Pemasangan Akhir FA-50 Block 20 Di Malaysia. Suatu Penjelasan

Malaysia bakal mencipta sejarah sebagai negara pertama melakukan pemasangan akhir terhadap pesawat FA-50 "Fighting Eagles" di luar Korea Selatan, sesuatu yang perlu dibanggakan dan juga adalah bukti kepercayaan tinggi Korea Aerospace Industries (KAI) terhadap kemampuan anak-anak Malaysia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Isu mengenai pemasangan akhir (final assembly) 14 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 dibangunkan Korea Aerospace Industries (KAI) di Malaysia manakala empat buah lagi dibina sepenuhnya di Korea Selatan telah menimbulkan pelbagai polemik dikalangan pemerhati pertahanan negara.

Secara asasnya, ramai yang melahirkan kebimbangan sama ada program ini akan mengalami nasib yang sama sebagaimana program pembinaan Littoral Combat Ship (LCS) yang tertangguh selama beberapa tahun sebelum disambung semula baru-baru ini.

Program melibatkan FA-50 Block 20 dan kapal LCS adalah dua program yang amat berlainan, satu hanya membabitkan pemasangan akhir manakala satu lagi program yang telah membuatkan Malaysia “terkenal” di seluruh dunia, melibatkan pembinaan.

Pesawat FA-50 dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI)

 

Korea Selatan, Turkiye dan negara lain juga bermula dengan pemasangan akhir sebelum mereka berada di tahap berkemampuan merekabentuk dan membina pesawat serta helikopter sendiri.

Defence Security Asia dimaklumkan bahawa sebaik sahaja kontrak perolehan antara KAI dan Kementerian Pertahanan bagi 18 buah FA-50 Block 20 dimeterai pada LIMA ’23 baru-baru ini, kumpulan daripada Kemalak Systems dan KAI telah pun mengadakan mesyuarat julung kali mereka tentang pemasangan akhir pesawat itu di Korea Selatan baru-baru ini.

Malaysia bakal mencipta sejarah sebagai negara pertama melakukan pemasangan akhir terhadap pesawat FA-50 di luar Korea Selatan, sesuatu yang perlu dibanggakan dan juga adalah bukti tentang kepercayaan tinggi KAI terhadap kemampuan anak-anak Malaysia.

Selain Malaysia, pesawat T-50/FA-50 keluaran KAI turut digunakan oleh Tentera Udara Korea Selatan sendiri, Thailand, Indonesia,Filipina dan Poland.

Menurut sumber, sebagai pemegang kontrak utama pesawat FA-50 Block 20 itu, KAI meletakkan kepercayaan penuh kepada rakan tempatannya untuk melaksanakan kerja-kerjap pemasangan akhir di Malaysia.

KAI menurut beliau telah melakukan saringan yang ketat dan verifikasi terhadap kemampuan rakan tempatannya itu.

“Sebagai pemegang kontrak utama, Korea Aerospace Industries akan menanggung risiko termasuk daripada segi denda lewat serta imej dan branding terhadap pesawat FA-50. Kesan terhadap pelanggan berpotensi masa depan juga ditanggung oleh KAI.”

“Jikalau KAI menaruh keyakinan yang tinggi terhadap Kemalak, masakan kami perlu mengambil kira pandangan negatif segelintir pihak (tentang pemasangan akhir itu),” kata sumber itu.

Sumber itu turut menjelaskan kepada Defence Security Asia bahawa proses pemasangan akhir pesawat pejuang FA-50 Block 20 di Malaysia itu mengguna pakai konsep “Work Based Schedule” (WSB).

Proses pemasangan akhir pesawat pejuang itu mempunyai beberapa WSB.

Enjin GE F404 yang digunakan oleh pesawat FA-50.

 

“Hanya WBS 1118 akan dilaksanakan di Malaysia. Akan datang, kita extendkan WBS 1118 ke bawah seperti WBS 1116 atau mungkin sehingga ke tahap WBS 1114. Kita akan bermula dengan WBS 1118 (bagi pemasangan akhir pesawat FA-50 Block 20 di Malaysia),” kata beliau.

Ditanya lebih lanjut tentang apa yang dimaksudkan dengan WBS 1118 itu, sumber itu menyatakan ia antaranya akan melibatkan pemasangan enjin (engine installation), pemeriksaan terhadap kebolehfungsian sistem pesawat (systems functional checks), pemeriksaan prestasi enjin sebelum penerbangan (engine run-up), ujian penerbangan (flight test) dan lain-lain.

Buat masa ini kata beliau, pemasangan akhir di Malaysia hanya melibatkan kerja-kerja di bawah WBS 1118 itu.

“Selain itu, kira-kira 24 orang jurutera KAI akan turut serta mengajar dan memberi ilmu (kepada pihak tempatan). Insya Allah,di masa hadapan kami akan push more than WBS 1118 (kerja-kerja selain daripada WBS 1118),” kata beliau.

Mengenai lokasi pemasangan akhir 14 buah pesawat FA-50 Block 20 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu, Defence Security Asia difahamkan buat masa ini kemudahan pemasangan akhir itu dirancang ditempatkan di Pangkalan TUDM Kuantan.

Penggunaan fasiliti milik kerajaan untuk kerja-kerja pemasangan akhir pesawat itu adalah rancangan jangka pendek.

“Insya Allah, sekiranya semua berjalan dengan lancar dan KAI memenuhi kontrak utama deliver 18 buah pesawat FA-50 Block 20, kami akan full-swing untuk mencari kemudahan sendiri bagi rancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab untuk pesawat FA-50 di Asia Tenggara.”

Pemasangan akhir batch kedua pesawat FA-50 akan dilakukan di kemudahan milik sendiri kelak, kata sumber itu mengenai perancangan masa depan.

Di Asia Tenggara, empat buah negara menggunakan pesawat T-50/FA-50 termasuk Malaysia, dengan Filipina mungkin menambah pegangan pesawat FA-50 yang digunakan oleh mereka dan ini memberikan peluang yang besar di dalam sektor MRO (Maintenance, Refurbishment and Overhaul) untuk Malaysia.

Sumber itu juga berharap hasrat untuk merealisasikan perancangan menjadikan Malaysia sebagai Hab bagi pesawat FA-50 di Asia Tenggara itu mendapat sokongan daripada kerajaan negeri Pahang dan kerajaan Persekutuan. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

FA-50 Block 20featuredKAIMalaysiaTUDM