“Kami Mohon Maaf”, Kata TNI-AL Atas Kejadian Menimpa Kapal Selam KRI Nanggala

“Permohonan maaf kami kepada seluruh masyarakat atas kejadian tersebut…”

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Indonesia (TNI-Angkatan Laut) dalam ciapan di laman Twitternya @_TNIAL_membuat permohonan maaf kepada seluruh masyarakat Indonesia di atas kejadian yang berlaku terhadap kapal selam miliknya, KRI Nanggala 402 yang sehingga ini masih hilang.

“Permohonan maaf kami kepada seluruh masyarakat atas kejadian tersebut…”

“Dan kami memohon kepada seluruh masyarakat untuk mendoakan kami, terutama keselamatan KRI Nanggala-402 dan seluruh personelnya,” kata TNI-AL.

Kapal selam Indonesia itu yang mula digunakan oleh TNI-AL pada 1981  itu “hilang” di perairan utara Bali kira-kira 3 pagi dua hari lepas ketika terlibat dalam latihan. Kapal selam itu membawa 53 orang anak kapal.

Kapal selam diesel-elektrik buatan syarikat Jerman, satu daripada lima kapal selam yang dimiliki oleh TNI-AL itu diketuai oleh komandernya, Heri Octavian sejak setahun yang lepas.

KRI Nanggala sepatutnya melancarkan torpedo dalam latihan itu, sebelum ia “hilang kontak.”

Komandan kapal selam KRI Nanggala, Heri Octavian

 

Menurut ciapan laman Twitter TNI-AL itu lagi, mereka akan berusaha sedaya upaya dalam misi SAR kapal selam terbabit dan menemukan anak-anak kapalnya.

“Kami … seluruh jajaran TNI-Angkatan Laut dengan segenap usaha dan upaya, terus melakukan yang terbaik dan maksimal dalam pencarian KRI Nanggala-402 dan 53 personel putra terbaik bangsa.”

Ciapan itu menyambung, “ Kiranya Tuhan Yang Maha Esa meridhoi kita semua dalam keselamatan. Doakan kami…Terima kasih Indonesia.”

Indonesia mengerah enam buah kapal perang termasuk yang memiliki kemampuan sonar serta sebuah helikopter untuk terlibat dalam misi mencari dan menyelamat KRI Nanggala.

Malaysia turut mengerahkan kapal Submarine Rescue Vessel “MV Mega Bakti” ke perairan utara Bali untuk misi mencari dan menyelamat kapal selam Indonesia itu.

Singapura, India dan Australia turut menghantar aset-asetnya ke lokasi insiden.

Bagaimanapun usaha mencari dan menyelamat berdepan kesukaran selepas pihak TNI-AL petang semalam mendedahkan bahawa KRI Nanggala itu hanya memiliki bekalan oksigen mencukupi sehingga pukul 3 pagi Sabtu ini.

Selain itu TNI-AL juga berkata terdapat kemungkinan kapal itu menghadapi masalah teknikal sehingga menyebabkan ia “karam” di kedalaman di antara 700 hingga 900 meter di dasar laut.

Pakar pertahanan asing berkata, jika benar KRI Nanggala itu “karam” di kedalaman 700-900 meter maka peluangnya untuk “survive” adalah amat tipis kerana kapal selam itu hanya direkabentuk untuk menyelam di dalam kedalaman 250 meter.

Di kedalaman 700-900 meter, tekanan dasar laut yang amat kuat akan “memecahkan” kapal selam tersebut.

— DEFENCE SECURITY ASIA

BaliIndonesiaKapal SelamKRI Nanggala