Empat Buah Kapal Perang China Dikesan Berada Dalam Perairan ZEE Amerika Syarikat di Alaska

Kapal pengawal pantai Amerika Syarikat USCGC Kimball dan sebuah pesawat pemantaunya telah mengesan empat buah kapal perang China dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Amerika Syarikat tidak jauh daripada Semenanjung Alaska.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Awal bulan ini, kapal pengawal pantai Amerika Syarikat telah melaporkan kehadiran kapal-kapal perang China yang dikesan berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Amerik Syarikat di Laut Bering tidak jauh daripada Alaska.

Kapal pengawal pantai Amerika Syarikat itu USCGC Kimball mengesan tiga buah kapal perang China kira-kira 124 batu di utara Amchitka Pass, selat di Kepulauan Aleutian, yang terletak tidak jauh daripada Semenanjung Alaska.

Sementara itu, krew sebuah pesawat pemantau milik Pengawal Pantai Amerika Syarikat yang berpangkalan di Pulau Kodiak pula mengesan kehadiran sebuah lagi kapal perang China kira-kira 84 batu di utara Amukta Pass yang terletak di antara di Pulau Amutka dan Seguam.

Menurut pihak Pengawal Pantai Amerika Syarikat, walaupun kesemua kapal perang China itu berada di dalam perairan antarabangsa tetapi ia masih dalam lingkungan perairan ZEE Amerika Syarikat yang meliputi 200 batu nautika daripada pantai negara itu.

Ia juga berkata bahawa U.S Northern Command (NORTHCOM) sedar dan mengetahui tentang kehadiran kapal-kapal perang China itu.

“Kapal pengawal pantai Amerika Syarikat USCGC Kimball melakukan tugasan rondaan di bawah Operatiion Frontier Sentinel untuk berhadapan dengan pesaing strategik di dalam dan sekitar perairan Amerika Syarikat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat.

USCGC Kimball

 

Sementara itu, Komander Pengawal Pantai Amerika Syarikat Laksamana Megan Dean berkata, “ Kita berhadapan dengan pesaing bagi memastikan tiada gangguan terhadap kepentingan Amerika Syarikat di kawasan maritime di sekitar Alaska.”

Pihak Pengawal Pantai Amerika Syarikat itu juga berjaya mewujudkan hubungan komunikasi dengan kapal-kapal perang China itu yang menyatakan bahawa mereka berada di kawasan perairan sekitar Alaska sebagai sebahagian daripada operasi “freedom of navigation” (kebebasan navigasi).

Kapal USCGC Kimball itu memantau kapal-kapal perang China itu sehingga kesemuanya berlayar kea rah selatan menuju ke bahagian utara Lautan Pasifik.

Pengawal Pantai Amerika Syarikat juga berkata bahawa kapal-kapal perang China pernah dikesan berada di Laut Bering pada tahun-tahun 2021 dan 2022.

Apa yang berlaku di perairan Alaska minggu lalu itu menyusuli insiden yang berlaku pada Ogos tahun lepas apabila 11 buah kapal perang milik Russia dan China telah dikesan mengadakan latihan perang dan rondaan di Kepulauan Aleutians di peairan Alaska.

Ia disifatkan oleh pemimpin Amerika Syarikat sebagai suatu insiden “bersejarah” dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Kapal perang China dan Russia dalam rondaan bersama.

 

Alaska merupakan salah sebuah negeri di Amerika yang terletak di wilayah paling utara di benua Amerika Utara manakala perairannnya bersempadan dengan Selat Bering.

Ia adalah wilayah Amerika Syarikat yang paling hampir dengan wilayah Russia, dengan Pulau Diomede Kecil (milik Amerika) hanya terletak kira-kira 4km daripada Pulau Diomede Besar (milik Russia).  

Apabila tindakan tentera Russia dan China itu dihidu media, pihak Wall Street Journal menyifatkan kehadiran kapal-kapal perang Russia dan China berhampiran perairan wilayah Amerika Syarikat sebagai “sangat provokatif”  disebabkan peperangan yang sedang berlaku di Ukraine dan juga sikap agresif tentera China di sekeliling Pulau Taiwan.

Wakil rakyat Alaska daripada parti Republikan, Senator Dan Sullivan dilaporkan berkata kepada stesen televisyen Fox News bahawa apa yang dilakukan oleh kapal-kapal perang Russia dan China di perairan yang sangat hampir dengan perairan wilayah (territorial waters) milik Amerika Syarikat tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini, terutamanya melibatkan skop dan saiz armada tentera laut Russia dan China, yang bekerjasama dengan rapat sekali.”

“Sama ada anda tinggal di Alaska atau di tempat-tempat lain di Amerika Syarikat, kehadiran kapal-kapal perang daripada dua buah negara “pesaing” berada sangat hampir dengan Amerika Syarikat adalah sesuatu yang membimbangkan,” kata beliau.

Sebagai tindak balas terhadap kehadiran 11 buah kapal perang Russia dan China berhampiran dengan di perairan wilayahnya di Alaska itu, Tentera Laut Amerika Syarikat telah mengerah empat buah kapal destroyer miliknya serta sebuah kapal peronda maritim P-8 “Poseidon” untuk membayangi (shadow) pergerakan kapal-kapal “musuhnya” itu.

Armada kapal-kapal perang Russia dan China yang terlibat dalan latihan itu termasuk kapal-kapal destroyer — RFS Admiral Panteleyev (548) dan RFS Admiral Tributs (564), korvet RFS Gremyashchiy (337) dan RFS Hero of the Russian Federation Aldar Tsydenzhapov (339) dan kapal pengisi minyak Pechenga.

Manakala kapal-kapal perang China pula terdiri daripada kapal destroyer – CNS Guiyang (119) dan CNS Qiqihar (121), friget CNS Zaozhuang (542) dan CNS Rizhao (598) dan kapal pengisi minyak CNS Taihu (889). — DSA

AmerikafeaturedKapalPengawal Pantai
Comments (0)
Add Comment