(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi menangani kemungkinan “penyusupan” masuk pesawat-pesawat halimunan seperti F-35, F-22 atau J-20 “Mighty Dragon” di ruang udara milik Indonesia atau kapal-kapal asing di sekitar Pulau Natuna, maka pihak tentera Indonesia telah menempatkan radar pasif, Vera NG buatan Republik Czech.
Beberapa hari lepas, media sosial negara jiran itu telah memaparkan beberapa kepingan gambar radar Vera NG di Pulau Natuna itu.
Radar Vera NG yang dibangunkan oleh syarikat bernama Omnipol ini sebenarnya adalah alatan Electronic Support Measures (ESM).
Radar pasif Vera NG (Next Generation) milik tentera Indonesia itu dikatakan telah diletak di Lanud Raden Sagjad Ranai di Pulau Natuna bertujuan untuk mengesan pesawat-pesawat pejuang dan pengebom serta kapal-kapal asing yang sukar dikesan oleh radar konvensional.
Radar pasif itu boleh mengesan objek sejauh lebih 450km itu.
Sistem radar pasif Vera NG ini berfungsi atas prinsip TDOA (Time Difference of Arrival) untuk mengesan dan mengenalpasti sasaran darat, udara dan laut secara pasif menerusi “on-board emitters” yang dihasilkan oleh sasaran itu.
Emitters zaman moden ini boleh datang daripada radar, datalink, jammers, navigation dan identification, seperti IFF, SSR, VOR/DME, Tacan, JTIDS/Link-16.
Sasaran itu sebenarnya tidak tahu bahawa mereka sedang dipantau atau sedang “di-tracking” oleh Vera NG.
Untuk mengelak pesawat pejuang dan pengebom atau kapal dikesan oleh sistem radar pasif itu, mereka kena mematikan semua sistem elektronik mereka yang menghasilkan signal dan terbang atau belayar menggunakan deria semulajadi mereka.
Zaman sekarang hampir mustahil untuk terbang atau belayar dengan hanya menggunakan deria semulajadi, dek kerana takut sebarang signal elektronik bakal dikesan oleh radar pasif.
Sebagaimana yang diketahui, kawasan perairan Pulau Natuna yang terletak di Laut China Selatan itu kerapkali didatangi oleh kapal-kapal pengawal pantai China yang seringkali melakukan tindakan provokasi terhadap usaha mencari gali minyak dan gas oleh pihak Indonesia.
Kawasan perairan di Pulau Natuna yang sememangnya diketahui sebagai kaya dengan sumber minyak dan gas sering mengundang kehadiran kapal-kapal milik China.
Bahkan Beijing mendakwa perairan milik Indonesia yang kaya dengan minyak dan gas sebagai miliknya di bawah peta Nine Dash Line.
Pada tahun lepas, Amerika Syarikat turut mengerahkan kapal-kapal pengangkut pesawatnya ke kawasan perairan di sekitar Pulau Natuna, kemungkinan sebagai mengimbangi kehadiran kapal-kapal milik China di kawasan terbabit.
Sistem Vera NG ini sebenarnya adalah “receivers” yang tidak menghasilkan sebarang tenaga elektromagnetik, sekaligus menyukarkan pihak musuh untuk memusnahkannya menggunakan peluru berpandu anti-radiasi.
Vera NGjuga berkemampuan untuk melakukan pemantauan rentas sempadan secara jangka panjang tanpa dikesan oleh negara-negara jiran, selain mengumpul maklumat dan analisis perisikan elektronik (electronic intelligence) secara jangka panjang.
Malaysia juga memiliki kemampuan di dalam bidang EW/Passive Surveillance System.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Menerusi maklumat open source, Malaysia dikatakan turut memiliki peralatan berkemampuan di dalam EW/Passive Surveillance System.
Sejak tahun 2009 lagi, memang sudah kedengaran cakap-cakap dikalangan pemerhati ketenteraan dalam dan luar negara tentang pemilikan sistem Vera-E passive surveillance system oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Vera-E, adalah suatu sistem yang popular di kalangan angkatan tentera seluruh dunia kerana kemampuan pengesanan sasaran milik musuh dan Malaysia dikatakan telah memilikinya seawal 2007.
Kemampuannya ditakrifkan seperti “Sees Without Being Seen” (Melihat Tanpa Dilihat). — DSA