Lawatan Pegawai Kanan Perisikan ISI Pakistan ke Banglaesh Cetus “Kemarahan, Kebimbangan” India

Sebagai reaksi balas terhadap lawatan pegawai agensi perisikan Pakistan Inter-Services Intelligence (ISI) ke Bangladesh, India menyatakan bahawa mereka sedang memantau perkembangan terkini secara rapat dan "akan mengambil langkah yang sewajarnya" sekiranya ia menyentuh tentang hal ehwal keselamatan negara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hubungan di antara India dan Bangladesh yang sedia tegang pada ketika ini semakin “bercelaru” selepas pegawai-pegawai tinggi agensi perisikan Pakistan, Inter-Services Intelligence (ISI) dilaporkan melawat Dhaka beberapa hari lalu.
Lawatan pegawai tertinggi tentera dan perisik Pakistan ke Bangladesh telah mencetuskan dan kemarahan kebimbangan di New Delhi.
Sebagai reaksi balas terhadap lawatan pegawai perisikan Pakistan ke Bangladesh, India menyatakan bahawa mereka sedang memantau perkembangan terkini secara rapat dan “akan mengambil langkah yang sewajarnya” sekiranya ia menyentuh tentang hal ehwal keselamatan negara.
“Kami sentiasa memantau semua aktiviti di sekitar negara dan di rantau ini, termasuk segala aktiviti yang memberi kesan kepada keselamatan negara, dan kerajaan akan mengambil langkah yang sewajarnya,” kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri India Randhir Jaiswal, dalam satu taklimat media mingguan.
Delegasi pegawai-pegawai tinggi agensi perisikan Pakistan itu yang diketuai oleh Mejar Jeneral Shahid Amir Asfar menghabiskan empat hari di Bangladesh.
Lawatan oleh pegawai agensi perisikan Pakistan, ISI itu adalah susulan kunjungan pegawai tertinggi tentera Bangladesh ke Pakistan baru-baru ini, di mana mereka telah bertemu dengan panglima bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan tentera.
Inter-Services Intelligence (ISI) Pakistan
India menganggap agensi perisikan Pakistan, ISI sebagai antara “musuh utamanya” kerana beberapa sebab utama yang berkaitan dengan sejarah konflik, isu keselamatan, dan ketegangan geopolitik.
ISI sering dituduh oleh India menyokong dan membiayai kumpulan militan yang beroperasi di wilayah Jammu dan Kashmir seperti Lashkar-e-Taiba (LeT) dan Jaish-e-Mohammed (JeM) yang dikaitkan dengan serangan terhadap sasaran India, termasuk serangan Mumbai 2008 dan serangan Pulwama 2019.
Hubungan India dan Pakistan telah tegang sejak pemisahan pada tahun 1947, termasuk beberapa peperangan seperti Perang 1947-1948, 1965, dan 1971.
ISI sering dilihat sebagai simbol perancangan strategik Pakistan dalam usaha melemahkan India di peringkat geopolitik dan ketenteraan.
India juga menuduh ISI terlibat dalam operasi perisikan yang bertujuan menggugat kestabilan India, seperti menyokong gerakan separatis di Punjab (gerakan Khalistan), Timur Laut India, dan aktiviti sabotaj lain.
India dan Pakistan bersaing untuk pengaruh di Asia Selatan, dan ISI dilihat sebagai alat utama Pakistan untuk melawan pengaruh India, termasuk melalui diplomasi, perang proksi, dan strategi geopolitik.
India juga dikatakan tidak senang dengan cadangan Bangladesh untuk memperolehi 32 buah pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang dibangunkan oleh Pakistan dan China.
Sejak pergolakan yang berlaku selepas penggulingan bekas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina, negara Asia Selatan itu yang kini dipimpin oleh pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus semakin mesra dengan Pakistan, sekaligus menimbulkan kebimbangan di India.
Menurut media-media India, walaupun hubungan antara Bangladesh dan Pakistan tegang sejak berdekad lamanya, namun penyingkiran bekas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina baru-baru ini telah memperbaiki hubungan tersebut disebabkan oleh sentimen anti-India yang semakin meningkat di kedua-dua negara.
Demonstrasi besar-besaran penuntut di Bangladesh telah menyebabkan kejatuhan kerajaan Bangladesh pimpinan Liga Awami yang dipimpin oleh Sheikh Hasina.
Bekas Perdana Menteri Bangladesh itu telah melarikan diri ke India dan kini tinggal dalam buangan di negara jiran Bangladesh itu.
Kerajaan Bangladesh yang kini dipimpin oleh pemenang hadiah Nobel Muhamad Yunus telah beberapa kali mendesak supaya India mengektradisi Sheikh Hasina,beberapa menteri kabinetnya dan bekas pegawai kerajaan untuk diadili atas beberapa tuduhan termasuk pembunuhan tetapi tidak dilayan oleh New Delhi.
Disebabkan keengganan itu, hubungan di antara kedua-dua negara jiran itu semakin tegang.
 Bayraktar TB2 milik Tentera Bangladesh
Malah dalam laporan oleh Defence Security Asia pada Disember tahun lepas menyatakan bahawa India telah mengancam untuk menembak jatuh dron buatan Turkiye, Bayraktar TB2 milik Tentera Bangladesh sekiranya dron ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaissance)  milik negara jirannya itu terbang hampir dengan sempadan kedua-dua negara.
“Kita mempunyai kemampuan untuk menjejaki dan menembak jatuh mana-mana dron atau objek yang menceroboh ruang udara India, “ menurut pegawai berkenaan ketika ditanya tentang laporan berkenaan penerbangan dron Bayraktar TB2 milik tentera Bangladesh berhampiran sempadan kedua-dua negara itu dipercayai untuk misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR).
Angkatan Tentera Bangladesh dilaporkan telah memperolehi 12 buah Medium Altitude Long Endurance (MALE) Bayraktar TB2 daripada Turkiye dengan enam daripadanya sudah pun beroperasi.
India juga dikatakan tidak senang dengan cadangan Bangladesh untuk memperolehi 32 buah pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang dibangunkan oleh Pakistan dan China.
Kerajaan di New Delhi dilaporkan akan berusaha untuk “mengagalkan” usaha Bangladesh itu memperolehi pesawat pejuang yang dibangunkan secara oleh negara-negara dianggap sebagai “musuhnya” iaitu Pakistan dan China.
Pesawat pejuang JF-17  itu dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu  Aircraft  Industry Group (CAIG) daripada China.
Ia digunakan oleh Tentera Udara Pakistan (termasuk varian terkininya Block III) dan turut dieksport ke beberapa negara lain.
– DEFENCE SECURITY ASIA

BangladeshISIPakistan
Comments (0)
Add Comment