FA-50 Calon Pilihan Persaingan Pesawat FLIT/LCA Tentera Udara Slovakia

Pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) itu dikatakan adalah calon pilihan untuk memenangi persaingan untuk membekalkan 10 buah pesawat FLIT/LCA kepada Tentera Udara Slovakia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selain Malaysia, pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) juga dikatakan calon utama untuk memenangi tender pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) Tentera Udara Slovakia.

Tentera Udara Slovakia sedang menimbangkan untuk mendapatkan kira-kira 10 buah pesawat FLIT/LCA yang dianggarkan bernilai US$500 juta (RM2 bilion) untuk menggantikan pesawat latihan L-39 Albatross yang digunakan olehnya.

Slovakia bakal menjadi pelanggan Eropah yang pertama bagi KAI jika negara Eropah itu memilih pesawat FA-50 bagi tentera udara negara itu.

“Kita melihat kepada Slovakia sebagai permulaan untuk kita menembusi pasaran di Eropah,” menurut ketua pegawai eksekutif KAI Ahn Hyun-ho.

Baru-baru ini, KAI telah menandatangani perjanjian dengan firma penyelenggaran pesawat Slovakia dikenali dengan nama “ Letecke Opravovne Trencin” (LOTN) bertujuan untuk meninjau peluang-peluang offset yang bakal dijalin oleh kedua-dua negara itu sekiranya pesawat FA-50 itu dipilih oleh Slovakia.

Pesawat LCA FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries.

 

Dengan kemasukan KAI dalam persaingan pesawat FLIT/LCA Slovakia, ia akan menjadikan pertandingan tiga penjuru membabitkan KAI, Leonardo yang menawarkan pesawat M-345 dan L-39NG yang ditawarkan oleh Aero Vodochody.

Dikatakan sebuah pesawat L-39NG yang ditawarkan kepada Slovakia hanya bernilai US$10 juta (RM40 juta) dengan kos operasi yang amat rendah berbanding pesaing-pesaingnya.

Slovakia merancang untuk membeli 10 buah pesawat FLIT/LCA untuk menyediakan juruterbang-juruterbangnya yang bakal mengoperasikan F-16 Block 70 yang baru dibelinya daripada Amerika Syarikat.

Sejumlah 72 buah pesawat FA-50/T-50 telah dieksport kepada empat buah negara iaitu Thailand, Indonesia, Filipina dan Iraq sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Julai tahun ini, Indonesia dan Thailand memesan pesawat-pesawat tambahan masing-masing ebanyak enam dan dua buah daripada kedua-dua negara Asia Tenggara itu.

Syarikat KAI dikatakan telah meletakkan sasaran untuk menjual kira-kira 1,000 pesawat FA-50/T-50 di dalam tempoh 20 tahun ketika ia berjaya merendahkan lagi kos operasi pesawat itu dan meningkatkan lagi kemampuannya.

Pesawat FA-50 Varian MRCA

 

Selain mensasarkan Malaysia sebagai pelanggan terbarunya,  syarikat KAI juga sedang meningkat usaha pemasarannya untuk menjual pesawat itu kepada negara-negara seperti Senegal, Colombia dan beberapa negara di Amerika Utara dan Oceania.

Di Malaysia,KAI sedang bersaing dengan beberapa lagi syarikat pembuat pesawat antaranya termasuk Hindustan Aeronautics Ltd yang menawarkan Tejas, Leornardo M-346FA, usahasama China/Pakistan yang menawarkan J-17 Thunder, L-15 oleh CATIC daripada China, Gripen oleh Saab, MiG-35 dan Turkish Aerospace dengan pesawat “Hurjet.”

Malaysia dijangka membuat keputusan mengenai perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA bernilai kira-kira RM4 billion dalam pertengahan tahun depan.

KAI yang menawarkan pesawat FA-50 Block 20 bersama-sama kolaborasi teknologi termasuk pemasangan akhir pesawat itu di negara ini, dikatakan adalah calon utama untuk memenangi tender Kementerian Pertahanan Malaysia.

DEFENCE SECURITY ASIA

FA-50KAISlovakiaTUDM