Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Azerbaijan Mengesahkan Ia Pengguna Terkini Pesawat Pejuang JF-17 Block III

(VIDEO) Varian terkini pesawat pejuang JF-17 Block III itu telah diserahkan kepada Presiden (VIDEO) Azerbaijan Ilham Aliyev yang juga merupakan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera negara itu dalam satu majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev beberapa hari lalu.

0 6,290
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Azerbaijan secara rasminya menyatakan bahawa ia adalah negara terbaru menggunakan pesawat pejuang JF-17 Block III yang dibangunkan secara bersama oleh Pakistan dan China.
Varian terkini pesawat pejuang JF-17 Block III itu telah diserahkan kepada Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev yang juga merupakan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera negara itu dalam satu majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev beberapa hari lalu.
“Pesawat-pesawat pejuang itu (JF-17 Block III) telah pun diintergrasikan ke dalam Tentera Udara Azerbaijan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat presiden negara itu.
Pejabat Presiden Azerbaijan itu turut mengeluarkan gambar-gambar penyerahan pesawat pejuang JF-17 Block III kepada Tentera Udara Azerbaijan di lapangan terbang antarabangsa tersebut.
Presiden Azerbaijan itu turut dilihat duduk di dalam kokpit pesawat pejuang itu dan memeriksa peralatan dan komponennya.
Pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan secara bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu  Aircraft  Industry Group (CAIG).
Pada Februari lalu, Azerbaijan dilapor sedang berunding dengan Pakistan untuk memperolehi sejumlah varian terkini pesawat pejuang JF-17 “Thunder” Block III dalam perjanjian yang dianggarkan bernilai US$1.6 billion (RM7.2 billion).
Pesawat-pesawat JF-17 Block III yang diperolehi oleh Azerbaijan itu akan menggantikan pesawat pejuang MiG-29 buata Russia yang kini digunakan oleh tentera udara negara itu.
Secara geo-strategik, perolehan pesawat JF-17 Block III yang dibangunkan oleh Pakistan dan China itu merupakan kejayaan bagi Beijing dan Islamabad dalam menembusi pasaran senjata di rantau Asia Tengah yang sebelum ini didominasi oleh syarikat-syarikat senjata Russia.
Pesawat pejuang JF-17 Block III dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.
Varian terbaru pesawat pejuang JF-17 Block III itu lebih moden dan berkeupayaan kerana ia turut dilengkapi dengan teknologi pesawat pejuang generasi kelima,  J-20 dan dibangunkan sejak dua tahun lepas.

JF-17

Antara kemampuan terbaru JF-17 Block III berbanding JF-17 Block II adalah ia dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group.
Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia.
Bagi sistem persenjataan udara-ke-udara pula, pesawat JF-17 Block 3 ini akan dilengkapi dengan dua jenis peluru berpandu iaitu PL-10 yang turut digunakan oleh pesawat termoden China, J-20 “Mighty Dragon.”
Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” adalah peluru berpandu jarak dekat yang setanding dengan peluru berpandu AIM-9X buatan Amerika Syarikat.
Satu lagi peluru berpandu udara-ke-udara yang melengkapkan pesawat JF-17 Block 3 adalah “PL-15” yang memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km, memberikan kelebihan berbanding peluru berpandu udara-ke-udara dimiliki oleh pesawat-pesawat India.
Bagaimanapun laporan media pada September lalu bahawa  pesawat pejuang JF-17 “Thunder” Block III milik Tentera Udara Azerbaijan dilaporkan akan dilengkapkan dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara , Gokdogan BVRAAM dan Bozdogan WVRAAM keluaran industri pertahanan Turkiye.
Pakistan
JF-17 “Thunder”
Pesawat-pesawat pejuang JF-17 Block III itu juga akan dilengkapi dengan sistem avionik buatan syarikat-syarikat pertahanan Turkiye.
Pemilihan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara buatan Turkiye bagi digunakan oleh pesawat pejuang JF-17 Block III Tentera Udara Azerbaijan merupakan pengiktirafan terhadap kemampuan industri pertahanan negara Mediterranean itu.
Turkiye dan Azerbaijan yang mempunyai kerjasama pertahanan yang erat.
Kedua-dua peluru berpandu udara-ke-udara buatan Turkiye yang bakal melengkapi pesawat pejuang JF-17 Block III itu adalah Gokdogan BVRAAM dan juga Bozdogan WVRAAM yang dibangunkan oleh firma pertahanan negara Mediterranean itu, Tubitak Sage. — DSA

Comments
Loading...