China, Russia Bakal Kerah J-20 Dan Su-57 Lakukan Rondaan Bersama

Kemungkinan tentang rondaan bersama kedua-dua pesawat pejuang tercanggih China dan Russia, J-20 dan Su-57 di Indo-Pasifik itu timbul selepas kedua-dua negara "sekutu" itu melakukan rondaan bersama membabitkan pesawat pejuang dan pesawat pengebom di kawasan perairan terbabit baru-baru ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi menangani hegemoni tentera Amerika Syarikat di Indo-Pasifik, tentera China dan Russia tidak menolak kemungkinan akan mengerahkan pesawat-pesawat halimunan dan generasi kelimanya,  J-20 “Mighty Dragon” serta Su-57 untuk melakukan rondaan bersama di kawasan perairan di situ.

Media nasionalis China, Global Times menyatakan bahawa kedua-dua pesawat generasi kelima China dan Russia itu bakal dikerah untuk melakukan rondaan bersama di Laut Jepun, Laut China Timur dan Pasifik Barat.

Kemungkinan tentang rondaan bersama kedua-dua pesawat pejuang tercanggih China dan Russia, J-20 dan Su-57 di Indo-Pasifik itu timbul selepas kedua-dua negara “sekutu” itu melakukan rondaan bersama membabitkan pesawat pejuang dan pesawat pengebom di kawasan perairan terbabit baru-baru ini.

Pesawat J-20 “Mighty Dragon”

 

Beberapa hari lepas, China dan Russia mengerah pesawat-pesawat pejuang mereka seperti J-16 dan Su-30 untuk mengadakan rondaan bersama-bersama pesawat pengebom H-6K serta Tu-95MS milik kedua-dua negara.

Rondaan bersama yang telah meningkatkan ketegangan di keseluruhan rantau Indo-Pasifik itu berlaku di Laut Jepun, Laut China Timur dan Pasifik Barat, pada ketika China mengancam untuk menceroboh Taiwan manakala Presiden Jo Biden secara terangan menyatakan bahawa Washington akan menghantar tenteranya untuk mempertahankan pulau itu daripada pencerobohan Beijing.

Tidak lama selepas Beijing dan Moscow mengerah pesawat-pesawat pejuang dan pengebomnya melakukan rondaan bersama, Amerika Syarikat dan Jepun telah bertindak balas dengan turut menghantar pesawat pejuangnya.

Empat buah pesawat pejuang F-15 daripada Pangkalan Tentera Udara Jepun di Chitose dan empat buah F-16 daripada Pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat di Misawa telah dikerah melakukan rondaan bersama di Laut Jepun.

Pesawat-pesawat China dan Russia mengadakan rondaan bersama baru-baru ini

 

Kementerian Pertahanan Jepun telah membantah rondaan bersama yang dilakukan oleh pesawat-pesawat China dan Russia, walaupun Beijing mengatakan rondaan bersama itu tidak “mensasarkan” mana-mana negara ketiga.

Berikutan kehadiran lebih kerap pesawat-pesawat F-35 Amerika Syarikat di kawasan perairan di Indo-Pasifik, China bertindak balas dengan turut mengerahkan pesawat tercanggihnya, J-20 untuk melakukan rondaan di Laut China Selatan dan Laut China Timur.

Pegawai kanan Tentera Udara Amerika Syarikat sendiri mengakui bahawa pesawat pejuang F-35 miliknya telah beberapa kali “bertembung” dengan pesawat J-20 China di kawasan perairan di Indo-Pasifik.

Pesawat-pesawat pejuang J-16 dan Su-30 milik China dan Russia mengadakan rondaan bersama dengan pesawat pengebom H-6K dan Tu-95.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

Bagaimanapun “pertembungan” antara pesawat F-35 dan J-20 tidak menyebabkan apa-apa “insiden” kerana kedua-dua pihak lebih berminat untuk “memerhati” di antara satu sama lain.

Apa yang pasti kehadiran pesawat-pesawat halimunan milik China dan Russia di Indo-Pasifik bakal meningkatkan ketegangan di kawasan itu dan meningkatkan risiko “pertembungan” berbahaya di antara pesawat-pesawat negara-negara terbabit dengan pesawat Amerika Syarikat serta sekutunya. — DSA

ChinafeaturedJ-20RondaanSU-57