Gambar Satelit Tunjuk Pangkalan Udara Iran Buat Persiapan Terakhir Sebelum Terima Sukhoi Su-35

Penganalisis pertahanan menyatakan bahawa terdapat kemungkinan kubu-kubu yang sedang dibina itu adalah untuk menempatkan pesawat pejuang Sukhoi Su-35 yang bakal diterima oleh Iran daripada Russia di dalam tempoh terdekat, sebagaimana didakwa oleh laporan media baru-baru ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Gambar-gambar satelit yang diambil baru-baru ini menunjukkan aktiviti pembinaan beberapa kubu penempatan pesawat sedang rancak dilakukan di Pangkalan Tentera Udara Iran di Hamadan.
Apa yang menarik adalah saiz kubu-kubu penempatan pesawat sedang dibina itu yang jauh lebih besar, membawa kemungkinan ia adalah untuk menempatkan pesawat-pesawat pejuang yang lebih besar dan lebih canggih.
Penganalisis pertahanan menyatakan bahawa terdapat kemungkinan kubu-kubu yang sedang dibina itu adalah untuk menempatkan pesawat pejuang Sukhoi Su-35 yang bakal diterima oleh Iran daripada Russia di dalam tempoh terdekat, sebagaimana didakwa oleh laporan media baru-baru ini.
Ia juga menyatakan bahawa usaha Iran untuk memperolehi pesawat pejuang generasi 4.5 daripada Russia itu masih berjalan dengan baik, walaupun laporan sebelum ini menyatakan usaha Teheran untuk mendapatkan pesawat pejuang berhadapan dengan jalan sukar.
Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Iran telah diberikan kebenaran oleh Russia untuk memasang pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 secara berlesen di dalam negara Parsi.
Jika laporan itu terbukti benar, langkah pemasangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 buatan Russia itu bakal meningkatkan lagi kemampuan udara Teheran yang dilihat “terbelakang” berbanding cabang-cabang ketenteraannya yang lain.

Menurut pemerhati, dengan pemasangan dalam negara, bilangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Iran boleh mencecah lebih daripada 100 buah pesawat dalam tempoh terdekat.
Kerjasama di antara Iran dan Russia berkenaan pemasangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 dalam negara itu merupakan suatu “berita buruk” kepada beberapa negara pro-Amerika Syarikat di Timur Tengah, kerana kekuatan udara yang selama didominasi mereka kini bakal dicabar oleh Teheran.
Laporan menyatakan bahawa Iran akan memasang di antara 48 buah hingga 77 buah pesawat pejuang Su-35 (Flanker-E) dalam negara dengan kerjasama Russia, manakala bilangan pesawat pejuang Su-30 yang akan dipasang dalam Iran masih tidak pasti,tetapi ia berkemungkinan adalah lebih tinggi ketimbang pesawat pejuang Su-35.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa Russia bertindak menjual pesawat-pesawat pejuang Su-35 selepas Mesir membatalkan pembelian 24 buah pesawat pejuang itu disebabkan tekanan oleh Amerika Syarikat.
Mesir telah menandatangani perjanjian dengan Russia untuk memperolehi 24 buah pesawat pejuang Su-35, tetapi Kaherah membatalkan pembelian pesawat pejuang itu selepas ia diancam oleh Amerika Syarikat untuk dikenakan sekatan ekonomi dibawah CAATSA sekiranya ia meneruskan pembelian pesawat Russia itu.
Su-35 “Flanker E”
Penerimaan pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Russia, Su-35 “Flanker E” itu juga berkemungkinan adalah sebahagian daripada “habuan” terhadap bantuan ketenteraan yang diberikan oleh Iran kepada Russia bagi membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.
Teheran telah membekalkan ribuan dron-dron berani mati “Shahed-136” dan terkini, peluru-peluru berpandu ballistik kepada Russia yang menggunakannya untuk membedil infrastruktur dan kedudukan tentera Ukraine.
Menurut pemerhati ketenteraan di Timur Tengah, penerimaan pesawat-pesawat Su-35 oleh Iran itu dijangka akan membantu sedikit-sebanyak usaha Teheran untuk membangunkan tentera udaranya yang pada masa ini terpaksa bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia.
Pada ketika ini, Tentera Udara Iran masih lagi bergantung kepada pesawat-pesawat lama buatan Amerika Syarikat seperti F-4 Phantom, F-14 Tomcat dan F-5 yang diperolehi ketika Iran masih berada di bawah pemerintahan Shah Iran yang pro-Barat.
Pemerintahan Shah Iran tumbang dalam satu revolusi pada 1979 dan diambilalih oleh Ayatollah Khomeini.
Selain pesawat-pesawat buatan Russia dan Amerika Syarikat, Tentera Udara Iran turut mengoperasi pesawat-pesawat pejuang lama buatan Perancis dan China. — DSA
featuredHamadanIranSu-35
Comments (0)
Add Comment