Indonesia Hampir Pasti Membeli Pesawat Pejuang Rafale -Media Perancis

Media-media Perancis mendakwa Jakarta telah pun membuat keputusan untuk membeli 36 buah pesawat pejuang Omnirole Rafale yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia bakal mengikut jejak langkah Mesir dalam memilih pesawat pejuang Rafale sebagai pesawat pilihan untuk tentera udaranya, dengan perjanjian pembelian dijangka ditandatangani tidak lama lagi.

Media-media Perancis mendakwa Jakarta telah pun membuat keputusan untuk membeli 36 buah pesawat pejuang Omnirole Rafale yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation.

Malaysia yang bertahun-tahun membuat kajian sama ada hendak membeli pesawat pejuang Rafale ini, tetapi akhirnya negara jiran kita yang mendapatkannya,

Kementerian Pertahanan Indonesia dilaporkan telah bersetuju akan pembelian itu dan kini sedang menunggu keputusan akhir oleh Presiden Joko Widodo yang dijangka akan mengikuti keputusan yang dibuat oleh Menteri Pertahannya, Prabowo Subianto.

Dalam lawatannya ke Paris pada Oktober tahun lepas, Prabowo menegaskan minat negara jiran Malaysia itu untuk mendapatkan pesawat pejuang Rafale itu.

Menurut media Perancis lagi, pembelian pesawat Rafale oleh Indonesia itu kemungkinan besar akan dibiayai sebahagiannya oleh konsortium bank-bank Perancis, sebagaimana yang dilakukan oleh Mesir ketika ia memperolehi pesawat pejuang itu.

Cara pembelian Rafale itu adalah berlainan dengan tawaran pembelian pesawat pejuang Su-35 daripada Russia yang akan dibiayai menerusi sebahagian wang tunai, hutang dan barter trade (timbal-balik).

Sebagaimana yang kita tahu, cadangan pembelian Su-35 itu kemungkinan besar tidak akan menjadi kenyataan. (mungkin lebih disebabkan oleh ancaman sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat menerusi undang-undang CAATSA).

Media Perancis mengatakan, apa yang lebih menarik adalah menerusi pembelian itu Indonesia akan menjadi sebahagian daripada “supply-chain” pembuatan pesawat itu, dengan aspek pemindahan teknologi amat dipentingkan oleh Jakarta.

Indonesia bakal menjadi pembekal komponen pesawat pejuang Rafale.

Baru-baru ini, Mesir bersetuju untuk membeli 30 buah pesawat pejuang Rafale, sebagai tambahan kepada 24 buah Rafale yang diperolehinya beberapa tahun lepas.

Selain Mesir, Greece turut bersetuju untuk mendapatkan kira-kira 18 buah pesawat pejuang Rafale itu, manakala Qatar juga bakal memberolehi kira-kira 24 buah pesawat pejuang canggih itu daripada Perancis.

Pesawat pejuang Perancis itu turut menjadi pilihan kepada tentera udara India, dengan beberapa pesawat Rafale telah pun tiba di India.

Terbaru, Croatia juga dilaporkan memilih pesawat pejuang Rafale sebagai pilihan untuk tentera udaranya.

DEFENCE SECURITY ASIA

DassaultIndonesiaPerancisRafale
Comments (0)
Add Comment