Kapal TNI-AL “KRI Teluk Hading” Terbakar

Laporan media tempatan Indonesia menyatakan bahawa kesemua 117 anak kapalnya berada di dalam keadaan selamat dan kapal LST terbabit yang sebelum ini milik Tentera Laut Jerman Timur itu sedang ditunda ke kawasan pesisir pantai.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal LST (Landing Ship Tank) milik Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL),  KRI Teluk Hading (538) dilaporkan terbakar kira-kira 8 batu nautika daripada Pelabuhan Bira, Bulukumba, Sulawesi Selatan hari ini.

Laporan media tempatan menyatakan bahawa kesemua 117 anak kapalnya berada di dalam keadaan selamat dan kapal LST terbabit yang sebelum ini milik Tentera Laut Jerman Timur itu sedang ditunda ke kawasan pesisir pantai.

“Alhamdulillah, seluruh krew kapal selamat, tidak ada korban, sementara dilaksanakan proses evakuasi seluruh krew kapal dibawa ke Makassar,” menurut jurucakap TNI-AL Laksamana Pertama I Made Wira Hady Arsanta kepada media tempatan Indonesia.

Kapal KRI Teluk Hading (538) yang memiliki berat keseluruhan 1,950 tan dan panjang 98 meter merupakan kapal ke-lapan daripada kapal LST kelas-Teluk Gilimanuk milik TNI-AL.

Ia mempunyai kemampuan untuk membawa sebanyak 11 buah kereta perisai amfibia dan 400 hingga 600 tan kargo serta satu kompeni pasukan marin negara itu.

Kapal perang milik TNI-AL yang berhadapan dengan nasib yang malang hari ini mempunyai sejarah yang panjang,  di mana sebelum ini kapal itu dikenali dengan nama  “Cottbus”, sebuah kapal milik Tentera Laut Jerman Timur yang juga dikenali dengan panggilan “Volksmarine.”

Menurut maklumat daripada Wikipedia, kapal itu telah dibina oleh VEB VEB PeenewerftWolgast dan dilancarkan pada 1976 dan dua tahun  selepas itu telah ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Jerman Timur pada 1978.  

Berikutan penyatuan di antara Jerman Barat dan Jerman Timur pada 1990, kapal “Cottbus” itu telah dilucutkan tauliah daripada Tentera Laut Jerman Timur pada Oktober 1990.

(kredit media tempatan)

 

Tentera Laut Jerman mahu melupukan kapal itu sebagai besi buruk.

Bagaimanapun Indonesia memperolehi kapal itu pada 1993 dibawah program perolehan diketuai oleh Menteri Teknologi ketika itu B.J Habibie atas arahan Presiden Indonesia ketika itu Bapak Suharto yang mahu meningkatkan kemampuan TNI-AL.

Kapal KRI Teluk Hading itu telah ditauliahkan ke dalam TNI-AL pada 1994, tidak lama selepas ia tiba daripada pelayaran yang panjang daripada Jerman. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

  

CottbusfeaturedIndonesiaJerman TimurKRI Teluk HadingTerbakarTNI-AL