Iran Kerah Radar OTH “Nazir” Untuk Pantau Ruang Udara Azerbaijan, Timur Turkiye
Beberapa bulan lalu, terdapat dakwaan bahawa Israel telah menggunakan ruang udara Azerbaijan untuk melancarkan serangan peluru berpandu atau pesawat pejuang terhadap beberapa kedudukan penting tentera di Iran termasuk aset-aset pertahanan udaranya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran dilaporkan telah mengerahkan radar Over-The-Horizon (OTH) dipanggil “Nazir” di kawasan tinggi di barat negara itu di Wilayah Gilan untuk memantau ruang udara Azerbaijan dan kawasan timur Turkiye.
Radar OTH Nazir itu dikatakan berkeupayaan mengesan dan menjejak sebarang objek di udara sejauh 800km.
Kerahan radar OTH Nazir berkuasa tinggi itu menunjukkan perubahan dasar Iran terhadap kerajaan Azerbaijan yang dipimpin oleh Ilham Aliyev, yang diketahui mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Turkiye dan Israel terutamanya di dalam bidang keselamatan dan pertahanan.
Beberapa bulan lalu, terdapat dakwaan bahawa Israel telah menggunakan ruang udara Azerbaijan untuk melancarkan serangan peluru berpandu atau pesawat pejuang terhadap beberapa kedudukan penting tentera di Iran termasuk aset-aset pertahanan udaranya.
Iran mula mengoperasikan sistem radar OTH Nazir pada 2016 selepas ia didedahkan pada awam pada 2015.
Komander Pangkalan Pertahanan Udara Khatam ol-Anbia Iran, Brigadier Jeneral Farzad Esmayeeli dipetik sebagai berkata pada 2016 bahawa negara itu telah mengoperasikan sistem radar OTH buatan tempatan Nazir, yang berkeupayaan mengesan sasaran yang sukar dikesan radar dan berupaya melawan peperangan elektronik, lapor Agensi Berita Fars (FNA).
“Sistem radar OTH Nazir telah mula beroperasi dan mulai sekarang, tiada objek penerbangan yang sukar dikesan radar boleh memasuki ruang udara Iran tanpa kebenaran,” kata Jeneral Esmayeeli.
“Radar ini direka khas untuk mengesan objek penerbangan kecil serta pesawat seperti MQ-1, RQ-4 dan U-2. Ia juga mampu mengesan dan menjejak peluru berpandu ballistik dan kruis dengan mudah, serta yang paling penting, pesawat yang sukar dikesan radar,” tambah beliau.
Menurut media Iran PressTV, radar OTH Nazir ialah sistem radar jarak jauh yang dibangunkan oleh Iran dengan keupayaan mengesan dan menjejak pelbagai sasaran udara, termasuk pesawat halimunan, peluru berpandu ballistik, dan peluru berpandu kruis.
Sistem ini mampu mengesan sasaran dalam radius 800 kilometer pada ketinggian sehingga 100,000 kaki.
Sebelum ini laporan media Iran menyatakan bahawa radar OTH Nazir ini telah dipasang di kawasan pergunungan dan dataran di tenggara Iran, pada ketinggian melebihi 3,000 meter, untuk meningkatkan keupayaan pengesanan dan liputan wilayah yang lebih luas.
Dibangunkan sepenuhnya di dalam negara, radar OTH Nazir direka untuk beroperasi dalam pelbagai frekuensi dengan keupayaan frequency hopping, menjadikannya sukar dikesan oleh musuh.
Ia juga tahan terhadap serangan peperangan elektronik (EW) dan mampu mengesan sasaran dengan keratan rentas radar yang rendah, seperti pesawat tanpa pemandu dan peluru berpandu yang sukar dikesan oleh radar konvensional.
Dengan keupayaan ini, radar OTH Nazir memainkan peranan penting dalam sistem pertahanan udara Iran, menyediakan amaran awal dan meningkatkan keupayaan negara itu untuk mengesan dan menjejak ancaman udara yang canggih. — DSA