Cerita Sebenar Bagaimana China “Beli” Kapal Pengangkut Pesawatnya Yang Pertama

China sememangnya mahukan kapal pengangkut pesawat untuk merealisasikan hasratnya menjadi sebuah kuasa maritim di Indo-Pasifik, tetapi kira-kira 30 tahun dahulu ia tidak mempunyai sebarang kepakaran mahupun teknologi untuk membinanya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Cerita mengenai bagaimana China menggunakan tipu-muslihat untuk membeli kapal pengangkut pesawatnya (aircraft carrier) yang pertama “Varyag” (kini Liaoning) daripada Ukraine memang menarik dan wajar dijadikan filem Hollywood.

China sememangnya mahukan kapal pengangkut pesawat untuk merealisasikan hasratnya menjadi sebuah kuasa maritim di Indo-Pasifik, tetapi kira-kira 30 tahun dahulu ia tidak mempunyai sebarang kepakaran mahupun teknologi untuk membinanya.

Memandangkan Beijing pada ketika itu tidak mempunyai kepakaran untuk membina kapal pengangkut pesawat, maka ia perlu mendapatkannya daripada luar tetapi China berhadapan dengan masalah besar kerana tidak ada negara yang mahu menjual aset maritim yang strategik itu kepadanya.

“Varyag” ketika ia mula-mula tiba di Dalian di China dan sebelum menjalani transformasi.

 

Bagaimanapun,kejatuhan Komunisme dan perpecahan Kesatuan Soviet telah memberikan peluang keemasan kepada China untuk memiliki kapal pengangkut pesawat.

Perpecahan Kesatuan Soviet pada 1991 itu telah mewujudkan beberapa negara baru termasuk Ukraine yang menempatkan beberapa kemudahan tentera Kesatuan Soviet yang penting termasuk limbungan kapal.

Limbungan kapal di Ukraine ini membina pelbagai jenis kapal perang untuk Tentera Laut Kesatuan Soviet, termasuklah kapal-kapal pengangkut pesawatnya.

Pada 1985, Soviet Union memulakan pembinaan sebuah kapal pengangkut pesawat kelas-Admiral Kuznetsov yang dinamakan “Varyag” (Varangian) tetapi pembinaannya terhenti pada 1992 selepas Kesatuan Soviet tumbang.

Ketika pembinaannya terhenti pada 1992, “Varyag” sudah hampir siap secara strukturnya tanpa mempunyai sebarang enjin, propeller atau sistem untuk mengoperasinya.

Sebagai sebuah negara yang baru sahaja mengecapi kemerdekaan selepas kejatuhan Komunisme dan Kesatuan Soviet, Ukraine kini tiba-tiba memiliki sebuah kapal pengangkut yang diwarisinya daripada Tentera Laut Soviet.

“Varyag” di Dalian

 

Bagaimanapun, Kiev yang bergelut dengan masalah kewangan yang serius tidak mahukan kapal pengangkut pesawat itu dan enggan meneruskan pembinaannya yang memakan belanja yang amat besar.

Buat beberapa tahun, “Varyag” tersadai di limbungan sebelum sebuah syarikat kecil dan tidak dikenali Hong Kong berjaya “menghidu” peluang yang tersedia.

Nama syarikat berpengkalan di Hong Kong itu adalah Agencia Turistica E Diversoes Chong Lot Limitada atau ringkasnya “Chong Lot” dan ia menggunakan alasan mahu membeli kapal pengangkut pesawat itu bagi menjadikannya pusat kasino terapung (floating casino) di Hong Kong.

Sesuai dengan imej Hong Kong sebagai pusat pelancongan utama Asia pada ketika itu.

Walaupun berpengkalan di Hong Kong, siasatan pelbagai pihak selepas itu menunjukkan Chong Lot sebenarnya dimiliki oleh sebuah lagi syarikat Hong Kong dikenali dengan nama Chin Luck.

Empat daripada enam pengarah syarikat tersebut tinggal di Yantai, sebuah kawasan di China yang menempatkan limbungan kapal untuk Tentera Laut China.

Dari “Varyag” (atas)  milik Kesatuan Soviet kepada “Liaoning”(bawah) dan menjadi kapal pengangkut pesawat pertama China. 

 

Pengerusi syarikat Chin Luck merupakan bekas pegawai kanan Tentera China.

Mereka mengesyaki “Chong Lot” hanya syarikat samaran untuk membolehkan pihak Tentera China membeli kapal pengangkut pesawat, “Varyag.”

Pada 1998, kerajaan Ukraine yang sedang berhadapan dengan krisis kewangan memutuskan untuk melelong “Varyag” pada harga US$20 juta (RM80 juta) dan lelongan itu telah dimenangi oleh Chong Lot.

Dikatakan Chong Lot menggunakan rasuah, penipuan dan ancaman untuk memastikan ia memenangi lelongan itu.

Fasa pertama di dalam usaha China untuk memiliki “Varyag” telah pun berjaya dan kini fasa seterusnya adalah lebih rumit, melibatkan usaha untuk membawanya balik ke Tanah Besar.

Bukan calang-calang usaha untuk membawa balik sebuah kapal pengangkut pesawat puluhan ribu tan beratnya dan tanpa sebarang enjin daripada Ukraine ke China.

Ia memerlukan perancangan yang teliti.

Pada pertengahan tahun 2000, bermulalah perjalanan sukar “Varyag” dari limbungan kapal di Ukraine ke Hong Kong kononnya untuk dijadikan sebuah pusat kasino terapung yang bakal menguntungkan pemiliknya.

Memandangkan kapal pengangkut pesawat itu tidak memiliki sebarang enjin, maka ia perlu ditunda oleh kapal-kapal lain daripada Ukraine di mana ia memulakan pelayarannya sehingga ia tiba di Hong Kong.

Ia adalah pelayaran yang sukar bagi “Varyag” yang bukan sahaja terpaksa ditunda mengelilingi separuh dunia untuk sampai ke Hong Kong, tetapi juga perlu memastikan samarannya sebagai sebuah “kasino” tidak terbongkar kepada mana-mana pihak sepanjang pelayarannya.

Akhirnya, pada 20 Februari 2002 kapal pengangkut pesawat yang dikatakan akan dijadikan “kasino terapung” dikesan memasuki perairan China, tetapi ia tidak menuju ke Hong Kong, sebaliknya “Varyag” dikesan berlabuh di Dalian yang sememangnya diketahui oleh pakar-pakar maritim Barat sebagai pusat pembinaan kapal-kapal tentera laut China.

Pada ketika ini, ramai tertanya-tanya mengapakah “kasino terapung” berada di limbungan kapal tentera laut China.

Pada 2002, pihak berkuasa Macau telah mengeluarkan lesen kasino dan nama syarikat “Chong Lot” tidak lagi wujud.

Untuk tiga tahun selepas ketibaan “Varyag” di Dalian, perisikan Barat mengesan peningkatan aktiviti di limbungan kapal itu yang membuatkan mereka mengesyaki sesuatu yang “besar” sedang berlaku di Dalian.

Pada 2005, kapal pengangkut pesawat itu telah dipindahkan ke limbungan kering (dry dock) bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dan naik-taraf dilakukan dengan intensif.

Tujuh tahun selepas itu pada 25 Sept 2012, maka munculah kapal pengangkut pesawat pertama China yang pertama dinamakan “Liaoning”, yang sebelum ini dikenali sebagai “Varyag”.

Kehadiran “Liaoning” juga menandakan ketibaan China sebagai kuasa maritim yang baru di Indo-Pasifik bagi mencabar Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Pengetahuan yang dipelajarinya daripada “Liaoning” telah digunakan dengan sebaiknya oleh China untuk membina sendiri kapal pengangkutnya yang kedua dinamakan “Shandong”, mula beroperasi pada 2019.

Walaupun rekabentuk kedua-duanya adalah hampir sama, tetapi “Shandong” adalah jauh lebih baik daripada “Liaoning” hasil daripada pengalaman dan pengetahuan ditimba daripada bekas kapal pengangkut pesawat milik Kesatuan Soviet itu.

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

“Liaoning” dan “Shandong” kini adalah lambang kekuasaan maritim China di Indo-Pasifik.

Pada Jun lepas, China telah melancarkan kapal pengangkut pesawatnya yang ketiga dinamakan “Fujian”, yang merupakan kapal pengangkut pesawat terbesar dimiliki oleh negara itu dengan berat mencecah 90,000 tan.

Menjelang 2030, kira-kira 30 tahun selepas ia membawa balik “Varyag” daripada Ukraine dalam satu misi rahsia, China bakal memiliki lima buah kapal pengangkut pesawat kesemuanya yang akan mengukuhkan lagi cengkamannya terhadap Indo-Pasifik. — DSA

Kapal pengangkut pesawat ketiga China “Fujian“, yang dibina 100 peratus dalam negara. 

 

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

 

 

 

 

 

 

ChinafeaturedKapal Pengangkut PesawatLiaoningVaryag
Comments (2)
Add Comment