Sudah Bersediakah Israel Untuk Berdepan Dengan Pejuang Hezbollah?

"Berbanding pada tahun 2006, kekuatan Hezbollah pada ketika ini adalah berkali-berkali ganda," kata penganalisis tentera Israel itu, sambil menambah, bukan sahaja bilangan keanggotaan Hezbollah sudah meningkat, tetapi ia juga meliputi kecanggihan senjata-senjata dalam pegangannya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketika tentera Israel mengerahkan lebih banyak kereta kebal, kereta perisai dan meriam ke sempadannya dengan Lubnan untuk berhadapan dengan pejuang Hezbollah, penganalisis tentera negara itu  memberi amaran tentang “kesukaran” yang bakal mereka tempuhi apabila berhadapan dengan kumpulan bersenjata yang disokong oleh Iran itu.

Penganalisis tentera Israel menyatakan dengan jelas bahawa Hezbollah yang bakal dihadapi oleh Israel dalam konflik pada ketika ini bukanlah Hezbollah mereka hadapi pada konflik tahun 2006, kira-kira 17 tahun yang lalu.  

“Berbanding pada tahun 2006, kekuatan Hezbollah pada ketika ini adalah berkali-berkali ganda,” kata penganalisis tentera Israel itu, sambil menambah, bukan sahaja bilangan keanggotaan Hezbollah sudah meningkat, tetapi ia juga meliputi kecanggihan senjata-senjata dalam pegangannya.

Tel Aviv telah pun diberikan amaran oleh perunding-perunding Mesir, sekiranya mereka memulakan operasi darat di Semenanjung Gaza untuk “menghapuskan” Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin yang lain, maka Hezbollah akan membuka medan peperangan yang baru di sempadan Lubnan-Israel.

Jikalau Israel merasakan kini ia semakin sukar untuk “mengalahkan” Hamas di Semenanjung Gaza, kesukaran dihadapinya akan berlipat-ganda apabila berhadapan dengan pejuang-pejuang Hezbollah yang lebih berpengalaman itu. 

Pejuang Hezbollah

 

Mengapa Israel perlu merasa “bimbang” untuk berhadapan dengan pejuang Hezbollah kali ini”

Salah satu sebabnya adalah, Hezbollah yang bakal dihadapinya sekiranya keadaan pada ketika ini menjadi lebih buruk, bukanlah Hezbollah yang cuba ia tundukkan dalam konflik bersenjata terakhir antara mereka pada tahun 2006 .

Konflik pada 2006 itu juga dipanggil “The Second Lebanon War 2006”.

Menurut badan pemikir Center for Strategic and International Studies (CSIS), tidak dapat dinafikan Hezbollah adalah kumpulan bersenjata (non-state actor) yang paling lengkap di dunia pada ketika ini, dengan pengalaman yang luas dalam melaksanakan peperangan tidak simetri.

“Mereka (Hezbollah) bukan seperti kumpulan-kumpulan militia sembarangan. Ini adalah  kerana anggota-anggota Hezbollah itu dilatih dan dilengkapi dengan pelbagai senjata seperti sebuah angkatan tentera sesebuah negara.”

Kekuatan utama Hezbollah menurut badan pemikir itu adalah sistem roket darat-ke-darat, yang pelbagai kaliber dan jaraknya,.

Roket Zelzal-1 turut dimiliki oleh Hezbollah.

 

Walaupun sistem roket dimiliki oleh oleh kumpulan militan pro-Iran itu tidak berapa tepat,namun disebabkan bilangan roket yang dimiliknya adalah amat besar,  ia menjadikan senjata yang menggerunkan Israel dan rakyatnya berkemungkinan menjadi sasaran.

Tidak pasti sama ada sistem pertahanan udara yang dibanggakan oleh Israel,  “Iron Dome” mampu menangani “saturation strikes” ribuan roket dilancarkan oleh pejuang-pejuang Hezbollah.

Menurut laporan-laporan perisikan dan media Israel, ketika konflik bersenjata terhad antara Israel dan Hezbollah pada 2006, kumpulan bersenjata itu dipercayai memiliki sekitar 15,000 roket dan peluru berpandu.

Sepanjang 34 hari konflik pada 2006 itu, Hezbollah telah melancarkan 4,000 roket terhadap Israel .

“Bagaimanapun sejak berakhirnya konflik pada 2006 itu, Hezbollah telah mempertingkatkan kekuatannya terutama dalam aspek pemilikan roket-roket yang semakin canggih. Kini ia (Hezbollah) dipercayai memiliki di antara 130,000 hingga 150,000 buah roket pelbagai jenis dalam simpanannya,” kata badan penyelidik itu.

Antara jenis-jenis roket yang dimiliki oleh Hezbollah termasuklah Katyusha, Fajr-1, Falaq 1,Falaq 2, Shahin-1, Type-81, Fajr-3,Fajir-5, Raad-2,Raad-3, Khaibar-1, Zelzal-1, Zelzal-2, Fateh-110 dan Scud B, C, D.

Menurut CSIS lagi, pelancaran roket-roket menggunakan sistem pelancar bergerak daripada celah-celah bangunan atau semak-samun di selatan Lubnan terhadap penempatan penduduk Israel di utara negara itu menyukarkan tindak balas tentera Israel yang bergantung kepada kekuatan udaranya.

Ketidakupayaan memusnah infrastruktur ketenteraan Hezbollah menerusi serangan udara semata-mata bakal memaksa tentera Israel menggunakan tentera daratnya untuk cuba memusnahkan infrastruktur  ketenteraan kumpulan bersenjata pimpinan Sheikh Hassan Nasrallah di selatan Lubnan itu.

Sememangnya serangan darat oleh tentera Israel itu adalah senario yang amat ditunggu-tunggu oleh kumpulan bersenjata selatan Lubnan itu.

Sebagaimana yang telah pun dibuktikan oleh Hezbollah pada 2006, walaupun Israel memiliki pasukan armor yang jitu, namun ia tetap berhadapan dengan kesukaran untuk menumpaskan kumpulan bersenjata itu dalam pertempuran di darat.

Di darat, unit-unit kecil anggota Hezbollah yang menunggang motosikal atau kenderaan pikap dan dilengkapi dengan dengan senjata anti-kereta kebal seperti Kornet-E, Metis-M atau RPG-29 “Vampir” bersedia memburu kereta-kereta kebal dan perisai tentera Israel sebaik sahaja mereka menyeberangi sempadan.

Senjata anti-kereta kebal Hezbollah yang lain termasuklah AT-3 “Sagger”,AT-4 “Spigot” dan AT-5 “Spandrel.”

Anggota Hezbollah menggunakan peluru berpandu anti-kereta kebal “Kornet”

 

Jikalau di udara, tentera Israel menjadi “pemburu” tetapi di darat, anggota tentera mereka pula diburu oleh anggota Hezbollah.

Tentera Israel tidak mempunyai jawapan kepada taktik peperangan tidak simetri yang digunakan oleh Hezbollah, menggunakan pengetahuan mendalam mereka tentang keadaan persekitaran di selatan Lubnan sebagai kelebihan dan kekuatan mereka.

Menurut komander-komander kereta kebal Israel yang beraksi pada konflik 2006, unit-unit peluru berpandu anti-kereta kebal Hezbollah telah menyebabkan kerosakkan dan kemusnahan kira-kira 20 peratus kekuatan armor mereka pada ketika itu.

Serangan senjata anti-kereta kebal oleh pejuang Hezbollah berjaya mengenai 50 kereta kebal Merkava Israel, dengan 21 daripada daripada kereta kebal yang dikatakan terbaik di di dunia itu musnah dibedil.

“Hezbollah juga menggunakan peluru-peluru berpandu anti-kereta kebal untuk memusnahkan bangunan dan kubu-kubu yang menempatkan anggota tentera Israel pada konflik bersenjata yang berlaku pada 2006 itu,” kata CSIS.

Kereta kebal “Merkava” musnah selepas dibedil oleh Hezbollah pada peperangan pada 2006.

 

Menurut penganalisis, lebih banyak anggota tentera darat Israel terbunuh akibat serangan peluru berpandu Hezbollah daripada pertempuran menggunakan senjata yang lain.

Semasa di bertempur dengan kumpulan pengganas ISIS di Syria dan Iraq, Hezbollah juga telah menggunakan peluru berpandu anti-kereta kebal dengan jayanya untuk menangani kenderaan-kenderaan dilengkapi bahan letupan yang digunakan oleh kumpulan pengganas itu.  

Selain peluru berpandu anti-kereta kebal,Hezbollah juga dilengkapi dengan sistem peluru berpandu anti-kapal C-802 dan Yakhont.

Hezbollah juga dikatakan memiliki sistem pertahanan udara terutamanya sistem MANPADS seperti SA-7 Grail (Strela) dan SA-16 Gimlet (Igla), tetapi terdapat juga laporan mendakwa kumpulan bersenjata itu kini dilengkapi dengan sistem pertahanan udara BUK-M2 dan juga Pantsir untuk pertahanan udara jarak sederhana.

Jikalau benar bahawa Hezbollah kini memiliki sistem pertahanan udara jarak sederhana, ini akan membuatkan pesawat-pesawat pejuang Israel untuk terbang lagi tinggi, menyukarkan lagi kempen udaranya untuk memusnahkan kumpulan bersenjata itu.

Jikalau itulah senarionya, maka “mahu tidak mahu” Israel terpaksa menghantar tentera daratnya ke selatan Lubnan untuk berhadapan dengan Hezbollah, suatu prospek yang Tel Aviv mahu elakkan kerana ia sedar lawannya itu kini semakin berkeupayaan dan jauh lebih sukar untuk ditundukkan berbanding 2006.

Laporan daripada Tel Aviv juga menyatakan bahawa terdapat “pertelingkahan pendapat” di antara agensi perisikan Israel, Mossad dengan tentera Israel mengenai respons mereka terhadap Hezbollah.

Mossad mahu tindakan ketenteraan yang lebih keras dikenakan terhadap Hezbollah, tetapi perkara itu dibantah oleh tentera Israel.– DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredHadapiHezbollahIsraelKonflik