Iran Bangunkan Dron “Shahed-107” Lebih Berbahaya Untuk Kegunaan Russia di Ukraine

Dron berani mati baru dikeluarakan Iran untuk digunakan oleh Russia di Ukraine itu dinamakan “Shahed-107” dan dilaporkan mampu terbang sejauh 1,500km untuk memusnahkan sistem-sistem persenjataan "mahal" yang dibekalkan oleh negara-negara Barat kepada Ukraine.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Iran dilapor telah membangunkan sebuah dron berani mati dan pemantau yang baru untuk kegunaan tentera Russia dalam kempen peperangannya dengan Ukraine yang akan memasuki tahun kedua tidak lama lagi.

Dron baru itu dinamakan “Shahed-107” dilaporkan mampu terbang sejauh 1,500km dan direka untuk memusnahkan sistem-sistem persenjataan yang dibekalkan oleh negara-negara Barat kepada Ukraine.

Pihak keselamatan Ukraine telah pun menyatakan kebimbangannya tentang kemunculan dron jenis baru oleh Russia di negara itu.

Menurut sumber keselamatan,pembangunan dron terbaru Iran itu dilakukan untuk menyokong kepentingan Russia di Ukraine.

Setiap sebuah dron baru dibangunkan oleh Iran untuk kegunaan tentera Russia dianggar bernilai US$2 juta (RM9 juta) dan sumber itu juga mengatakan bahawa dron terbabit adalah daripada keluarga dron Shahed yang telah pun dioperasikan oleh Moscow sebelum ini.

Dengan panjang keseluruhan dron itu adalah  di antara 8 hingga 10 kaki, dron Shahed-107 itu telah pun menjalani ujiannya di salah sebuah pangkalan udara Iran di tengah negara itu sambil diperhatikan oleh wakil-wakil tentera Russia.

Varian “Shahed-136” berkuasa enjin?

 

Russia menggunakan dron-dron berani mati itu sebagai taktik untuk memaksa pihak Ukraine menggunakan sistem-sistem pertahanan udaranya yang mahal dibekalkan oleh negara-negara Barat.

Ia terpaksa menggunakan sistem pertahanan udara dibekalkan negara Barat dimana setiap peluru berpandu dilancarkan dianggar bernilai lebih daripada US$500,000 (RM2.25 juta) untuk menembak jatu setiap sebuah dron berani mati Russia yang dianggar hanya menelan belanja US$20,000 (RM90,000) untuk membangunkannya.

Baru-baru ini, seorang pegawai tinggi tentera Russia mendedahkan bahawa anggota tentera negara itu bakal menggunakan varian terbaru dron berani mati Shahed-136 yang lebih berbahaya dan berkeupayaan dalam konfliknya dengan Ukraine.

Dron Shahed-136 adalah buatan Iran tetapi dibekalkan kepada Russia yang bertindak meningkatkan keupayaannya dengan beberapa teknologi terkini dan enjin baru.

Berbanding varian asal dron Shahed-136 diterimanya daripada Iran, varian terkini dron-dron berani mati yang telah diubahsuai oleh Russia itu antaranya dilengkapi dengan enjin berkuasa jet bagi membolehkannya terbang lebih laju ke sasaran, sekaligus menyukarkannya untuk ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Ukraine.

Sebelum ini pegawai-pegawai tentera Ukraine menyatakan bahawa dron berani mati keluaran Iran yang digunakan oleh Russia itu mudah ditembak jatuh kerana penggunaan enjin piston yang menghasilkan kelajuan yang rendah serta mengeluarkan bunyi yang amat bising sehingga ia digelar “moped” (scooter).

“Shahed-136”

 

Bagaimanapun, pegawai tinggi tentera Russia Mejar Jeneral Vladimir Popov dalam satu temuramah dengan Sputnik TV baru-baru ini berkata,  tentera negara itu akan menggunakan varian terbaru dron berani mati “Shahed-136”, dipanggil Geran-2 oleh tentera Russia yang lebih “berbahaya” dan berkeupayaan.

“Varian terbaru dron berani mati Shahed-136 atau Geran-2 akan dilengkapi dengan enjin jet yang memberikannya kelajuan 800km sejam, sistem penjejak sasaran yang jauh lebih baik serta peledak yang lebih besar,” katanya.

Varian terbaru dron berani mati Shahed-136 yang bakal digunakan oleh tentera Russia itu adalah jauh lebih laju berbanding varian awal dron berani mati keluaran Iran menggunakan enjin piston yang hanya boleh mencapai kelajuan di antara 180 hingga 200km sejam.

Selain itu pegawai kanan tentera Russia itu juga berkata bahawa varian terbaru dron berani mati Shahed-136 itu juga akan menggabungkan sistem penjejakan sasaran menggunakan sistem GLONASS dan infra-red bagi membolehkan ia mengenalpasti sasaran-sasaran tentera dengan lebih berkesan.

Selain itu Moscow dilaporkan juga akan melengkapkan dron berani mati keluaran Iran itu dengan sistem radar tersendirinya bagi membolehkan ia menyerang sasaran-sasaran tentera bernilai tinggi seperti kemudahan radar dan sistem pertahanan udara musuh.

Varian terbaru Shahed-136 dilengkapi dengan enjin jet juga dilaporkan akan diwarnakan hitam bagi menyukarkan pihak musuh untuk melakukan pengesanan secara visual (visual detection) dan seterusnya menembak jatuh. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com
DronfeaturedIranRussiaShahedUkraine