Indonesia Bina Stesen Kapal Selam Di Natuna, Reaksi Terhadap Pencerobohan Kapal China

Akhir-akhir ini kapal-kapal pengawal pantai China dan kapal penyelidik negara itu telah meningkatkan "kehadiran" mereka di perairan sekitar Pulau Natuna yang dikenali sebagai kawasan yang kaya dengan minyak dan gas.

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini dunia pertahanan dan keselamatan.

 

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berikutan keadaan terkini di Laut China Selatan yang semakin “panas” berikutan tindakan agresif Beijing serta peningkatan pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China di perairan sekitar Natuna, maka Indonesia telah bertindak untuk memulakan pembinaan sebuah stesen bantuan kapal selam di Pulau Natuna Besar.

Pembinaan stesen kapal selam itu berkemungkinan adalah reaksi balas Jakarta terhadap peningkatan kehadiran kapal-kapal milik China di sekitar perairan Natuna miliknya yang kaya dengan sumber-sumber minyak dan gas.

China mungkin mensasarkan lapangan-lapangan minyak dan gas di sekitar Natuna itu sebagaimana yang berlaku terhadap Blok Tuna pada ketika ini.

April  lepas, Tentera Laut Indonesia (TNI-AL) telah mengadakan satu majlis bagi menandakan bermulanya kerja-kerja pembinaan stesen bantuan kapal selam di Pulau Natuna Besar, bertujuan untuk memudahkan kapal selam-kapal selamnya yang beroperasi di kawasan perairan terbabit.

Stesen bantuan kapal selam adalah untuk menyokong operasi dan misi kapal selam-kapal selam milik Tentera Laut Indonesia di sekitar perairan Natuna yang kini kerap “dikunjungi” oleh kapal-kapal pengawal pantai, penyelidik serta nelayan (militia maritim) China.

Pulau Natuna

 

Berkemungkinan juga rondaan kapal-kapal selam China sudah sampai di dasar laut Natuna, memaksa Indonesia memperkuatkan infrastruktur kapal selamnya untuk memantau pergerakan aset-aset dasar laut Beijing itu,

Dengan pembinaan stesen kapal selam di Natuna itu, kita boleh menjangkakan peningkatan aktiviti dan operasi kapal selam Indonesia di kawasan terbabit yang terletak tidak jauh daripada sempadan maritim Malaysia juga.

Perasmian permulaan kerja-kerja pembinaan stesen bantuan kapal selam itu dilakukan oleh Panglima Tentera Laut Indonesia itu sendiri, Laksamana Yudo Margono dan terletak berhampiran dengan Selat Lampa dan Laut China Selatan itu sendiri.

“TNI Angkatan Laut tetap berkomitmen bahwa peningkatan sarana dan prasarana pendukung tugas operasi merupakan prioritas dalam menuju TNI Angkatan Laut yang profesional, mandiri dan tangguh,” kata Laksamana Yudo yang kini juga disebut-sebut sebagai bakal Panglima Tentera Nasional Indonesia.

Stesen bantuan kapal selam di Pulau Natuna Besar akan dibina di atas tanah seluas 1.050 meter persegi dan dua bangunan seluas 1.008 meter persegi.

Turut dibina adalah “Mes Tjiptadi Lanal Ranai” dengan pelbagai kemudahan antaranya bilik bagi anggota kapal selam.

Daripada stesen bantuan kapal selam di Pulau Natuna Besar itu, kapal-kapal selam Indonesia boleh dilancarkan untuk menjalankan operasi di Laut China Selatan.

Anggota BAKAMLA memerhati operasi di pelantar minyak Clyde Boudreaux di Blok Tuna, utara Laut Natuna. (gambar kredit BAKAMLA)

 

Majalah pertahanan antarabangsa, Janes pernah melaporkan seawal tahun 2016 bahawa Indonesia  merancang untuk membina sebuah pengkalan kapal selam di Pulau Natuna Besar.

Pihak tentera laut republik itu dilaporkan telah memohon peruntukan sebanyak US$40 juta (RM160 juta) untuk membina pangkalan kapal selam itu.

Laporan oleh Janes itu adalah berdasarkan kepada transkrip pertemuan di antara Panglima TNI pada ketika itu  Jeneral Gatot Nurmantyo dan jawatankuasa pertahanan, perisikan serta hubungan luar DPR.

Apa yang kita dapat lihat, Indonesia secara berperingkat telah membangunkan kemudahan tentera di Natuna berikutan ancaman daripada pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China di kawasan perairan berhampiran pulau yang kaya dengan sumber asli itu.

Natuna bakal menjadi pangkalan laut yang penting bagi tentera Indonesia kerana kedudukannya yang berdepan dengan Laut China Selatan dan kerana kekayaan sumber asli yang dimiliki oleh pulau itu.

Menurut badan kawalselia gas Indonesia, SKK Migas, di bawah dasar laut perairan sekitar Pulau Natuna itu terletaknya medan gas asli terbesar Indonesia yang dianggarkan bernilai berbillion dollar jika ia dikomersialkan.

Medan gas asli di Natuna adalah jauh lebih besar daripada apa yang ditemui di perairan Maluku dan Makassar.

Walaupun Indonesia tidak terlibat dalam pertikaian dengan China berkenaan isu Laut China Selatan, tetapi kebelakangan ini semakin banyak kapal-kapal pengawal pantai negara ini muncul di perairan berhampiran Pulau Natuna.

Pelantar minyak “Clyde Boudreaux” yang terletak di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia di Natuna kini menjadi sasaran “gangguan” daripada kapal-kapal pengawal pantai China dan kapal penyelidiknya.

Gangguan daripada kapal-kapal China itu juga memaksa Jakarta untuk mengerahkan kapal-kapal perangnya serta pengawal pantainya (BAKAMLA) ke Natuna untuk memantau aktiviti haram China itu.

Kapal Pengawal Pantai China “5204” dikesan oleh kapal Badan Keamanan Laut (BAKAMLA) Indonesia menceroboh perairan EEZ negara itu di utara Laut Natuna berhampiran Kepulauan Riau hari ini. (kredit Jakarta Post/BAKAMLA)

 

Apa yang dapat kita lihat adalah tindakan agresif China di Laut China Selatan telah memaksa beberapa negara di rantau ini untuk meningkatkan aset dan kemudahan infrastruktur pertahanan mereka.

Bagi Malaysia, adakah kita hanya perlu bergantung kepada diplomasi ketenteraan sahaja untuk menangani sikap agresif China ini?

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

IndonesiaKapal SelamNatuna