(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bimbang dengan sikap agresif negara-negara jirannya, China, Russia serta Korea Utara, kerajaan Jepun akan membelanjakan US$320 bilion (RM1.4 trillion) dalam tempoh lima tahun untuk meningkatkan kemampuan angkatan tenteranya termasuk melengkapkannya dengan peluru-peluru berpandu yang mampu membedil “musuh-musuhnya.”
Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida bimbang pencerobohan Russia terhadap Ukraine Februari lepas akan menggalakkan China untuk berbuat perkara yang sama terhadap Taiwan atau pulau-pulau terpencilnya.
Pelan lima tahun itu menurut beliau akan menyaksikan Jepun mengkaji semula strategi pertahanan dan keselamatannya, menambah bekalan peluru dan alat ganti, membangunkan kemampuan pertahanan siber dan meningkatkan kerjasama dengan Amerika Syarikat serta negara sekutu yang lain.
Selain pembangunan selama lima tahun, belanjawan tahunan pertahanan Jepun pada tahun ini juga akan ditingkatkan kepada 1.1 peratus daripada KDNK kepada US$54.1 bilion (RM216 bilion), menyaksikan negara itu berada di tangga ke-sembilan sebagai negara paling banyak berbelanja untuk sektor pertahanan seluruh dunia.
Selepas lima tahun iaitu pada tahun 2027, belanjawan tahunan pertahanan Jepun dijangka akan meningkat kepada dua peratus daripada KDNK negara itu kepada US$108 bilion (RM432 bilion), menjadikannya negara ketiga di belakang Amerika Syarikat dan China sebagai negara yang memiliki belanjawan pertahanan terbesar dunia.
Walaupun bakal berbelanja US$108 bilion untuk sektor pertahanan pada 2027, ia masih jauh berbanding Amerika Syarikat yang berbelanja US$801 bilion (RM3.2 trillion) pada tahun lepas untuk pertahanan.
Antara perancangan Jepun dalam meningkatkan kemampuan angkatan tenteranya adalah dengan memperolehi 500 buah peluru berpandu Tomahawk bagi membolehkan ia memiliki kemampuan untuk menyerang balas (counter-attack capabilities) “musuh-musuhnya.”
Tokyo juga bercadang untuk menaiktaraf peluru berpandu anti-kapal buatan tempatan, “Type 12” kepada peluru berpandu kruis jarak jauh bagi membolehkan ia mempunyai kemampuan untuk membedil sasaran sehingga sejauh 1,000km berbanding hanya 200km pada ketika ini.
Peluru berpandu Type 12 itu dibangunkan oleh syarikat Mitsubishi Heavy Industries (MHI).
Ia adalah sebahagian daripada peningkatan kemampuan untuk melakukan serangan balas terhadap “musuh-musuhnya”, dengan Jepun menimbangkan untuk mensasarkan kira-kira 1,000 peluru berpandu kruis jarak jauh yang sedang dibangunkannya terhadap China.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Tentera Jepun merancang untuk melengkapkan peluru-peluru berpandu Type 12 yang telah dinaiktaraf itu di kapal-kapal perangnya atau pesawat pejuang serta beberapa pulau yang terletak berhampiran dengan China.
Selain itu, Jepun juga menjalin kerjasama dengan Britain dan Itali untuk membangunkan pesawat pejuang generasi ke-enam dikenali dengan program “Japan F-X.” — DSA
Jom!!!! follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore