Kerajaan Malaysia Meterai Perjanjian Pajakan 28 Buah Helikopter Kegunaan Pelbagai Agensi

Pada Majlis Menandatangani Perjanjian Perolehan Helikopter yang berlangsung di Putrajaya itu, kerajaan diwakili oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar manakala Weststar Aviation diwakili oleh pengerusinya Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu, kerajaan telah memeterai perjanjian dengan Weststar Aviation Sdn Bhd untuk mengoperasi 28 buah helikopter kegunaan kementerian, tentera dan juga agensi kerajaan menerusi kaedah pajakan.
Pada majlis menandatangani berlangsung di Putrajaya itu, kerajaan diwakili oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar manakala Weststar Aviation diwakili oleh pengerusinya Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim.
“Perjanjian ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan keupayaan operasi agensi berkaitan, terutama dalam melaksanakan tugas-tugas kritikal yang memerlukan sokongan logistik udara.”
“Pendekatan penswastaan melalui pajakan aset ini adalah langkah strategik yang bukan sahaja meningkatkan keberkesanan perolehan tetapi juga memastikan penggunaan sumber secara lebih cekap dan optimum.”
“Ia merupakan kaedah inovatif yang mampu menjimatkan kos jangka panjang tanpa menjejaskan kualiti atau fungsi aset yang diperoleh,” menurut Ketua Setiausaha Negara dalam posting FB beliau beberapa hari lalu.
Pada November lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi keselamatan negara yang lain akan mengoperasi 28 buah helikopter menerusi kaedah pajakan.
Leonardo AW149
Bercakap pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat, beliau berkata, perolehan secara pajakan helikopter-helikopter itu melibatkan kontrak bernilai RM16.5 billion untuk tempoh 15 tahun.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jenis helikopter yang dipajak oleh kerajaan mahupun syarikat yang terlibat dalam kontrak pajakan itu.
“Perolehan secara pajakan aset ini merupakan kali pertama dibuat dan dilaksanakan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) JPM. Perolehan ini melibatkan kontrak bernilai RM16.546 billion untuk tempoh sewaan selama 15 tahun.”
“Ia melibatkan 28 buah helikopter dan akan memberikan manafaat bukan sahaja pada ATM tetapi juga kepada agensi-agensi keselamatan negara yang lain,” kata beliau.
Menurut Menteri Pertahanan, di bawah kontrak pajakan itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima dua buah helikopter manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjadi penerima terbesar dengan 12 buah helikopter.
(kredit FB Samsul Azri Abu Bakar)
Sementara itu Polis Diraja Malaysia akan menerima tujuh buah helikopter, empat buah bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menerima dua buah helikopter dan Jabatan Perdana Menteri akan menerima sebuah helikopter.
Mohamed Khaled berkata, tujuan utama kontrak sewaan melibatkan 28 buah helikopter itu adalah untuk memenuhi keperluan agensi pengguna, menjalankan operasi udara harian dan misi misi tertentu selain peperangan.
Mengenai kos kontrak pajakan 28 buah helikopter itu yang mencecah RM16 billion untuk tempoh selama 15 tahun, beliau menyifatkan kos itu adalah “amat wajar”.
“Kerajaan berpandangan bahawa kos tersebut adalah wajar kerana ia merangkumi pembekalan helikopter, pelindungan insuran, perkhidmatan Maintenance, Repair and Overhaul (MRO), termasuk alat alat gantian dan simpanan, kursus dan latihan serta penyelenggaran luar pangkalan,” kata beliau.
Melalui kaedah pajakan itu kata Menteri Pertahanan, isu utama yang akan diatasi adalah ketersediaan dan kesiapsiagaan pesawat helikopter sedia ada.
Pihak syarikat katanya, perlu memastikan tahap ketersediaan dan kesiapsiagaan helikopter yang dibekalkan adalah pada tahap minimum — 85 peratus dan agensi-agensi (keselamatan negara) mendapat jaminan jam penerbangan mengikut keperluan masing-masing.
Leonardo AW149
“Melalui konsep pajakan ini maka ia bermakna pihak end-user seperti ATM dan perkhidmatan di dalamnya tidak perlu memberikan kontrak MRO atau pun membeli spare parts dan sebagainya.”
“Semua dikendalikan oleh syarikat yang melakukan pajakan ini dan pajakan ini adalah pajakan To-Own bermakna selepas 15 tahun, kerajaan diberikan pilihan untuk membeli kesemua 28 helikopter itu pada harga nominal RM1 sahaja. “
Menteri Pertahanan menjelaskan bahawa selepas 15 tahun nilai setiap helikopter itu adalah dianggarkan antara RM30 juta hingga RM50 juta bagi setiap unit tetapi kerajaan ditawarkan hanya RM1 untuk membelinya. — DSA
featuredHelikopterKerajaanPajakanWeststar
Comments (0)
Add Comment