Amerika Belanja RM256 Bilion, Tapi Hanya Dapat 187 Buah F-22 “Raptor”

Pada mulanya, Amerika Syarikat mahu membina lebih daripada 700 buah pesawat pesawat pejuang generasi kelima, F-22 Raptor untuk menangani pesawat-pesawat pejuang Russia, tetapi akibat peningkatan kos yang amat melampau, Washington hanya berkemampuan untuk membeli kurang daripada 200 buah pesawat itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kira-kira US$64 bilion (RM256 bilion) telah dibelanjakan oleh pembayar cukai Amerika Syarikat untuk membangunkan pesawat pejuang generasi kelima F-22 “Raptor” yang dikatakan adalah pesawat pejuang tercanggih negara itu ketika ia memulakan operasi pada pertengahan 1990-an, tetapi apa yang negara kuasa besar itu dapat selepas mengeluarkan perbelanjaan yang amat besar itu?

Selepas membelanjakan sejumlah RM256 bilion atau bersamaan dengan belanjawan tahunan Malaysia untuk membangunkan pesawat yang direkabentuk untuk memenangi pertempuran di udara, Washington akhirnya hanya membina sebanyak 187 buah pesawat F-22 Raptor, satu jumlah yang amat kecil berbanding perbelanjaan amat besar yang dikeluarkan daripada kantungnya.

Adakah ia suatu pembaziran? Pada mulanya, Amerika Syarikat mahukan lebih daripada 700 buah pesawat F-22 untuk menangani pesawat-pesawat pejuang Russia, tetapi akibat peningkatan kos pembangunan dan pembinaan pesawat itu terlalu melampau, maka Washington akhirnya,bersetuju untuk membeli kurang daripada 200 buah pesawat itu.

Produksi pesawat generasi kelima “paling canggih” di dunia itu telah pun ditamatkan pada 2011 oleh syarikat pembuatnya, Lockheed Martin.

Dengan kos pembangunannya (termasuk R&D) yang mencecah RM256 bilion, kos per-unit pesawat F-22 itu dianggarkan adalah sebanyak US$330 juta (RM1.3 bilion) manakala kos satu jam penerbangannya pula adalah US$70,000 (RM280,000).

RM280,000 untuk satu jam penerbangan F-22 Raptor berbanding US$33,000 (RM132,000) untuk menerbangkan F-35 selama satu jam.

Buat masa ini F-35 merupakan pengganti kepada pesawat F-22 sehinggalah tentera Amerika Syarikat berjaya membangunkan pesawat pejuang generasi ke-enam (Next Generation Air Dominance – NGAD).

Pesawat pejuang F-22 Raptor.

 

Usaha untuk menurunkan harga per-unit pesawat F-22 sukar kerana Kongres Amerika Syarikat tidak membenarkan pesawat itu dieksport ke negara luar disebabkan teknologinya yang terlalu sensitif dan kebimbangan ia akan jatuh ke tangan pihak musuh.

Disebabkan ia tidak dibenarkan dieskport ke negara-negara luar, Lockheed Martin tidak boleh menggunakan “economy of scale” untuk menurunkan harga per-unitnya.

Banyak negara menunjukkan minat untuk membeli F-22 jika Amerika memberikan kebenaran untuk dieksport.

Antara teknologi yang amat sensitif pada pesawat F-22 adalah teknologi stealth-nya yang dikatakan jauh lebih baik daripada apa yang ada pada pesawat F-35 Lightning yang digunakan oleh Tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya pada ketika ini.

Sebuah pesawat pejuang F-22 “Raptor” sedang memintas pesawat pengebom Russia.

 

Radar cross-section daripada pesawat F-22 Raptor adalah jauh lebih kecil berbanding pesawat F-35.

Dikatakan radar cross-section pesawat F-22 hanya tidak lebih sebesar seekor lebah.

Pesawat Raptor itu diselaputi dengan “top secret coating” yang membuatkan pesawat itu lebih halimunan daripada pesawat—pesawat halimunan yang lain, membolehkannya menyerap radar signature dan bukan sekadar deflect radar signature itu.

Selepas menamatkan produksi F-22, Amerika mengarahkan syarikat Lockheed Martin untuk meningkatkan produksi pesawat pejuang F-35 (ketiga-tiga varian A, B dan C) untuk menampung kekurangan pesawat akibat penamatan produksi Raptor itu.

Pesawat F-22 Raptor

 

 

Varian F-35A adalah untuk land-based, F-35B (short take-off and vertical landing –STOVL) dan F-35C untuk kegunaan di kapal-kapal pengangkut pesawat.

Amerika Syarikat merancang untuk memiliki sebanyak 2,400 pesawat F-35 (ketiga-tiga varian) untuk Tentera Udara, Tentera Laut dan Marines.

Sehingga hari ini, syarikat Lockheed Martin telah berjaya menghasilkan kira-kira 750 buat pesawat F-35 untuk digunakan oleh tentera Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya.  — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AmerikaF-22featuredLockheed MartinRaptor