🎬Eks Taming Sari: TLDM Laksana Penembakan Peluru Berpandu Exocet MM40

(VIDEO) “Pelaksanaan Eks TAMING SARI 22/2023 dapat mempamerkan keupayaan kuasa tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekaligus membuktikan bahawa ia masih lagi bertaring di arena pertahanan maritim, kredibel dan mampu mempertahankan kedaulatan perairan negara,” kata TLDM.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan penembakan peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 menerusi Eksesais TAMING SARI Siri 22 Tahun 2023 di utara perairan Selat Melaka pada hari ini.

TLDM menerusi kenyataan media hari ini berkata, Eksesais TAMING SARI adalah siri latihan penembakan peluru berpandu oleh aset kombatan TLDM bagi menguji keupayaan dan kesiapsiagaan sistem peluru berpandu di kapal serta tahap kompetensi anggotanya.

“Semasa Eks TAMING SARI 22/2023, sebanyak dua buah peluru berpandu  Exocet MM40 telah dilancarkan oleh kapal penembak iaitu KD LEKIU,” menurut TLDM.

Ia berkata bahawa kapal KD LEKIR bertindak sebagai kapal penembak simpanan. 

 KD LEKIU merupakan kapal kelas Frigat (FFGH30) yang ditauliahkan pada 7 Oktober 1999 dan diketuai oleh Pegawai Memerintah, Kepten Mahamad Nazir bin Darus TLDM.

(VIDEO KREDIT TLDM)

 

Manakala KD LEKIR pula merupakan kapal kelas Korvet (FSG26) yang ditauliahkan pada 18 Jun 1984 dan diketuai oleh Pegawai Memerintah, Komander Mhd Izmi Faizal bin Mhd Khani TLDM.

Turut menyaksikan penembakan peluru berpandu hari ini adalah bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, yang kini menjawat jawatan Menteri Luar,  Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak dan panglima ketiga-tiga cabang perkhidmatan.

Dengan berkonsepkan Force Integration Training (FIT), aspek jointness telah dizahirkan di dalam eksesais ini melalui penglibatan sebanyak 14 buah kapal permukaan, lapan bot dan 12 pesawat dari TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Eks TAMING SARI 22/2023 turut menguji keupayaan semua aset yang terlibat di samping memperagakan kehadiran angkatan pertahanan maritim negara di perairan Selat Melaka.

Eksesais yang bermula dari 4 hingga 16 Disember 2023 terbahagi kepada empat fasa utama iaitu Fasa Pelabuhan, Fasa Pembersihan Kawasan dan Raptai Penembakan, Fasa Hari Penembakan dan Fasa Penutup.

(FB Mohamad Hasan)
(FB ATM)

 

Semasa Fasa Pelabuhan dari 4 hingga 9 Disember 2023 di Pangkalan TLDM Lumut, pelbagai aktiviti untuk persediaan di laut telah dilaksanakan meliputi Majlis Pembukaan, Taklimat Eksesais, Perbincangan Pegawai Operasi, Table Top Exercise (TTX) dan Taklimat Pra-Pelayaran.

Semasa fasa ini, segala perancangan bagi menghadapi fasa seterusnya telah diperincikan bagi memastikan kejayaan penembakan ini.

“Seterusnya, kesemua aset-aset yang terlibat telah belayar ke utara perairan Selat Melaka bagi melaksanakan Fasa Pembersihan Kawasan dan Raptai Penembakan dari 10 hingga 13 Disember 2023 disusuli dengan penembakan sebenar hari ini,” menurut kenyataan TLDM itu.

 Berlandaskan lanskap geo-strategik yang semakin mencabar ketika ini, TLDM memainkan peranan yang sangat penting untuk kekal relevan dalam konteks pertahanan maritim.

“Pelaksanaan Eks TAMING SARI 22/2023 dapat mempamerkan keupayaan kuasa tempur TLDM sekaligus membuktikan bahawa ia masih lagi bertaring di arena pertahanan maritim, kredibel dan mampu mempertahankan kedaulatan perairan negara,” kata TLDM — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

ExocetfeaturedTaming SariTLDM
Comments (0)
Add Comment