Kereta Kebal Kebanggaan Britain “Challenger 2” Musnah Di Ukraine

Kemusnahan kali pertama kereta kebal kebanggaan Britain, “Challenger 2” di Ukraine itu telah disambut dengan gembira oleh blogger dan pemerhati pertahanan Russia yang mengibaratkannya sebagai suatu simbol “kekalahan” sistem persenjataan Barat ditangan senjata buatan Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Russia buat pertama kali dilaporkan telah berjaya memusnahkan kereta kebal “Challenger 2” yang didermakan oleh Britain kepada Ukraine baru-baru ini.

Britain dilapor membekalkan 14 buah kereta kebal “Challenger 2” kepada tentera Ukraine.

Video-video di media sosial yang telah tersebar menunjukkan kereta kebal canggih buatan Britain seberat 69 tan itu terbakar di tepi laluan di kawasan pertempuran di Robotyne, wilayah Zaphorizia di selatan Ukraine yang menyaksikan pertembungan sengit antara kedua-dua angkatan tentera.

Kereta kebal “Challenger 2” terbakar di Robotyne, selatan Ukraine.

 

Tentera Ukraine berkemungkinan besar menggunakan kereta kebal “Challenger 2” itu dalam serangan balas musim bunganya terhadap kedudukan tentera Russia.

Kesemua 14 buah kereta kebal “Challenger 2” itu dipercayai dioperasikan oleh 82nd Air Assault Brigade Tentera Ukraine, yang merupakan briged elit yang mengoperasikan kebanyakkan daripada senjata-senjata yang didermakan oleh negara-negara Barat.

Buat masa ini, punca kemusnahan kereta kebal buatan Britain itu tidak diketahui setakat ini, sama ada ia menjadi mangsa kepada bedilan kereta kebal Russia, peluru berpandu anti-kereta kebal, periuk api atau Improvised Explosive Device (IED) dipasang oleh tentera negara itu.

Namun apa yang pasti, ia adalah kemusnahan kereta kebal “Challenger 2” yang pertama di Ukraine.

Kemusnahan kereta kebal kebanggaan industri pertahanan Britain itu telah pun disahkan oleh pemantau-pemantau senjata di Ukraine seperti Ukraine Weapons Tracker dan Oryx, bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi daripada Kementerian Pertahanan Ukraine.

Setakat ini, tentera Russia telah berjaya memusnahkan kereta kebal “Leopard-2” buatan Jerman dan kini kereta kebal “Challenger-2” buatan Britain serta sistem-sistem persenjataan lain termasuk kereta perisai Bradley yang didermakan kepada oleh negara Barat kepada Ukraine.

Kereta kebal “Challenger” digunakan oleh tentera Ukraine

 

Tidak lama lagi, Ukraine akan meneriam kereta kebal “Abrams” yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat. Bagaimanakah nasib kereta kebal “Abrams” apabila berada di Ukraine kelak?

Kemusnahan kali pertama kereta kebal  “Challenger 2” di Ukraine itu telah disambut dengan gembira oleh blogger dan pemerhati pertahanan Russia yang mengibaratkannya sebagai suatu simbol “kekalahan” sistem persenjataan Barat ditangan senjata Russia.

Kereta kebal “Challenger 2” dikatakan mempunyai reputasi yang baik di medan peperangan kerana ia tidak pernah mengalami kemusnahan sebelum ini, walaupun telah beraksi di Iraq, Kosovo dan Bosnia-Herzegovina.

Sebab itulah, terdapat juga laporan menyatakan bahawa Britain telah meletakkan “syarat” yang ketat kepada Ukraine berkenaan operasi kereta kebal canggih miliknya itu.

Pada Julai lalu, laporan-laporan muncul mengatakan tentera Ukraine berhadapan dengan masalah untuk memperkenalkan kereta kebal Challenger itu ke medan peperangan, disebabkan pelbagai syarat ketat yang diletakkan oleh kerajaan British itu.

Laporan menyatakan kerajaan Britain telah meminta jaminan daripada Ukraine bahawa kereta kebal Challenger 2 itu tidak dikerah ke kawasan-kawasan pertempuran kerana bimbang ia akan ditawan oleh tentera Russia atau dimusnahkan oleh tentera musuh, sekaligus membolehkan Russia merungkil segala “rahsia” tentang kereta kebal kebanggaan Britain itu.

Awal tahun ini, akhbar British dalam laporannya menyatakan bahawa kerajaan negara telah merangka satu pelan tentang cara bagaimana hendak memindahkan kereta kebal itu daripada Ukraine sekiranya ia berhadapan dengan kemungkinan dimusnah atau ditawan oleh tentera Russia.

Challenger 2

 

Kedua-dua pihak iaitu Britiain dan Ukraine dikatakan telah merancang satu pelan tentang bagaimana untuk “menyelamatkan” kereta kebal Challenger itu daripada tentera Russia.

Britain dikatakan mahu Ukraine memberikan jaminannya bahawa kereta kebal Challenger itu akan ditempatkan di suatu lokasi yang selamat sekiranya ia berhadapan dengan ancaman Russia.

Apa yang paling membimbangkan pihak Britain adalah armor kereta kebal Challenger itu yang disifatkan sebagai satu rahsia yang perlu dikawal ketat.

Kereta kebal Challenger itu dilengkapi dengan armor komposit yang canggih, diperbuat daripada bahan-bahan seperti uranium, ceramic dan besi. 

Kebimbangan Britain tentang “rahsia-rahsia” yang bakal dicungkil oleh pihak Russia sekiranya kereta kebal Challenger itu ditawan adalah sama sebagaimana dihadapi oleh Amerika Syarikat apabila ia menghantar kereta kebal Abrams ke Ukraine tidak lama lagi.

Amerika Syarikat dikatakan telah bertindak “menanggalkan” komponen-komponen sensitif daripada kereta kebal utama M1A1 Abrams sebelum kereta kebal itu dihantar ke Ukraine untuk berhadapan dengan tentera Russia.

Washington berbuat demikian bagi mengelak komponen-komponen senstitif itu jatuh ke tangan tentera Russia sekiranya kereta kebal M1A1 Abrams itu ditawan di medan konflik di Ukraine. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

BritainChallengerfeaturedMusnahRussia
Comments (0)
Add Comment