Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat FA-50 Ditawar Pada M’sia Miliki Radar AESA, Sistem EW Dinaik Taraf

Varian pesawat FA-50  yang ditawar kepada Malaysia itu juga akan memiliki radar AESA (Active Electronically Scanned Array) yang dibangunkan oleh firma Korea Selatan sendiri, bagi menggantikan radar buatan syarikat Israel, IAI-Elta Electronics yang digunakan oleh pesawat itu pada masa ini.

0 5,916

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat FA-50 “Fighting Eagle” yang dicadang dibekalkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekiranya Malaysia memilih pesawat buatan Korea Selatan itu sebagai Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA), bakal dilengkapi dengan sistem peperangan elektronik yang telah dipertingkatkan kemampuannya.

Varian pesawat FA-50  yang ditawar kepada Malaysia itu juga akan memiliki radar AESA (Active Electronically Scanned Array) yang dibangunkan oleh firma Korea Selatan sendiri, bagi menggantikan radar buatan syarikat Israel, IAI-Elta Electronics yang digunakan oleh pesawat itu pada masa ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah R&D syarikat LIG Nex1 Chan-ho Kook yang bercakap pada Forum Keselamatan dan Pertahanan yang diadakan di Seoul semalam.

FA-50

Syarikat LIG Nex1 merupakan syarikat Korea Selatan yang bertanggungjawab membekalkan sistem peperangan elektronik bagi pesawat FA-50 itu.

Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan merupakan antara penyokong paling kuat perjuangan serta kebebasan penduduk Palestin.

Cadangan menukar komponen buatan Israel kepada yang diperbuat oleh syarikat Korea Selatan itu sudah semestinya akan menjadikan tawaran oleh Korea Selatan untuk menjual pesawat FA-50 itu kepada Malaysia menjadi lebih menarik.

Radar AESA buatan tempatan apakah yang akan dipasang kepada pesawat FA-50 Malaysia sekiranya negara memilih pesawat itu?

FA-50
Radar AESA yang dibangunkan oleh syarikat Hanwha Systems untuk pesawat KF-21 “Boramae” dan juga berkemungkinan pesawat FA-50 yang ditawarkan kepada Malaysia.

 

Radar itu berkemungkinan adalah radar yang sedang dibangunkan agensi pertahanan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) dengan syarikat Hanwha Systems untuk pesawat KF-21 “Boramae” negara itu.

Menurut Hanwha Systems, radar AESA bagi pesawat KF-21 itu disifatkan sebagai “mata pesawat”.

“Radar AESA KF-21 adalah satu daripada sensor avionik yang paling penting yang melaksanakan pelbagai misi seperti pemantauan, pengesanan sasaran udara dan darat serta menghasilkan imej-imej video,” menurut syarikat Korea Selatan itu.

Radar AESA bagi KF-21 itu direka untuk mengesan dan mengenalpasti pelbagai sasaran serentak pada jarak melebihi 200km.

KF-21
Pesawat KF-21 “Boramae”

 

Berbanding radar PESA (Passive Electronically Scanned Array), radar AESA mempunyai pelbagai kelebihan termasuk jarak pengesanan sasaran yang lebih jauh dan tepat walaupun sasaran itu bersaiz kecil,  sukar dikesan oleh musuh serta kemampuan ia untuk menahan daripada tindakan “jamming” oleh musuh.

Pada ketika ini, pesawat FA-50 itu menggunakan radar multi-mission EL/M 2032 yang berkemampuan mengesan dan menjejaki sasaran udara sejauh 150km maksimum.

Chan juga berkata pada forum itu bahawa pesawat FA-50 yang ditawarkan kepada Malaysia adalah varian yang telah dipertingkatkan keupayaan dan kemampuannya.

Sumber yang boleh dipercayai memberitahu Defence Security Asia bahawa Malaysia telah ditawarkan varian FA-50 Block 20 yang lebih berkemampuan dan berkeupayaan. 

FA-50
Pesawat FA-50 Varian MRCA

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Seorang lagi peserta pada forum itu, Pengarah Korea Aerospace Industries (KAI) Cho Hae Young pula berkata, varian terbaru pesawat itu telah dipertingkatkan keupayaanya dengan sensor dan sistem persenjataan udara-ke-udara dan udara-ke-darat yang baru.

Varian terbaru pesawat itu bakal dilengkapi dengan peluru berpandu Beyond Visual Range Air To Air Missile (BVRAAM) seperti AMRAAM serta peluru berpandu kruis yang tidak dinamakan.

Pesawat FA-50 yang dipertingkatkan keupayaannya itu juga akan dilengkapi dengan “Sniper” Advanced Targeting Pod (ATP), serta belly fuel tank yang berkemampuan membawa 300 gelen minyak untuk membantu jarak operasi pesawat selain memiliki in-flight refuelling probe yang dibina oleh Cobham. — DSA

 

 

Comments
Loading...