Sudah Dua Minggu Kapal Penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 Berada Dalam Perairan ZEE Malaysia

Walaupun sudah dua minggu berada di dalam perairan ZEE Malaysia menjalankan kajian-kajian saintifik dasar laut, namun belum ada sebarang komen spesifik daripada Kementerian Luar atau Kementerian Pertahanan mengenai kehadiran kapal “Haiyang Dizhi 8” milik China itu sehingga kini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini, sudah dua minggu kapal penyelidikan China, Haiyang Dizhi 8 berada di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals), dipercayai menjalankan kerja-kerja kajian dasar laut di kawasan perairan milik Malaysia yang kaya dengan khazanah minyak dan gas.

Menurut penyelidik antarabangsa Raymond Powell, kapal penyelidik China itu pernah dikesan berada pada kedudukan paling hampir kira-kira 100 batu nautika daripada pantai Malaysia.

“Kapal survei China, Haiyang Dizhi 8 masih dikawal oleh kapal pengawal pantai negara itu, CCG 5202 sejak ia mula memasuki kawasan perairan ZEE Malaysia pada 21 Jun lepas.”

Kedudukan kapal penyelidikan China, Haiyang Dizhi 8 di dalam perairan ZEE Malaysia. (kredit @GordionKnotRay

 

“Kapal China itu kini dibayangi (shadow) oleh kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Kelantan,” kata Powell Powell menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya  di @GordionKnotRay.

Ray, bekas kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat adalah ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford.

Walaupun sudah dua minggu berada di dalam perairan ZEE Malaysia menjalankan kajian-kajian saintifik dasar laut, namun belum ada sebarang komen spesifik daripada Kementerian Luar atau Kementerian Pertahanan mengenai kehadiran kapal “Haiyang Dizhi 8” milik China itu sehingga kini.

Kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 yang pernah mencetus insiden yang sama di perairan ZEE Malaysia tiga tahun lepas.

Kapal penyelidik Haiyang Dizhi 8 itu dipercayai mensasarkan kawasan-kawasan perairan ZEE Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas serta menempatkan aktiviti cari gali minyak dan gas membabitkan Petronas dan rakan-rakan perniagaannya.

KD Kelantan

 

Tiga tahun lepas, kapal penyelidik China itu dikesan beroperasi di lokasi perairan berhampiran dengan aktiviti kapal ultra drillship, West Capella yang dikontrak oleh Petronas untuk menjalankan kerja-kerja penggerudian.

Kehadiran kapal Haiyang Dizhi 8 di dalam perairan ZEE Malaysia pada April 2020 itu juga telah dikawal ketat oleh beberapa buah kapal pengawal pantai serta maritim militia China, sama seperti apa yang sedang berlaku pada ketika ini.

Pada 27 Jun lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kawasan-kawasan perairan ZEE milik negara di luar pantai Sarawak seperti di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) dan Beting Raja Jarom (Luconia Breaker) yang kaya dengan sumber minyak dan gas akan dipertahankan “at any cost” (apa cara sekalipun).

Menurutnya, kawasan perairan ZEE negara di luar pantai Sarawak itu menempatkan Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS.

Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang diusahakan oleh PETRONAS.

 

“Kawasan (Lapangan Gas) Kasawari dan Beting Raja Jarom berada di dalam kawasan ZEE kita yang telah termaktub dalam United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).”

“Mengambil kira kawasan itu seperti (Lapangan Gas) Kasawari dan Beting Patinggi Ali itu adalah kawasan yang memberikan pendapatan kepada negara hampir 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dimana di situlah terletaknya telaga minyak kita, di situlah telaga gas kita, maka ia perlu dipertahankan ‘at any cost’,” kata Mohamad Hasan.

Pencerobohan kapal-kapal asing di kawasan ZEE negara di situ kata Menteri Pertahanan, adalah suatu isu yang amat sensitif dan perlu diurus dengan cara yang terbaik kerana “kita tidak mahu ada insiden-insiden yang kita tidak mahu terjadi.”  — DSA

 

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Beting Patinggi AlifeaturedHaiyang Dizhi 8Kapal PenyelidikTLDM
Comments (0)
Add Comment