China Buat Persiapan Terakhir Sebelum Serang Taiwan?

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Adakah China sedang melakukan persiapan terakhir sebelum menyerang Taiwan? Menurut beberapa penganalisis, itulah yang sedang berlaku ketika ini.

China diberitakan telah meningkatkan kekuatan tenteranya di selatan negara itu termasuk memindahkan peluru berpandu hypersonik DF-17, dalam apa yang penganalisis dakwa sebagai persiapan terakhir untuk menyerang Taiwan.

Kehadiran peluru berpandu hypersonik DF-17 Hypersonic Glide Vehicle itu di pengkalan-pengkalan tentera China di selatan negara seperti di Fujian dan Zhejiang itu akan membantu negara itu menyerang lebih banyak sasaran di Taiwan.

Peluru berpandu Hypersonic DF-17 dipertontonkan buat pertama kali pada awam tahun lepas. (sumber internet)

Ini kerana menurut penganalisis tentera itu, peluru berpandu DF-17 itu mampu menyerang sasaran lebih jauh dan lebih tepat.

“Peluru berpandu hypersonik DF-17 akan menggantikan peluru-peluru berpandu DF-11 dan DF-15 yang telah berada di selatan negara sejak sekian lama. DF-17 mampu membedil sasaran lebih jauh dan lebih tepat,” kata penganalisis itu yang enggan dikenali kepada akhbar The South China Morning Post.

Peluru berpandu DF-17 yang mula membuat penampilan awam tahun lepas, mampu membedil sasaran sehingga 2,500km.

 

Peluru berpandu Hypersonic Glide Vehicle DF-17 milik China. (sumber internet)

China masih menganggap Taiwan masih sebahagian daripada wilayahnya dan memberi amaran akan merampas semula negara itu daripada pemerintah negara pulau itu.

Sementara itu ketua pengarang majalah pertahanan Kanwa Defence Review yang berpengkalan di Kanada, Andrei Chang berkata imej-imej satelit akhir-akhir ini menunjukkan China telah meningkatkan kekuatan Kor Marinnya dan unit-unit roketnya yang terletak di Fujian serta Guandong.

“Setiap briged roket di Guandong dan Fujian telah siap dipertingkatkan kekuatan mereka. Saiz pengkalan-pengkalan peluru berpandu di selatan dan timur negara itu juga telah diperbesarkan sekurang-kurangnya sekali ganda beberapa tahun ini, menunjukkan bahawa tentera China sedang mempersiapkan diri untuk berperang dengan Taiwan,” katanya.

Peta Taiwan.

 

Katanya, sebuah pengkalan tentera di Puning telah dilengkapkan dengan kemudahan peluru berpandu terbaru yang tidak didedahkan.

Pengkalan tentera di Puning itu bertanggungjawab untuk melancarkan serangan terhadap selatan Taiwan, tetapi peluru-peluru berpandu DF-11 dan DF-15 tidak mempunyai jarak yang mencukupi untuk terbang melintasi Banjaran Pergunungan Tengah untuk membedil pengkalan udara Taiwan di Taitung dan Hualien di timur pulau itu, kata Chang.

Beliau juga berkata China telah mengerahkan sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” bertujuan untuk menembak jatuh sebarang jet pejuang, UAV serta peluru berpandu Taiwan.

“Radar milik S-400 boleh mengesan sasaran sehingga 600km jauhnya dan ia mampu mengesan sebarang pesawat Taiwan sebaik sahaja ia berlepas daripada pulau itu,” katanya.

Kekuatan peluru-peluru berpandu China. (sumber Stratfor)

China juga telah mengerahkan pesawat-pesawat pejuang termasuk pesawat pejuang generasi kelimanya iaitu J-20 ke pengkalan udara di selatan negara itu.

Sementara itu, seorang sumber di Beijing memberitahu akhbar itu bahawa pasukan yang berpengakalan di Chaozhou di Guandong sejak 2017 akan memainkan peranan penting dalam sebarang usaha serangan terhadap pengkalan laut Taiwan di Kaohsiung.

Ketika meninjau sebuah pengkalan tentera marin di Chaozhou, di wilayah Guangdong beberapa hari lepas, Presiden China Xi Jinping yang juga merupakan pemerintah tertinggi tentera China mengarahkan pasukan Marin negara itu supaya bersiap-sedia untuk berperang.

“(Anda semua) perlu memfokuskan minda dan tenaga untuk bersedia bagi berperang. Anda semua harus bersedia,” kata Presiden China itu, sebagaimana dipetik oleh stesen televisyen negara, CCTV.

Hubungan antara China dengan Taiwan akhir-akhir ini berikutan tindakan negara pulau itu membuat pembelian besar-besar senjata daripada Amerika Syarikat.

China turut mengerahkan pesawat pengebom, pesawat pejuang dan pesawat pengintip serta kapal perang untuk menceroboh Zon Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

ChinaDF-17Peluru berpanduSerangTaiwan