner dalam persaingan tender Kementerian Pertahanan, yang dijangka diumumkan oleh kerajaan dalam suku pertama tahun depan itu.

Ini kerana admin dimaklumkan oleh sumber yang boleh dipercayai bahawa KAI akan menukarkan sistem-sistem buatan firma pertahanan Israel di dalam pesawat FA-50 Block 20 dengan sistem-sistem buatan firma pertahanan Amerika Syarikat serta Korea Selatan.

“Tidak akan ada peralatan buatan syarikat Israel di dalam pesawat FA-50 yang ditawarkan kepada Malaysia. Peralatan-peralatan Israel itu akan digantikan dengan peralatan Amerika Syarikat dan Korea Selatan,” kata sumber itu kepada Defence Security Asia.

Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang mengenai perkara itu.

Langkah menggantikan komponen Israel dengan komponen Amerika Syarikat dan Korea Selatan itu adalah untuk memastikan pesawat itu dapat memenuhi syarat ketat kerajaan Malaysia yang tidak mahu menerima apa-apa sistem pertahanan yang memiliki komponen yang diperbuat oleh firma-firma pertahanan Israel.

Komponen-komponen di dalam pesawat FA-50 Block 20 yang diperbuat oleh firma pertahanan Israel adalah suite Peperangan Elektronik (Electronic Warfare Suite) dan radarnya.

Antara syarikat-syarikat lain yang turut bersaing dalam tender bernilai berbilion ringgit itu adalah Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Corporation (CAC) daripada untuk pesawat JF-17 “Thunder”, Hongdu Aviation Industry Group (HAIG) untuk pesawat Hongdu L-15B dan Leonardo untuk pesawat Aermacchi M-346.

Syarikat-syarikat lain termasuk Irkut Corporation untuk pesawat Yak-130 dan Boeing untuk pesawat T-7 Red Hawk serta Hindustan Aeronautics Limited (HAL) yang menawarkan pesawat Tejas.

Pesawat FA-50 buatan KAI itu menggunakan enjin General Electric F404 yang dikeluarkan oleh syarikat GE Aviation daripada Amerika Syarikat.

Pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan oleh KAI kepada Malaysia secara amnya dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan canggih seperti “Sniper Advance Targeting Pod,” 20mm gun, peluru berpandu AIM-9, GBU-12 LGB Integration,  GBU-38 JDAM (Joint Direct Attack Munitions) dan peluru berpandu AGM-65 Maverick.

Selain itu, pesawat FA-50 Block 20 itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan Air-To-Air Refuelling Probe (AAR Probe) untuk melakukan pengisian minyak di udara dan Link 16 Block Upgrade 2.

Kemudahan AAR Probe itu akan memastikan pesawat FA-50 Block 20 itu berkemampuan beroperasi pada jarak yang lebih jauh dan lebih lama.

Selain itu terdapat juga opsyen untuk kerja-kerja menaiktaraf pesawat FA-50 Block 20 itu yang boleh dilakukan pada masa depan kerana perkara yang akan dinaiktaraf itu masih di dalam proses pembangunan pada ketika ini oleh KAI.

Antaranya, termasuklah 300 gelen External Fuel Tanks dan kemampuan Beyond Visual Range (BVR) dalam bentuk peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 (AMRAAM).

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

FA-50 Block 20featuredKAIMalaysiaTUDM