Keengganan Amerika Kongsi Teknologi Radar AESA Hampir “Tenggelamkan” Program KF-21 “Boramae”

Keengganan Washington berkongsi teknologi pembuatan radar AESA dengan Korea Selatan dalam projek pesawat KF-21 itu hampir-hampir menjerumuskan keseluruhan program pembangunan pesawat pejuang kebanggaan industri pertahanan negara Asia Timur itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Selatan terpaksa membangunkan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) sendiri untuk digunakan oleh pesawat generasi 4.5 buatannya, KF-21 “Boramae” selepas Amerika Syarikat yang merupakan sekutu tegarnya, enggan berkongsi teknologi untuk membangunkan radar itu.

Keengganan Washington berkongsi teknologi pembuatan radar AESA dengan Korea Selatan dalam projek pesawat KF-21 itu hampir-hampir menenggelamkan keseluruhan program pembangunan pesawat pejuang kebanggaan industri pertahanan negara Asia Timur itu.

Namun, Defense Acquisition Program Administration (DAPA), sebuah agensi pertahanan milik kerajaan Korea Selatan berpendapat syarikat-syarikat negara itu berkemampuan untuk membangunkan radar AESA-nya sendiri tanpa mendapatkan bantuan teknologi daripada Amerika Syarikat.

Radar AESA yang dibangunkan oleh syarikat tempatan,Hanwha Systems untuk pesawat KF-21 “Boramae”.

 

DAPA memilih syarikat tempatan, Hanwha Systems untuk membangunkan radar AESA bagi pesawat KF-21 dan pada Ogos 2020, prototaip radar AESA bagi pesawat generasi 4.5 dipanggil “F-22 versi Asia”  itu telah didedahkan pada awam buat pertama kali.

Pesawat pejuang KF-21 itu dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).

Menurut Hanwha Systems, radar AESA bagi pesawat KF-21 itu disifatkan sebagai “mata dan otak pesawat” bagi  membolehkan ia “melihat” dengan lebih jauh segala bentuk ancaman yang mendatang.

“Radar AESA KF-21 adalah satu daripada sensor avionik yang paling penting yang melaksanakan pelbagai misi seperti pemantauan, pengesanan sasaran udara dan darat serta menghasilkan imej-imej video,” menurut syarikat Korea Selatan itu.

Pihak DAPA menggunakan pesawat khas (test-bed aircraft) Boeing 737 untuk mengadakan ujian terhadap radar AESA yang dibangunkan oleh Hanhwa untuk digunakan pada pesawat KF-21 itu.

Radar AESA bagi KF-21 itu direka untuk mengesan dan mengenalpasti pelbagai sasaran serentak pada jarak ratusan kilometer (kemampuan sebenar masih dirahsiakan).

Pesawat test-bed digunakan untuk uji radar AESA dibangunkan oleh Hanwha Systems.

 

Selain melengkapi pesawat KF-21 dengan radar AESA, syarikat Hanwha dan DAPA juga merancang untuk melengkapkan pesawat-pesawat pejuang negara itu dengan radar moden yang dibangunkannya sendiri itu.

Pembangunan radar AESA bagi pesawat KF-21 itu merupakan cubaan kali pertama Korea Selatan terhadap pembuatan radar AESA yang kini merupakan komponen penting bagi pengoperasian pesawat-pesawat termoden dunia.

Berbanding radar PESA (Passive Electronically Scanned Array), radar AESA mempunyai pelbagai kelebihan termasuk jarak pengesanan sasaran yang lebih jauh dan tepat walaupun sasaran itu bersaiz kecil,  sukar dikesan oleh musuh serta kemampuan ia untuk menahan daripada tindakan “jamming” oleh musuh.

Sebab itu, negara-negara di dunia  ini mahukan pesawat pejuang mereka dilengkapi dengan radar-radar AESA.

Bagaimanapun, untuk menghasilkan radar AESA adalah amat susah dan hanya beberapa negara sahaja yang memiliki kemampuan untuk membangunkan radar AESA.

Pesawat KF-21 dengan empat butir peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor” BVR ketika melakukan penerbangan sulung tahun lepas.

 

Malah Russia juga dikatakan berhadapan dengan kesukaran untuk menghasilkan radar AESA.

Negara-negara yang berkeupayaan membangunkan radar AESA di dunia adalah terbatas kepada negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Sweden, Perancis dan Israel.

Penglibatan syarikat Hanwha Systems dalam pembangunan radar AESA, nampaknya, semakin mendalam apabila ia menandatangani perjanjian dengan syarikat Leonardo daripada Itali untuk membangunkan pula radar AESA untuk digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang ringan.

Perjanjian antara kedua-dua syarikat itu ditandatangani ketika Pameran Udara di Paris pada June lepas.

Hanwha dan Leonardo bercadang membangunkan radar AESA untuk digunakan pesawat pejuang yang berada dipasaran pada ketika ini. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AESABoramaefeaturedHanwhaKF-21Radar