Jerman Tidak Akan Halang Penjualan Pesawat Eurofighter Typhoon Pada Arab Saudi

Sebagaimana dipetik oleh agensi berita DPA, Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock berkata, keputusan membenarkan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Arab Saudi adalah kerana negara Arab itu membantu menjaga keselamatan Israel.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Jerman mengambil keputusan tidak lagi akan menghalang usaha Britain untuk menjual lebih banyak pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi, menurut Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock.

Sebagaimana dipetik oleh agensi berita DPA, beliau berkata, keputusan membenarkan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Arab Saudi adalah kerana negara Arab itu membantu menjaga keselamatan Israel.

Arab Saudi dianggap menjaga keselamatan Israel selepas sistem pertahanan udara miliki Riyadh telah bertindak menembak jatuh peluru-peluru berpandu dan dron berani mati dilancar kumpulan bersenjata Houthi terhadap Israel.

“Kerajaan Jerman tidak akan menghalang idea Britain untuk menjual lebih banyak pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi. Arab Saudi adalah penyumbang utama kepada keselamatan Israel dan negara Arab juga membantu dalam menghalang risiko konflik yang lebih meluas di rantau itu,”kata Menteri Luar Jerman itu.

Negara Arab itu menurutnya, telah lama mengetahui tentang bahaya kumpulan bersenjata Houthi terhadap keselamatan di rantau itu.

Jurucakap kerajaan Jerman Steffen Hebestreit pula dilaporkan berkata bahawa Canselor Jerman Olaf Scholz juga memutuskan tidak akan menghalang usaha Britain untuk menjual pesawat pejuang Eurofighter kepada Arab Saudi.

“Ya, Canselor (Olaf Scholz) bersetuju dengan pandangan tentang penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Arab Saudi, “ kata beliau.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibina oleh konsortium empat buah negara Eropah terdiri daripada Britain, Jerman, Sepanyol dan Itali.

Sebarang penjualan pesawat pejuang itu perlu dipersetujui oleh keempat-empat buah negara.

Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Riyadh berhadapan masalah selepas kerajaan Jerman pada 2018 bertindak menggantung penjualan sebarang senjata kepada Arab Saudi berikutan penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Urusniaga penjualan pesawat Eurofigher Typhoon kepada Arab Saudi itu berhadapan lebih banyak masalah apabila mahkamah British pada 2019 mengharamkan sebarang eksport senjata kepada negara Arab itu kerana tindakan tenteranya mengebom Yemen.

Bagaimanapun, akibat gencatan senjata di Yemen, Britain kini mahu meneruskan penjualan 48 buah pesawat Eurofighter Typhoon itu.

Britain memberi tekanan terhadap Jerman supaya bersetuju meneruskan penjualan itu.

London menyatakan Jerman tidak lagi mempunyai alasan untuk menghalang penjualan pesawat pejuang Eurofighter itu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lepas memeterai perjanjian gencatan senjata antara Arab Saudi dan Yemen.

Lima tahun lepas, Arab Saudi dan United Kingdom menandatangani Memorandum Niat (Memorandum of Intent) mengenai hasrat negara Arab itu untuk membeli 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, bagi menambah pesawat pejuang itu yang sudah pun berada di dalam pegangannya.

Namun sehingga ini, negara Arab itu masih tertunggu-tunggu sama ada hasratnya untuk memperolehi pesawat pejuang itu akan dapat direalisasikan atau tidak.

Perolehan itu sekiranya berjaya dilaksanakan, akan menjadikan keseluruhan jumlah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Arab Saudi kepada 120 buah, memandangkan Riyadh telah pun memiliki 48 buah pesawat pejuang generasi itu. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

Arab SaudiEurofighter TyphoonfeaturedJerman