Detik Penting Tercapai, “Detailed Design” Kapal LCS Telah Diserah Secara Rasmi

Penyerahan Rekabentuk Terperinci itu adalah langkah penting dalam menyediakan asas kepada fasa pembinaan kapal-kapal LCS dan memastikan kapal-kapal LCS itu dibina mengikut standard kualiti tertinggi dan memenuhi keperluan sebagaimana dirancang.   
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari yang lalu, Lumut Naval Shipyard (LUNAS) menerusi posting media sosialnya menyatakan ia telah berjaya mencapai detik penting (major milestone) dengan penyerahan rasmi Rekabentuk Terperinci (Detailed Design) untuk projek Littoral Combat Ship (LCS).
Penyerahan rasmi Rekabentuk Terperinci untuk projek LCS itu berlaku pada 23 Sept lalu.
Menurut posting media sosial oleh LUNAS itu, penyerahan Rekabentuk Terperinci itu adalah langkah penting dalam menyediakan asas kepada fasa pembinaan kapal-kapal LCS dan memastikan kapal-kapal LCS itu dibina mengikut standard kualiti tertinggi dan memenuhi keperluan sebagaimana dirancang.
“Pencapaian itu (penyerahan rasmi Rekabentuk Terperinci LCS) bukan sahaja membuktikan komitmen LUNAS terhadap kecemerlangan dalam setiap fasa projek LCS itu tetapi ia juga menunjukkan kerjasama di antara LUNAS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Naval Group,” menurut kenyataan media sosial oleh LUNAS itu.
Majlis penyerahan rasmi Rekabentuk Terperinci untuk projek kapal LCS itu telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS Ir Azhar Jumaat, Pengarah Projek LCS di LUNAS Captain (R) Rosnizam Che Puteh dan Ketua Pengarah Projek LCS TLDM Laksamana Pertama Ir Ts Franklin Jayasekhar Joseph.

Selain itu majllis itu turut dihadiri, Pengarah Kejuruteraan Projek LCS TLDM Captain Ir. Malik Hj. Sulaiman dan Pengarah Program LCS Naval Group Denise Garnier.
Sebagaimana dilaporkan oleh media pada Oktober 2022, Timbalan Menteri Pertahanan pada ketika itu menyatakan bahawa Rekabentuk Terperinci (Detailed Design) kapal-kapal LCS TLDM telah siap 94 peratus.
Baki enam peratus Rekabentuk Terperinci kapal LCS milik TLDM yang masih belum siap itu hanya melibatkan rekabentuk zon-zon tidak kritikal yang terletak di atas permukaan air.
Menurutnya, rekabentuk terperinci kapal LCS yang telah siap 94 peratus itu melibatkan “critical zone” iaitu di bawah permukaan air  telah siap.
Beliau juga berkata bahawa Naval Group daripada Perancis bakal menghantar pasukan teknikalnya ke Malaysia untuk melakukan audit terhadap Rekabentuk Terperinci kapal LCS terbabit.
Kapal LCS pertama “Maharaja Lela” telah berjaya diluncurkan ke permukaan air di LUNAS pada 23 Mei lalu.
(FB LUNAS)
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peluncuran itu adalah untuk menguji kestabilan dan keutuhan kapal.
Menurutnya, kapal itu sedang dan akan menjalani proses ujian pemasangan sistem serta peralatan yang mengambil masa sehingga tahun hadapan.
“Dalam bulan Disember akan dilakukan harbour trial (ujian pelabuhan) dan selepas semua perkakas dipasang, maka akan dilakukan sea trial (ujian di laut).
“Kalau ikut perancangan, kapal yang pertama akan diserahkan kepada pihak TLDM pada bulan Ogos 2026, insya-Allah,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh media pada awal Jun lalu.
Bagi kapal LCS kedua pula, tahap kemajuan pembinaannya sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Jun lalu telah pun mencapai 64.66 peratus, LCS ketiga pula berada pada tahap 56.48 peratus, manakala LCS keempat 51.10 peratus, dan kapal LCS kelima 42.33 peratus.
Kementerian Pertahanan katanya menaruh keyakinan bahawa projek pembinaan lima kapal LCS itu dapat diserahkan kepada TLDM mengikut tempoh masa yang telah dirancangkan secara berperingkat mulai Ogos 2026. — DSA

featuredLCSLUNASTLDM
Comments (0)
Add Comment