Kapal Selam Nuklear China “Memeningkan Kepala” Amerika Dan Sekutunya

Laporan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menyatakan bahawa kehadiran secara berterusan kapal-kapal selam nuklear kelas-Jin milik China di lautan telah menyebabkan “tekanan” kepada armada kapal selam Amerika Syarikat dan sekutunya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dilapor mula mengerah kapal-kapal selam membawa peluru berpandu nuklearnya untuk sentiasa berada di lautan melakukan rondaan sebagai salah satu taktik “pencegahan serangan nuklear” (nuclear deterrence)  terhadap Amerika Syarikat, ketika ketegangan menyelubungi hubungan di antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu. 

Laporan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menyatakan bahawa kehadiran secara berterusan kapal-kapal selam nuklear kelas-Jin Type 094A milik China di lautan telah menyebabkan “tekanan” kepada armada kapal selam Amerika Syarikat dan sekutunya.

Kapal selam kelas-Jin (Type 094A)

 

Kapal-kapal selam Amerika Syarikat diketahui sentiasa “mengekori” kapal selam China sebaik sahaja mereka meninggalkan pangkalannya di Yulin, Pulau Hainan untuk melakukan “rondaan” di Laut China Selatan atau perairan di Pasifik Barat.

“Laporan oleh Pentagon menyatakan bahawa armada enam buah kapal selam peluru berpandu ballistik kelas-Jin milik China kini melakukan rondaan pada setiap masa daripada Pulau Hainan ke Laut China Selatan.

“Dilengkapi dengan peluru berpandu ballistik yang baru dengan jarak yang lebih jauh, ia mampu membedil tanah besar Amerika Syarikat.”

Peluru-peluru berpandu ballistik baru yang kini melengkapi kapal-kapal selam kelas-Jin China dikenali sebagai “JL-3” dan mempunyai jarak operasi sejauh lebih 10,000km, sekaligus membolehkannya dilancarkan daripada dalam kawasan perairan China itu sendiri untuk membedil tanah besar Amerika Syarikat.

Ia tidak perlu keluar daripada perairan sendiri, sekaligus mengurangkan risiko “diekori” oleh kapal-kapal selam musuh.

Imej satelit menunjukkan kapal selam Type 093 kelas Shang sedang memasuki kubu bawah tanah di Pangkalan Laut Yulin di Pulau Hainan.

 

Peluru berpandu “JL-3” adalah peluru berpandu ballistik antara benua generasi ketiga yang buat pertama kalinya memberikan kemampuan kepada China untuk membedil tanah besar Amerika Syarikat sekiranya ia berhadapan dengan serangan nuklear.

China mengamalkan dasar “no first use”, di mana  ia tidak akan menjadi pihak pertama menggunakan senjata nuklear kecuali diserang oleh senjata pemusnah itu terlebih dahulu.

Amerika Syarikat dilaporkan mengerahkan sehingga 20 buah kapal selam berkuasa nuklear di Indo-Pasifik daripada pangkalannya di Hawaii dan Guam, manakala menerusi kerjasama ketenteraan AUKUS, Australia juga akan dilengkapi dengan kapal-kapal selam berkuasa nuklear.

Washington menggunakan kapal-kapal selam berkuasa nuklearnya yang berpangkalan di Hawaii dan Guam dibantu oleh pesawat peronda maritim P-8 “Poseidon” dan kapal-kapal perang permukaan untuk “memburu” kapal-kapal selam China.

Selain itu, Amerika Syarikat turut meletakkan penderia-penderia laluan utama perkapalan untuk mengesan kehadiran kapal-kapal selam China.

Pangkalan kapal selam China di Yulin, Pulau Hainan.

 

Bagaimanapun usaha Amerika Syarikat dan sekutunya untuk mengesan kapal-kapal selam China bakal menjadi lebih sukar pada tahun-tahun mendatang ini apabila kapal selam kelas-Jin itu akan digantikan dengan kapal selam generasi baru yang lebih berkeupayaan dan jauh lebih “senyap.”

Penganalisis pertahanan menyatakan bahawa kapal-kapal selam kelas-Jin secara relatifnya adalah lebih “bising” dan mudah dikesan, namun kapal selam generasi baru yang akan menggantikannya itu, adalah lebih “senyap” dan sukar untuk dikesan serta dijejaki oleh musuh.

Kapal selam baru China dikenali sebagai “Type 096” yang akan menggantikan kapal selam kelas-Jin itu bakal “memeningkan” kepala laksamana tentera laut Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Menambah lagi “pening” di pihak Amerika Syarikat dan sekutunya adalah “kehadiran” lebih kerap kapal-kapal selam nuklear Russia di perairan Pasifik, kadangkala menerusi operasi bersama dengan China.

Walaupun Russia “menyimpan” kesemua kapal selam nuklearnya di pangkalan-pangkalannya di Artik, tetapi Moscow kini mula mengerah kapal-kapal selam dan kapal perangnya untuk beroperasi di Pasifik secara lebih kerap.

Dengan hubungan di antara Moscow dan Beijing yang semakin erat berikutan konflik di Ukraine, kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara termasuk operasi kapal selam di Pasifik juga dijangkakan akan menjadi “semakin erat”.  — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Amerika SyarikatfeaturedJinJL-3Kapal SelamNuklear
Comments (0)
Add Comment