Australia Jadikan Hunter Valley Hab Sokongan Operasi F-35 Pengguna Asia Pasifik

Penganugerahan kontrak itu adalah sebahagian daripada usaha Australia untuk menjadikan Hunter Valley sebagai hab sokongan operasi pesawat-pesawat  pejuang F-35 yang digunakan oleh Australia dan negara-negara pengguna lain di Asia Pasifik.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Australia telah menganugerahkan kontrak bernilai US$75.3 juta (RM346 juta) kepada syarikat BAE Systems untuk membesarkan lagi kemudahan sokongan untuk pesawat pejuang generasi kelima, F-35 di Lapangan Terbang Newcastle, Hunter Valley di negara itu.

Penganugerahan kontrak itu adalah sebahagian daripada usaha Australia untuk menjadikan Hunter Valley sebagai hab sokongan operasi pesawat-pesawat  pejuang F-35 yang digunakan oleh Australia dan negara-negara pengguna lain di Asia Pasifik.

Selain Australia, negara-negara Asia Pasifik yang menggunakan pesawat pejuang F-35 adalah Jepun dan Korea Selatan, manakala Singapura bakal menerima pesawat pejuang generasi kelima itu pada tahun 2026.

Korea Selatan telah pun memiliki 40 buah pesawat pejuang F-35A dan bakal menambah 20 buah lagi, manakala Jepun memiliki 147 pesawat pejuang F-35 terdiri daripada 105 buah varian F-35A dan 42 buah varian F-35B (VSTOL -Vertical Short Take-off Landing).

Singapura juga bakal memiliki 12 buah pesawat pejuang F-35B VSTOL.

Amerika Syarikat juga menempatkan pesawat-pesawat pejuang F-35 miliknya di beberapa pangkalannya di Jepun dan Korea Selatan, selain kapal-kapal pengangkut pesawatnya turut berada di perairan Asia Pasifik.

Dua buah pesawat pejuang F-35 milik Australia.

 

Kontrak sebanyak US$75.3 juta yang diberikan oleh Australia kepada BAE Systems itu merupakan susulan kepada kontrak berjumlah US$68.4 (RM314 juta) kepada syarikat yang sama pada November tahun lepas.

Kontrak terbaru itu akan melihat pembinaan tujuh lagi buah ruangan penyelenggaraan (maintenance bays), menjadikan keseluruhan ruangan penyelenggaraan di Hangar Selatan untuk pesawat-pesawat pejuang F-35 kepada 13 buah.

Jabatan Pertahanan Pertahanan Australia dalam satu kenyataan berkata, kontrak untuk membina lebih banyak ruangan penyelenggaran akan mengesahkan kedudukan Hunter Valley sebagai pusat sokongan utama untuk pesawat-pesawat pejuang F-35 Australia dan negara-negara lain di Asia Pasifik.

Ia menjangkakan kerja-kerja pembinaan ruangan penyelenggaraan tambahan itu akan siap sepenuhnya pada tahun 2026.

Pada ketika ini, Australia telah pun menerima 63 daripada 72 buah pesawat pejuang F-35 yang dipesannya daripada syarikat Lockheed Martin, dengan kesemuanya berpangkalan di Tindal dan Williamstown, manakala penyelenggaraan dilaksanakan di Hunter Valley.

Tiga buah pesawat F-35A milik daripada No 75 Skuadron Pangkalan Udara Tindal sedang menuju ke Butterworth. (kredit Australian Government Defence)

 

Negara Oceania itu menjangkakan bilangan pesawat pejuang F-35 yang beroperasi akan melonjak kepada 3,000 buah pada masa depan berbanding hanya 1,000 pesawat pada ketika ini.

Walaupun Australia memperolehi 72 pesawat pejuang F-35A, tetapi bagi sesetengah pihak negara itu menyatakan perolehan pesawat generasi kelima buatan syarikat Lockheed Martin itu adalah suatu “kesilapan besar”.

Menurut sesetengah pihak di negara itu, perolehan pesawat F-35 dianggap kesilapan besar kerana isu-isu berkaitan dengan kosnya yang melampau, kemampuan dan tahap kesiapsiagaan pesawat itu yang berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).

Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, Pertahanan dan Perdagangan di Parlimen Australia diberitahu bahawa kerajaan negara itu dijangka akan membelanjakan US$10.87 bilion (RM43.48 bilion) untuk mengoperasi kesemua pesawat itu sepanjang perkhidmatannya sehingga tahun 2053.

Anggaran bajet yang dikemukakan oleh Jabatan Pertahanan Australia menyatakan bahawa pesawat F-35 milik negara itu dijangka kurang menghabiskan masa di udara (flying time)  dalam empat tahun mendatang ini.

Laporan itu menyatakan bahawa kekurangan masa pesawat generasi kelima milik Australia itu berada di udara adalah disebabkan isu-isu penyelenggaraan yang sentiasa menghantuinya.

F-35A milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) (Gambar Hiasan)

 

Australia menyertai program F-35 sebagai Rakan Industri Tahap 3 pada tahun 2002 dan komited untuk memperolehi 72 buah pesawat itu pada harga US$16 bilion (RM64 bilion).

Selain itu, terdapat juga dakwaan mengenai kemampuan terhad pesawat F-35 yang membuatkan pemerhati ketenteraan di Australia untuk mempersoalkan keputusan kerajaan negara mengeluarkan belanja yang besar untuk memperolehi pesawat terbabit.

Sebagaimana dilaporkan oleh media-media di Australia, radius operasi pesawat F-35A adalah kira-kira 1,000km dan sekiranya dibantu dengan pesawat pengisi minyak maka jarak operasinya adalah sekitar 1,500km.

Menurut laporan, pesawat F-35A juga didakwa tidak mampu sampai ke Laut China Selatan tanpa menperolehi bantuan daripada pesawat pengisi minyak, sekaligus menimbulkan persoalan tentang keberkesanan operasinya memandangkan kemungkinan pesawat pengisi minyak itu tidak boleh beroperasi ketika konflik atau di ruang udara berkonflik. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

Asia PasifikAustraliaF-35featuredHab
Comments (2)
Add Comment