Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Agensi Perisikan Barat Mahu Analisis Serpihan Peluru Berpandu PL-15 Buatan China Ditemui Dalam India

Menurut media pertahanan India, agensi-agensi perisikan negara Barat yang mahu “melihat dengan lebih dekat” serpihan peluru berpandu PL-15 buatan China itu adalah daripada negara-negara Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia dan New Zealand yang dipanggil “Five Eyes.”

0 16,206
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa agensi perisikan Barat dan sekutu mereka dilaporkan telah “menunjukkan minat” untuk bekerjasama dengan India dalam mengkaji dan menganalisis serpihan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) PL-15 buatan China yang ditemui di beberapa lokasi di India.
Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan terutamnya J-10C dan juga JF-17 diketahui menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh BVR PL-15 itu semasa konflik Pakistan-India baru-baru ini.
Tentera Udara Pakistan mendakwa pesawat-pesawat pejuang J-10C miliknya telah menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India menggunakan peluru berpandu PL-15 sepanjang konflik Pakistan-India itu.
Selain pesawat pejuang J-10C , pesawat pejuang JF-17 Tentera Udara Pakistan turut dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15.
Hasil daripada kejayaannya menembak jatuh enam buah pesawat pejuang India itu, nama peluru berpandu PL-15 meniti di bibir para media, pemerhati dan penganalisis yang mahu mengetahui lebih lanjut tentang peluru berpandu udara-ke-udara buatan China yang hebat itu.
Enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India yang berjaya ditembak jatuh oleh Pakistan pada konflik itu termasuk tiga buah pesawat pejuang Rafale, sebuah Sukhoi Su-30MKI, sebuah MiG-29 dan juga sebuah Miraga 2000.
Walaupun pesawat-pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan itu berjaya menembak jatuh enam buah pesawat pejuang India, namun terdapat juga peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15 itu tersasar.
PL-15
Serpihan PL-15
Terdapat serpihan-serpihan peluru berpandu PL-15 termasuk yang masih dalam keadaan yang baik telah ditemui oleh tentera India.
Media-media India melaporkan penduduk tempatan telah menemui serpihan peluru berpandu PL-15 milik Pakistan itu di perkampungan Kamahi Devi di daerah Hoshiarpur di wilayah Punjab dan di beberapa lokasi lain.
Dan serpihan-serpihan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang ditemui oleh pihak India inilah yang cuba diperolehi oleh agensi perisikan negara-negara Barat tertentu untuk tujuan pengumpulan maklumat.
Menurut media pertahanan India, agensi-agensi perisikan negara Barat yang mahu “melihat dengan lebih dekat” serpihan peluru berpandu PL-15 buatan China itu adalah daripada negara-negara Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia dan New Zealand yang dipanggil “Five Eyes.”
Selain negara-negara kerjasama perisikan “Five Eyes”, negara-negara lain termasuk Perancis dan Jepun juga dilaporkan telah menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan India bagi membolehkan mereka menganalisis serpihan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 buatan China itu.
Analisis itu akan membolehkan negara-negara Barat melihat dengan lebih dekat dan terperinci teknologi pertahanan tercanggih China yang kini sudah mampu bersaing malah melebihi teknologi pertahanan Barat.
Bagi agensi perisikan seperti CIA, NSA, serta perisikan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya, serpihan peluru berpandu seperti PL-15 merupakan ‘harta karun’ yang sangat berharga untuk dianalisis dari pelbagai sudut teknikal dan strategik.
PL-15
Serpihan PL-15
Antara matlamat utama mereka adalah untuk menjalankan ujian forensik ke atas komponen peluru berpandu, termasuk sistem panduan, enjin pendorong (engine propulsion), pencari radar (radar seeker), dan sistem komunikasi data.
Melalui analisis ini, mereka boleh mengetahui dengan lebih terperinci tentang frekuensi radar, jenis gelombang pencari sasaran, dan keupayaan gangguan elektronik peluru berpandu tersebut — maklumat penting untuk membina sistem gangguan (jamming) dan kaedah pertahanan elektronik yang lebih berkesan.
Jika peluru berpandu PL-15 itu dilancarkan oleh pesawat milik Pakistan, maka ia akan mengesahkan bahawa China kini telah memindahkan teknologi peluru berpandu generasi baharu kepada Pakistan, sesuatu yang sebelum ini hanya dikaitkan dengan Tentera Udara China sahaja.
Perkara ini secara tidak langsung memberi amaran awal kepada negara-negara Barat tentang tahap penyebaran senjata canggih China di rantau Asia Selatan, dan bagaimana ia boleh mengubah keseimbangan kuasa ketenteraan di kawasan tersebut.
Selain itu, agensi risikan juga mahu memastikan sama ada spesifikasi sebenar peluru berpandu PL-15 — termasuk dakwaan jarak maksimum lebih 300km dan keupayaan anti-stealth — benar-benar sahih atau sekadar propaganda ketenteraan China.
Maklumat ini penting untuk memperkemaskan strategi udara Barat, terutamanya dalam menghadapi potensi konflik di Indo-Pasifik yang melibatkan aset China atau sekutunya.
JF-17
Peluru berpandu BVRAAM “PL-15” dan WVRAAM “PL-10” yang bakal melengkapkan pesawat JF-17 “Thunder” dan J-10C milik Pakistan.
Pakar-pakar perisikan juga akan meneliti sama ada terdapat komponen buatan Russia dalam sistem peluru berpandu tersebut, memandangkan China sebelum ini menggunakan teknologi enjin dan radar dari Moscow.
Penemuan seperti ini boleh membantu mengesan jejak kerjasama “senyap” antara industri pertahanan China dan Russia, yang kini menjadi tumpuan utama Washington dan sekutunya dalam konteks sekatan dan kawalan eksport senjata.
Dari sudut geopolitik pula, maklumat yang diperoleh melalui analisis serpihan ini boleh digunakan oleh negara-negara Barat untuk menekan China dan Pakistan di pentas antarabangsa, serta membela pendirian India dalam isu keselamatan serantau.
Lebih penting lagi, penemuan ini akan memberi dorongan kepada syarikat pertahanan Barat seperti Raytheon, Lockheed Martin dan MBDA untuk membangunkan peluru berpandu baharu atau sistem pertahanan udara yang mampu menandingi ancaman PL-15.
Secara keseluruhan, penganalisis ketenteraan melihat insiden ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi satu perkembangan strategik yang memberi kesan besar terhadap keseimbangan kuasa udara di Asia Selatan, dan mempercepatkan perlumbaan senjata antara kuasa besar dunia.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
PL-15
PL-15
Ia mempunyai kemampuan membedil sasaran udara sejauh 300km.
Dibangunkan oleh China Airborne Missile Academy (CAMA), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Menurut penganalisis ketenteraan serantau, kehadiran peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang berkeupayaan tinggi dengan jarak jangkauan sehingga 300 kilometer akan memberikan Pakistan kemampuan melancarkan serangan terhadap sasaran musuh pada jarak jauh.
Ia bakal mewujudkan cabaran taktikal yang serius kepada Angkatan Udara India (IAF), terutamanya bagi pesawat-pesawat tempur utama seperti Su-30MKI, Rafale, dan Mirage 2000, yang mungkin terpaksa mengubah taktik operasi udara masing-masing.
Keupayaan radar AESA pada PL-15, digabungkan dengan sistem pautan data dua hala, turut membolehkan Pakistan untuk melakukan serangan udara yang lebih tepat dan koordinasi tempur udara yang lebih baik serta berkesan.
Peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15 menggunakan sistem pendorongan roket bahan api pepejal dua peringkat (dual-pulse solid-fuel rocket motor), membolehkannya mengekalkan kelajuan tinggi sepanjang trajektori penerbangan bagi meningkatkan kebarangkalian memintas sasaran udara berprestasi tinggi seperti pesawat pejuang generasi kelima.
J-10C
J-10C dengan PL-15
Dari segi teknologi pengesanan sasaran, PL-15 dilengkapi radar aktif AESA miniatur berfrekuensi tinggi yang mampu beroperasi secara autonomi, menjadikan peluru berpandu ini sukar untuk dielakkan oleh sistem pertahanan udara sedia ada.
Peluru berpandu ini juga mempunyai kemampuan pautan data dua hala (two-way datalink) yang membolehkan pembetulan trajektori secara real-time oleh pesawat pelancar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal di medan tempur.
Dengan panjang sekitar 4 meter, berat kira-kira 200 kilogram, serta kelajuan maksimum sekitar Mach 4, PL-15 dianggap sebagai salah satu ancaman terbesar kepada dominasi udara pihak lawan, termasuk menjadi pencabar langsung kepada peluru berpandu udara-ke-udara generasi terkini seperti AIM-120D AMRAAM dari Amerika Syarikat dan Meteor dari Eropah.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.