Sebuah Lagi Kapal TLDM, KD Rencong Dikerah Untuk “Shadow” Aktiviti Kapal Penyelidikan China

Kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 yang kini berada dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara di luar pantai Sarawak, mensasarkan kawasan perairan ZEE Malaysia yang kaya dengan khazanah minyak dan gas.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan dilaporkan telah mengerah sebuah lagi kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Rencong yang dibina di China untuk membayangi (shadow) dan memantau aktiviti kapal penyelidikan negara itu, Haiyang Dizhi 8 yang menceroboh kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) milik negara.

KD Rencong merupakan kapal peronda Littoral Mission Ship (LMS) Batch 1 daripada kelas-Keris yang berpangkalan di Kota Kinabalu dan ia dipercayai dihantar ke kawasan perairaan ZEE negara itu untuk membantu sebuah lagi kapal TLDM.

Beberapa hari lepas, kapal bantuan TLDM KA Bunga Mas 5 seberat 9,000 tan dilapor dikerah ke lokasi pencerobohan oleh kapal China itu untuk membayangi dan memantau aktiviti haram oleh kapal-kapal China itu.

Kredit @GordionKnotRay

 

Ketika “berada” di dalam perairan ZEE Malaysia, kapal penyelidik China itu “dikawal” oleh sebuah kapal pengawal pantai negara itu, CCG 5202 dan tiga buah kapal militia maritim negara itu.

Menurut penyelidik Raymond Powell menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya di @GordionKnotRay menyatakan bahawa KD Rencong milik TLDM tiba di lokasi “pencerobohan” kapal penyelidik China dalam kawasan perairan ZEE Malaysia itu daripada Singapura.

“Walaupun Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali) itu berada di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE), tetapi China mendakwa ia sebagai pemiliknya,” menurut ciapan beliau dalam akaun Twitternya itu.

Ray, bekas kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat adalah ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford.

Kapal peronda KD Rencong seberat 700 tan dan panjang 69 meter merupakan satu daripada empat kapal LMS Batch 1 yang dibina di China beberapa tahun lepas.

Ia hanya dilengkapi meriam 30mm serta mesingan 12.7mm.

Kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8

 

Dibina dengan kos RM1.17 bilion, keempat-empat kapal LMS Batch 1 itu — KD Keris, KD Sundang, KD Badik dan KD Rencong telah disiapkan dalam tempoh ditetapkan dan telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM.

Malaysia memperolehi empat buah kapal LMS Batch 1 itu yang dibina secara bersama antara Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.

Kesemua kapal LMS Batch 1 itu memasuki inventori TLDM secara berperingkat mulai Januari 2020 hingga Disember 2021 dan kini sedang beroperasi sepenuhnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

Kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 yang pernah mencetus insiden di perairan ZEE Malaysia tiga tahun lepas, dilaporkan telah kembali ke perairan ZEE Malaysia beberapa hari lepas, dipercayai untuk melakukan kerja-kerja kajian dasar laut.

Kapal penyelidik Haiyang Dizhi 8 itu dipercayai mensasarkan kawasan-kawasan perairan ZEE Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas serta menempatkan aktiviti cari gali minyak dan gas membabitkan Petronas dan rakan-rakan perniagaannya.

Kapal penyelidik Haiyang Dizhi 8 kelihatan menunda sonar ketika berada di perairan ZEE Malaysia pada April 2020. (AMTI)

 

Tiga tahun lepas, kapal penyelidik China itu dikesan beroperasi di lokasi perairan berhampiran dengan aktiviti kapal ultra drillship, West Capella yang dikontrak oleh Petronas untuk menjalankan kerja-kerja penggerudian.

Aktiviti dilakukan oleh kapal penyelidik China itu di kawasan perairan ZEE Malaysia tiga tahun lepas itu bukan sahaja menarik perhatian kapal-kapal daripada TLDM dan penguatkuasa Malaysia yang lain, tetapi ia juga telah menarik respons daripada tentera Amerika Syarikat.

Pada April 2000 itu, tiga buah kapal perang Amerika Syarikat iaitu USS America, USS Bunker Hill dan USS Barry serta sebuah kapal perang Australia, HMAS Parramatta telah menghampiri West Capella yang berhadapan dengan “gangguan” daripada kapal-kapal China itu.

Washington juga mengerah kapal Littoral Combat Ship (LCS) Amerika Syarikat USS Gabrielle Gifords yang berpangkalan di Singapura untuk menghampiri perairan di mana kapal penyelidik China Haiyang Dizhi 8 sedang beroperasi itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

ChinafeaturedKapalKD RencongMINDEF
Comments (0)
Add Comment