Kapal Penyelidik China “Da Yang Hao” Ceroboh Perairan Malaysia?

Data daripada aplikasi penjejakan kapal (ship tracking data) menunjukkan kapal penyelidik Da Yang Hao itu dikesan memasuki perairan pelantar benua dan ZEE Malaysia sambil diiringi oleh sebuah kapal pengawal pantai China.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal penyelidik China, “Da Yang Hao” dilaporkan menceroboh kawasan perairan pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada malam tadi, sehari selepas pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Amerika Syarikat mengadakan latihan bersama di Selat Melaka.

Menurut laporan oleh pemerhati Laut China Selatan, @duandang, data daripada aplikasi penjejakan kapal (ship tracking data) menunjukkan kapal penyelidik itu memasuki perairan pelantar benua dan ZEE Malaysia sambil diiringi oleh sebuah kapal pengawal pantai China.

Mungkin ada lebih daripada satu kapal pengawal pantai China berhampiran atau kapal perang tentera laut negara itu, memandangkan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Ronald Reagan juga berada berhampiran.

“Selepas memasuki perairan Malaysia, kapal penyelidik Da Yang Hao dikesan belayar menuju ke kapal pengerudi (drillship) West Capella. Pada ketika ini, kedudukannya adalah kira-kira 50 batu nautika daripada West Capella,” menurut pemerhati dalam laporannya.

Pada ketika ini, pergerakan kapal penyelidik itu adalah di antara 4 hingga 5 knot menunjukkan ia sedang melakukan penyelidikan (survey).

Pada 24 Sept lalu, kapal Da Yang Hao dilaporkan sedang melakukan penyelidikan di perairan pelantar benua Vietnam selepas meninggalkan Fiery Cross Reef, sebelum, menukar laluan secara tiba-tiba dan menuju ke perairan Malaysia.

Kedudukan kapal penyelidik China, Da Yang Hao di dalam kawasan perairan Malaysia. (kredit Duan Dang)

 

Ia adalah hari yang sama di mana pesawat-pesawat TUDM melaksanakan latihan bersama sebuah pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” di Selat Melaka.

Pesawat-pesawat TUDM yang terlibat adalah F/A-18D Hornet, Sukhoi Su-30MKM dan Hawk 208 serta A400M.

Adakah ini merupakan reaksi balas China terhadap Malaysia kerana melakukan latihan bersama dengan Amerika Syarikat?

Sebuah pesawat Hawk208 mengiringi pesawat pengebom B-52 ketika latihan antara TUDM dengan US PACAF (kredit US PACAF)

 

Kapal penyelidik, Da Yang Hao mempunyai panjang 98 meter dan berat 4,800 tan.

“Dengan kelajuan 16 knot dan jarak sejauh 14,000 batu nautika, kapal Da Yang Hao memiliki kemampuan untuk melakukan eksplorasi laut dalam di mana-mana perairan dunia ini,” menurut laporan media China.

Kapal penyelidik, Da Yang Hao ini dimiliki oleh Kementerian Sumber Asli China.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaDa Yang HaoWest Capella
Comments (0)
Add Comment