(VIDEO) Juruterbang MAS Cekap Mendaratkan Pesawat Ketika Taufan Eunice

Rakaman daripada Big Jet TV itu menunjukkan kecekapan juruterbang Malaysia Airlines (MAS) dalam mengendalikan pesawat mereka dengan baik untuk berjaya melakukan pendaratan sempurna dalam kedaaan taufan di lapangan terbang.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang kita tahu, beberapa hari lepas beberapa negara Eropah termasuk United Kingdom telah dibadai oleh Taufan Eunice yang menyebabkan angin selaju 113km sejam (70mph).

Menjadi perhatian pada hari tersebut adalah percubaan pesawat-pesawat syarikat penerbangan komersial antarabangsa yang “bergelut” untuk mendarat di Lapangan Terbang Heathrow di dalam keadaan angin yang amat kuat itu akibat Taufan Eunice itu.

Big Jet TV  telah membuat penstriman secara langsung pendaratan pesawat-pesawat komersial itu bergelut untuk mendaratkan pesawat mereka di dalam keadaan taufan telah menjadi fenomena di media sosial di Britain sejak beberapa hari lepas.

Turut mendapat perhatian Big Jet TV adalah video berdurasi menunjukkan pendaratan sempurna sebuah pesawat syarikat penerbangan rasmi negara, Malaysia Airlines (MAS) di Lapangan Terbang Heathrow pada ketika Taufan Eunice membadai negara itu.

Rakaman daripada Big Jet TV  yang diciap oleh akaun Twitter Rekomen Filem @RekomenByAsrul itu menunjukkan kecekapan juruterbang Malaysia Airlines dalam mengendalikan pesawat mereka dengan baik untuk berjaya melakukan pendaratan sempurna dalam kedaaan taufan di lapangan terbang.

Pengulas mengucapkan “Are You Serious Man”,  “Bravo Pilot” apabila pesawat Malaysia Airlines itu berjaya mendaratkan pesawatnya dengan berjaya dalam keadaan cuaca yang amat teruk dengan angin yang amat kuat disebabkan oleh Taufan Eunice.

Video itu terus mendapat ulang ciap daripada netizen dengan kebanyakannya memuji juruterbang tersebut. Sebahagian netizen pula mendakwa bahawa mereka mungkin akan mengucap panjang jika terpaksa menempuh detik-detik cemas seperti itu.

Berbanding dengan pesawat-pesawat komersial lain yang kelihatan bergelut untuk mendaratkan pesawat mereka dalam keadaan Taufan Eunice itu, juruterbang pesawat Malaysia Airlines sememangnya berjaya mengendalikan pesawatnya dengan amat baik.

Ia diakui sendiri oleh Big Jet TV.

Rakaman oleh Big Jet TV mengenai pendaratan pesawat Malaysia Airlines pada ketika Taufan Eunice itu hanya membuktikan bahawa juruterbang syarikat penerbangan rasmi negara itu memang berkelas dunia.

Big Jet TV telah beroperasi selama enam tahun yang menayangkan secara langsung pendaratan pesawat di lapangan terbang utama di United Kingdom itu.

Penstriman pendaratan pesawat-pesawat komersial itu di Lapangan Terbang Heathrow ketika Taufan Eunice telah mendapat tontonan tertinggi iaitu sebanyak 200,000 penonton, rekod tontonan tertinggi mengatasi siaran berita di Britain. — DSA

 

featuredHeathrowMASTaufan Eunice