(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagai sebahagian daripada kerahan jarak jauhnya bermula daripada April hingga Oktober tahun ini, sebuah kapal perang friget FREMM Tentera Laut Perancis daripada kelas-Aquitaine “Bretagne” (D655) telah singgah di Kota Kinabalu.
Sebelum singgah di Kota Kinabalu, kapal friget Tentera Laut Perancis itu telah singgah di Manila, Filipina.
Menurut akaun FB “France in Malaysia”, Perancis amat berterima-kasih kepada Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas sambutan mesra mereka dan sokongan terhadap kunjungan kapal friget kelas-Aquitaine “Bretagne” di Kota Kinabalu.
“Persinggahan (kapal friget Bretagne) di Malaysia oleh kapal perang moden dan pelbagai fungsi membuktikan kerjasama pertingkat tertinggi di antara Malaysia dan Perancis.”
“Sejak 20 tahun lalu, kedua-dua tentera laut Perancis dan Malaysia telah membangunkan hubungan yang rapat, terutamanya melibatkan kemampuan kapal selam dan anti-kapal selam,” menurut akaun FB Kedutaan Perancis di Malaysia itu.
Dipengerusikan bersama oleh Duta Perancis ke Malaysia Axel Cruau dan Pegawai Memerintah kapal friget “Bretagne” Kapten Audrey Boutteville, satu majlis makan tengahari rasmi telah diadakan di atas kapal perang itu dengan dihadiri pegawai-pegawai pihak berkuasa Malaysia pada 4 Sept yang lalu.
Pada sebelah malamnya pula, satu majlis resepsi telah diadakan dengan pegawai-pegawai TLDM telah dijemput di mana kedua-dua pihak Malaysia dan Perancis telah berinteraksi dan memperkukuhkan lagi kerjasama pertahanan.
Semasa ucapannya, duta Perancis ke Malaysia dan pegawai memerintah kapal friget “Bretagne” itu telah menggariskan tiga tunjang utama hubungan pertahanan kukuh di antara kedua-dua negara adalah berdasarkan kepada interaksi politik, aktiviti ketenteraan dan kerjasama di dalam bidang peralatan tentera.
Menurut mereka, kerjasama tentera laut adalah asas kepada kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
Kapal friget kelas-Aquitaine “Bretagne” itu adalah variant milik Tentera Laut Perancis daripada Frigate European Multi-Mission (FREMM).