Sebuah Lagi Kapal Perang Russia Dibedil Peluru Berpandu Ukraine?

Jikalau dakwaan bahawa kapal friget “Admiral Makarov” sememangnya telah terkena bedilan peluru berpandu “Neptune” tentera Ukraine, ia sudah semestinya akan melemahkan lagi moral anggota tentera laut Russia yang terpaksa berhadapan dengan kehilangan kapal kruiser “Moskva” kira-kira tiga minggu lepas.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan media Ukraine dan Barat mendakwa sebuah lagi kapal perang Russia, friget “Admiral Makarov” telah dibedil oleh peluru berpandu anti-kapal “Neptune” yang dilancarkan oleh tentera Ukraine ketika ia berada berhampiran Pulau Zmiiny (Snake Island) di Laut Hitam kira-kira jam 23.00 (waktu tempatan) pada 5 Mei.

Kapal “Admiral Makarov” adalah kapal friget Tentera Laut Russia daripada kelas-Admiral Grigorovich.

Buat masa ini, dakwaan mengatakan bahawa kapal friget Russia itu yang memulakan khidmat pada 2017 itu masih belum tenggelam tetapi mengalami kerosakan yang teruk akibat hentaman daripada peluru berpandu anti-kapal yang dilancarkan oleh tentera Ukraine.  

Gambar didakwa menunjukkan kapal friget, Admiral Makarov sedang terbakar.

 

Pemerhati konflik Russia-Ukraine mendakwa Moscow telah mengirimkan beberapa buah kapal penyelamat ke lokasi terakhir di mana kapal “Admiral Makarov” itu dikesan.

Setakat ini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak tentera Ukraine mahupun Russia tentang dakwaan yang berlegar tentang insiden yang menimpa kapal friget “Admiral Makarov”di Laut Hitam itu.

Oleh kerana itu, laporan media Ukraine dan Barat itu masih dianggap sebagai hanya suatu dakwaan sahaja sehinggalah terdapat pengesahan rasmi.

Sistem peluru berpandu anti-kapal “Neptune”

 

Bagaimanapun seorang ahli politik Ukraine yang juga merupakan Jawatankuasa Wilayah Odessa, Oleksiy Goncharenko menulis di dalam akaun Telegramnya yang mengesahkan kejadian yang menimpa kapal perang Russia itu.

“Kapal friget Tentera Laut Russia, Admiral Makarov sedang terbakar pada ketika ini.Ya, ya anda betul. Tuhan Lautan sedang membalas dendam terhadap mereka yang mendera Ukraine,” kata ahli politik Ukraine itu sebagaimana dipetik oleh portal berita, Euro Weekly.

Selepas kejadian dimana kapal kruiser kelas-Slava “Moskva” disahkan tenggelam akibat dibedil oleh peluru berpandu “Neptune’ di Laut Hitam pada 14 April yang lalu, semua pihak kini mengambil serius tentang sebarang dakwaan mengatakan kapal perang Russia dibedil oleh peluru berpandu Ukraine.  

Kapal perang “Moskva” Tentera Laut Russia selepas ia terkenal bedilan “Neptune”

 

Penenggelaman kapal perang “Moskva” seberat 11,000 tan oleh Ukraine itu membuktikan Russia berhadapan dengan kesukaran untuk menguasai perairan Ukraine.

Beberapa hari lepas, dua buah bot kombat “Raptor” Russia juga berjaya ditenggelamkan oleh pesawat tanpa pemandu Bayraktar TB2 milik Tentera Ukraine.

Jikalau dakwaan bahawa kapal friget “Admiral Makarov” itu terkena bedilan peluru berpandu “Neptune” tentera Ukraine, ia sudah semestinya melemahkan lagi moral anggota tentera laut Russia yang terpaksa berhadapan dengan kehilangan “Moskva” kira-kira tiga minggu lepas.

Snake Island

 

Berbanding dengan “Moskva” yang dibina ketika era Soviet Union,  kapal friget “Admiral Makarov” merupakan sebuah kapal perang yang baru sahaja dibina pada 2012 dan memulakan operasi pada 2017.

Memiliki berat kira-kira 4,000 tan,kapal friget “Admiral Makarov” itu turut dilengkapi dengan sistem peluru berpandu anti-kapal/permukaan P-800 “Oniks”, sistem peluru berpandu anti-pesawat dan pelbagai sistem yang lain. — DSA

Admiral MakarovfeaturedNeptuneUkraine
Comments (0)
Add Comment