(DEFENCE SECURITY ASIA) — Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri telah secara rasmi memilih nama “Tarantula”” sebagai nama kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4×4) yang dihasilkan oleh syarikat tempatan, MILDEF International Technologies Sdn Bhd.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, nama “Tarantula” itu adalah berdasarkan kepada spesis labah-labah daripada keluarga Theraphosidae atau di Asia digelar ‘Earth Tiger’.
“Saya sangat berbesar hati diberi peluang melancarkan dan menamakan kereta perisai tempatan buatan Malaysia sebagai Tarantula.
“Kereta perisai ini melalui pelbagai ujian daripada kumpulan uji nilai Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Kementerian Pertahanan.
“Dari segi ujian atas jalan raya selama sembilan hari, ia merangkumi perjalanan 700 kilometer (km) dan 300 km lagi ujian panduan ‘offroad’.
Ismail Sabri berkata, apa yang ditonjolkan MILDEF membuktikan bakat dan syarikat tempatan juga mampu menghasilkan kenderaan pertahanan berkualiti seperti dihasilkan negara luar, malah lebih hebat.
Kementerian Pertahanan katanya, komited untuk terus menumpukan industri pertahanan dalam usaha memastikan Malaysia tidak lagi bergantung terhadap ‘produk’ negara luar.
“Kementerian akan memberi fokus industri pertahanan supaya pakar dalam negara iaitu anak Malaysia mampu keluarkan senjata sendiri bagi mengelak pergantungan dengan negara luar.
“Sebelum ini, kita berjaya menghasilkan peluru, komponen pesawat dan kita sedang membina kapal perang. Dari segi fokus, kita akan mengeluarkan lebih lagi untuk industri pertahanan.
“Saya harap Tarantula ini bukan saja mampu digunakan dalam negara, tetapi di luar negara kerana kualiti ketahanannya. Syarikat tempatan juga perlu fokus pasaran luar negara supaya tidak bergantung pasaran tempatan untuk membeli produk ini,” katanya.
Dilengkapi sistem persenjataan moden bersama pelancar grenet, kenderaan berperisai ini direka menggunakan sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) yang membolehkannya menembak secara 360 darjah ketika bertempur, memberikan keupayaan untuk menembak sasaran menggunakan sistem kawalan jauh dengan bantuan skrin paparan.