Dassault Aviation Tingkat Produksi Pesawat Pejuang Rafale Kepada Tiga Buah Sebulan

Untuk tahun ini sahaja, syarikat Dassult Aviation daripada Perancis itu telah pun memperolehi pesanan sebanyak 18 buah pesawat pejuang Rafale, 60 pesanan pada 2023 dan 92 pesanan pada 2022.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat aeroangkasa Perancis, Dassault Aviation akan meningkatkan produksi pesawat pejuang Rafale kepada tiga buah sebulan pada 2024 daripada dua buah pesawat sebulan berikutan peningkatan permintaan daripada pelanggan.

Sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Perancis, Le Tribune, ketua pegawai eksekutif Dassault Aviation  Eric Trappier berkata, syarikatnya berkeupayaan untuk menghasilkan empat buah pesawat pejuang Rafale untuk menampung peningkatan permintaan.

“Kita sedang menuju kepada tahap kurang daripada sebuah (pesawat) pada tahun 2020, di mana ianya pada keadaan kritikal kepada  tiga (buah pesawat). Pada ketika ini kita berada pada tahap dua (buah pesawat).”

Syarikat Dassault Aviation sedang mempersiapkan kerja-kerja untuk meningkatkan produksi pesawat pejuang Rafale kepada tiga buah sebulan.

Untuk tahun ini sahaja, syarikat Dassult Aviation telah pun memperolehi pesanan sebanyak 18 buah pesawat Rafale, 60 pesanan pada 2023 dan 92 pesanan pada 2022.

“Rafale”

 

Selain peningkatan pesanan daripada negara-negara luar, syarikat Dassault Aviation juga berhadapan dengan peningkatan pesanan daripada Tentera Udara Perancis itu sendiri yang membeli lebih banyak pesawat pejuang Rafale.

Pada awal Januari lalu, Perancis mengesahkan ia akan membelanjakan sejumlah US$5.5 bilion (RM24.75 bilion) untuk memperolehi 42 buah pesawat pejuang Rafale.

Penambahan pesawat pejuang Rafale untuk Tentera Udara Perancis itu selepas wakil-wakil rakyat negara itu dilapor melahirkan kebimbangan dengan perjalanan program pembangunan pesawat pejuang generasi keenam dipanggil “Future Combat Air System” (FCAS) oleh konsortium Perancis-Jerman untuk menggantikan pesawat pejuang Rafale itu.

Pesawat pejuang generasi ke-6 itu, FCAS dijangka akan hanya berjaya melakukan penerbangan pertamanya selepas 2045 atau 2050, menurut jawatankuasa pertahanan di Senat Perancis.

Sehingga pesawat pejuang FCAS itu mula beroperasi, Perancis masih memerlukan pesawat pejuang Rafale untuk terus berkhidmat. 

Berikutan daripada “kebimbangan” tentang FCAS itu, agensi perolehan pertahanan Perancis telah memaklumkan kepada syarikat Dassault Aviation dan syarikat-syarikat pembuat komponen lain seperti Safran, Thales dan MBDA tentang pesanan terbaru bagi 42 buah pesawat pejuang Rafale itu.

Rafale milik Tentera Udara Qatar

 

Kesemua 42 buah pesawat pejuang Rafale yang baru dipesan oleh Tentera Udara Perancis itu merupakan varian F4 tetapi akan dinaiktaraf kepada varian F5 atau “Super Rafale” dengan beberapa kemampuan generasi ke-6 apabila memasuki tahun-tahun 2030-an.

Pesawat pejuang Rafala mula memasuki perkhimatan Tentera Udara Perancis dan Tentera Laut Perancis pada 2004-2006 dan telah dikerah ke Afghanistan, Libya, Mali, Iraq dan Syria.

Pesanan terbaru daripada kerajaan Perancis untuk 42 buah pesawat pejuang Rafale telah menjadikan keseluruhan pesanan terhadap pesawat pejuang itu daripada Tentera Udara Perancis pada masa ini adalah sebanyak 234 buah.

Ini termasuk pesanan untuk 12 buah Rafale pada 2021 bagi menggantikan pesawat-pesawat pejuang milik Tentera Udara Perancis yang dipindahkan kepada Greek.

Selain pesanan pesawat pejuang Rafale untuk Tentera Udara Perancis, syarikat Dassault Aviation turut menerima pesanan untuk 261 buah pesawat Rafale untuk beberapa buah negara termasuk Indonesia, India, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). — DSA

Dassault AviationfeaturedPerancisRafale
Comments (0)
Add Comment