KAI Tawar Malaysia Pesawat FA-50 Guna Radar AESA

Pesawat FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries (KAI) dan ditawarkan kepada Malaysia itu boleh menggunakan radar lain termasuk radar Active Electronically Scanned Array (AESA) sebagaimana yang digunakan oleh pesawat generasi 4.5 yang sedang dibangunkan olehnya, KF-21 “Boramae.”

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang diketahui, pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) menggunakan radar buatan sebuah syarikat Israel.

Radar yang digunakan oleh pesawat FA-50 dikenali sebagai “ELM—2032” yang dibuat oleh Elta System.

Memandangkan radar itu diperbuat oleh syarikat Israel, maka terdapat persoalan sama ada tawaran oleh KAI untuk membekalkan 18 buah pesawat FA-50 kepada Malaysia akan terjejas disebabkan penggunaan komponen negara Yahudi terhadap pesawat itu.

Malaysia yang merupakan penyokong kuat perjuangan penduduk Palestin, sudah tentu tidak akan menggunakan apa-apa peralatan atau komponen buatan Israel.

Sumber dipercayai telah pun menjelaskan kepada Defence Security Asia bahawa jika Malaysia memilih pesawat FA-50, maka, ia akan menukarkan radar atau apa-apa sahaja komponen Israel pada pesawat itu dengan alatan diperbuat oleh syarikat Amerika Syarikat atau Korea Selatan.

Radar AESA yang dibangunkan oleh syarikat Hanhwa Systems.

 

Ia adalah untuk memastikan tiada satu pun komponen Israel di dalam pesawat yang bakal dibeli oleh Malaysia, sekiranya benar pesawat FA-50 keluaran KAI menjadi pilihan negara Asia Tenggara itu.

Baru-baru ini, ketika Singapore Airshow 2022 di republik tersebut, pengurus serantau KAI Lee Chang Jae ketika ditemuramah oleh portal pertahanan antarabangsa, Defense News mengesahkan lagi bahawa radar buatan Israel yang digunakan oleh pesawat FA-50 itu akan ditukarkan kepada buatan negara lain sekiranya Malaysia menjadikan pesawat itu sebagai pilihannya.

Menurut Lee, radar Israel itu boleh digantikan dengan radar keluaran negara lain mengikut permintaan daripada pelanggan.

Beliau menjelaskan pesawat FA-50 yang ditawarkan kepada Malaysia itu boleh menggunakan radar lain termasuk radar Active Electronically Scanned Array (AESA) sebagaimana yang digunakan oleh pesawat generasi 4.5 yang sedang dibangunkan olehnya, KF-21 “Boramae.”

Wow, jika Malaysia memilih pesawat FA-50 ia turut ditawarkan radar AESA buatan Korea Selatan.

Salah sebuah pesawat prototaip KF-21 “Boramae” yang akan menlakukan penerbangan sulung pada tahun ini.

 

Pesawat KF-21 “Boramae” yang akan melakukan penerbangan sulungnya pada pertengahan tahun ini, menggunakan radar yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Korea Selatan sendiri,  Hanwha Systems.

 Menurut Hanwha Systems, radar AESA bagi pesawat KF-21 itu disifatkan sebagai “mata pesawat”.

“Radar AESA KF-21 adalah satu daripada sensor avionik yang paling penting yang melaksanakan pelbagai misi seperti pemantauan, pengesanan sasaran udara dan darat serta menghasilkan imej-imej video,” menurut syarikat Korea Selatan itu.

Radar AESA bagi KF-21 itu direka untuk mengesan dan mengenalpasti pelbagai sasaran serentak pada jarak melebihi 200km.

Pembangunan radar AESA itu merupakan cubaan kali pertama Korea Selatan terhadap pembuatan radar AESA yang kini merupakan komponen penting bagi pembinaan pesawat-pesawat termoden dunia.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Berbanding radar PESA (Passive Electronically Scanned Array), radar AESA mempunyai pelbagai kelebihan termasuk jarak pengesanan sasaran yang lebih jauh dan tepat walaupun sasaran itu bersaiz kecil,  sukar dikesan oleh musuh serta kemampuan ia untuk menahan daripada tindakan “jamming” oleh musuh.

Sebab itu, negara-negara di dunia  ini mahukan pesawat pejuang mereka dilengkapi dengan radar-radar AESA.

Bagaimanapun, untuk menghasilkan radar AESA adalah amat susah dan hanya beberapa negara sahaja yang memiliki kemampuan untuk membangunkan radar AESA. 

Negara-negara yang dikatakan berkeupayaan membangunkan radar AESA setakat ini adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Sweden, Perancis dan Israel. — DSA

AESAfeaturedKAIRadarTUDM