JF-17 “Bunuh” Rafale Dalam Latihan Udara Empat Negara Di Turki?

Menurut penganalisis pertahanan yang memiliki maklumat tentang latihan udara "Anatolian Eagle 2021" itu, pesawat-pesawat JF-17 "Thunder" Block II Pakistan telah berjaya "membunuh" beberapa pesawat pejuang Rafale Tentera Udara Qatar dalam simulasi pertempuran udara.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Jun tahun lepas, satu latihan udara disertai oleh tentera-tentera udara daripada Turki, Pakistan dan Azerbaijan serta Qatar dipanggil “Anatolian Eagle 2021”  telah berlangsung di sebuah pangkalan udara Tentera Udara Turki di bandar pesisir pantai di Konya, Turki.

Tentera Udara Turki merupakan penganjur kepada latihan udara itu.

Antara aset-aset udara yang menyertai latihan itu adalah pesawat F-16 daripada Turki manakala Pakistan pula diwakili lima buah pesawat JF-17 “Thunder” Block II, Qatar pula empat buah pesawat Rafale, manakala Azerbaijan pula menampilkan pesawat-pesawat MiG-29 dan Su-25 “Frogfoot” yang sebelum itu telah “menunjukkan taringnya” dalam konflik di Nagorno-Karabakh. 

 Pihak NATO yang dianggotai oleh Turki juga telah menghantar sebuah pesawat E-3A  AWACS.

 Beberapa media Turki turut melaporkan bahawa Malaysia telah menghantar pegawai-pegawai tentera udaranya ke latihan itu sebagai pemerhati.

Pesawat Rafale Tentera Udara Qatar pada latihan Anatolian Eagle 2021.

 

Latihan “Anatolian Eagle” ini merupakan latihan tahunan bertujuan untuk meningkatkan kemampuan dan persefahaman dikalangan tentera udara negara-negara peserta menerusi perlaksanaan pelbagai taktik yang mengaplikasikan  suasana pertempuran udara.

Sistem seperti Post Mission Analysis System serta Air Combat Maneuvering System (ACMI) juga digunakan dalam latihan “Anatolian Eagle 2021” itu.

Tidak banyak yang diketahui tentang latihan udara itu, tetapi bagi sesetengah penganalisis ketenteraan yang mendakwa mereka memiliki maklumat dalaman tentang “Anatolian Eagle 2021”,  latihan udara itu telah memberikan peluang kepada Tentera Udara Pakisatan untuk menguji kemampuan sebenar pesawat JF-17 “Thunder” yang dibangunkannya bersama dengan China.

Ia membantu mereka menilai kemampuan sebenar JF-17 “Thunder” dalam simulasi pertempuran, terutamanya dengan pesawat Dassault Rafale Tentera Udara Qatar.

Pesawat pejuang Rafale itu turut digunakan oleh Tentera Udara India. 

Pesawat JF-17 “Thunder”

 

Apa yang penting adalah, Islamabad mahu mengetahui titik kekuatan dan  kelemahan apabila pesawat JF-17 berdepan dengan pesawat Rafale yang yang diketengahkan oleh Tentera Udara Qatar dalam simulasi pertempuran udara (dogfight) latihan tahunan itu.

 Latihan “Anatolian Eagle 2021” memberi peluang yang amat baik kepada Tentera Udara Pakistan  untuk menguji kemampuan sebenar pesawat JF-17 yang dibangunkannya bersama dengan China terutamanya apabila berdepan dengan pesawat-pesawat Rafale yang kini dioperasikan oleh musuh tradisinya iaitu Tentera Udara India

Selain berhadapan dengan Rafale, JF-17 juga bertembung dengan pesawat MiG-29 yang dibawa oleh Tentera Udara Azerbaijan dalam latihan Anatolian Eagle itu.

Pesawat pejuang MiG-29 Tentera Udara Azerbaijan.

 

Menurut beberapa laporan oleh penganalisis pertahanan yang mempunyai maklumat dalaman tentang latihan “Anatolian Eagle 2021”, pesawat JF-17 Thunder telah beraksi cukup baik dalam simulasi pertempuran  udara dengan pesawat Rafale Tentera Udara Qatar itu.

Sumber-sumber mendakwa mereka mempunyai maklumat dalaman mengatakan bahawa bahawa “kill ratio”” pesawat JF-17 terhadap pesawat Rafale Qatar itu adalah 6:2 bermakna pesawat-pesawat JF-17 Block II Pakistan itu telah berjaya “menembak jatuh”  pesawat Rafale Qatar sebanyak 6 kali berbanding hanya dua kali tumpas dalam simulasi pertembungan udara pada latihan itu.

 Itu adalah kesimpulan yang dibuat oleh penganalisis pertahanan berdasarkan sumber yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.

Pesawat JF-17 Block 3

 

Apakah benar, pesawat JF-17 Thunder berjaya “membunuh” pesawat-pesawat Rafale yang dikatakan lebih canggih dan lebih moden di dalam latihan di Turki itu?

Apapun, kita tidak boleh menerima kenyataan penganalisis pertahanan itu “bulat-bulat”” kerana ia berkemungkinan hanyalah sebahagian daripada perang -psikologi  daripada pihak Pakistan untuk melemah-lemahkan semangat tentera udara India yang baru sahaja menerima pesawat Rafale mereka .

Kenyataan amat positif berkenaan “prestasi baik pesawat JF-17 Thunder” itu berkemungkinan tidak lebih daripada strategi untuk mewar-warkan keampuhan pesawat buatan Pakistan-China itu.

Pesawat Su-25 “Frog Foot” Tentera Udara Azerbaijan.

 

Atau ia mungkin juga sebahagian daripada strategi pemasaran untuk menarik lebih banyak pembeli JF-17, termasuk Malaysia yang sedang merancang untuk memiliki  sehingga dua buah skuadron pesawat LCA/FLIT.

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan rasminya ke Pakistan sebagai Perdana Menteri beberapa tahun lepas, turut telah meninjau dengan lebih dekat pesawat JF-17 itu.

Adakah dakwaan tentang kejayaan JF-17 menjinakkan Rafale pada latihan di Turki itu hanyalah “permainan psikologi” Pakistan atau sekadar strategi pemasaran? Mungkin ya dan mungkin tidak.

Pesawat pejuang “Rafale” yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa Perancis, Dassault Aviation.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Selagi tiada kenyataan rasmi, kita anggaplah bahawa dakwaan kejayaan pesawat JF-17 menundukkan pesawat Rafale Qatar itu hanya spekulasi semata-mata.

Walauapapun, laporan terkini daripada media tempatan mengatakan Pakistan dan JF-17 tidak menyertai persaingan pesawat FLIT/LCA TUDM, walaupun tiada pengesahan rasmi daripada Kementerian Pertahanan mahupun TUDM. — DSA

 

 

Anatolian Eagle 2021featuredJF-17Rafale