Kapal Friget Tentera Laut Perancis “Prarial” Berlabuh di Teluk Cam Ranh, Vietnam

Beberapa negara Barat lain juga dijangka menghantar kapal-kapal perang mereka ke Laut China Selatan tahun ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal friget Tentera Laut Perancis, “Prarial” berlabuh di Pelabuhan Teluk Cam Ranh di Vietnam, dalam satu lagi usaha negara Barat menentang usaha China yang mahu menguasai keseluruhan Laut China Selatan.

Kehadiran kapal friget Perancis di Vietnam itu adalah selepas sebuah lagi kapal friget dan kapal selam berkuasa nuklear negara “Emeraude” itu mengadakan latihan dengan kapal-kapal Tentera Laut Indonesia di Selat Sunda bulan lepas.

Kapal friget Tentera Laut Perancis, Prarial sedang berlabuh di Pelabuhan Teluk Cam Ranh di Vietnam.

Kapal friget “Prairial”itu singgah di Vietnam untuk membaiki helicopter, menurut laporan oleh akhbar VNExpress.

Sementara itu duta Perancis ke Vietnam berkata, kedatangan kapal friget itu adalah untuk memberikan mesej sokongan terhadap FONOP (Freedom of Navigation and Operation)  di lautan dan udara yang dikongsi bersama oleh kedua-dua negara.

Kapal friget “Prairial” adalah kapal kelas-Floreal yang memiliki panjang 93 meter dan berat 3,000 tan (full load). Ia membawa helicopter dan dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal “Exocet.”

Bulan lepas tentera laut Perancis juga melancarkan pelayaran kapal Amphibious Assault Ship “Tonnere” dan friget “Surcouf” ke Laut China Selatan untuk mengadakan rondaan dan latihan bersama Jepun serta negara-negara sahabat yang lain.

Selain kapal friget Perancis ini, lebih banyak lagi kapal-kapal perang negara-negara sekutu Amerika Syarikat dijangka akan belayar ke Laut China Selatan pada tahun ini.

Negara-negara Barat yang dijangka menghantar kapal-kapal perang mereka ke Laut China Selatan tahun ini selain Perancis adalah Jerman, United Kingdom yang bakal menghantar kapal pengangkut pesawat terbarunya iaitu HMS Queen Elizabeth beserta kapal-kapal pengiringnya ke rantau Asia Pasifik.

HMS Queen Elizabeth dijangka mengadakan latihan bersama negara-negara serantau di Laut China Selatan.

Pelayaran kapal-kapal perang negara Barat ini ke Laut China tidak disenangi oleh China yang mendakwa kehadiran banyak kapal-kapal perang daripada negara bukan littoral adalah tidak baik untuk kestabilan dan kedamaian bagi negara-negara di rantau terbabit.

Seorang penganalisis maritim Asia Pasifik Mark Valencia berkata kepada akhbar South China Morning Post bahawa tindakan Perancis menghantar kapal-kapal perangnya ke Laut China Selatan diibaratkan seperti “ bermain api”.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

EmeraudeKapal SelamLaut China SelatanPerancisPrairialVietnam