Kewujudan “HTMS Chakri Naruebet” Jadi Bahan Jenaka Rakyat Thailand Sendiri

Pada 1992, Thailand memulakan usaha membina sebuah kapal pengangkut pesawat dianggarkan bernilai US$285 juta (RM1.14 bilion) dinamakan “HTMS Chakri Naruebet” (CVH-911) yang bermaksud Kedaulatan Dinasti Chakri. Ia adalah satu-satunya kapal pengangkut pesawat di rantau Asia Tenggara.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sekitar akhir 1980-an, Tentera Laut Thailand mahukan suatu simbol yang dapat menonjolkan kekuasaan dan kekuatan tentera laut negara Asia Tenggara itu, lalu ia memutuskan untuk memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier).

Maka pada 1992, Thailand memulakanlah usaha membina sebuah kapal pengangkut pesawat yang dianggarkan bernilai US$285 juta (RM1.14 bilion) dinamakan “HTMS Chakri Naruebet” (CVH-911) yang bermaksud Kedaulatan Dinasti Chakri. 

Kerja-kerja pembinaan HTMS Chakri Naruebet mengambil masa selama lima dan siap sepenuhnya pada 1997 bagi membolehkan Thailand muncul sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang memiliki kapal pengangkut pesawat di rantau ini.

Sudah semestinya, Thailand dan tentera laut negara itu amat berbangga untuk muncul sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara untuk memiliki kapal pengangkut pesawat, aset yang berprestij melambangan kekuatan tentera laut sesebuah negara.

Rekabentuk kapal pengangkut pesawat HTMS Chakri Naruebet milik Tentera Laut Thailand itu adalah berdasarkan kepada kapal pengangkut pesawat milik  Tentera Laut Sepanyol “Principe de Asturias” dan dibina oleh syarikat pembuat kapal Sepanyol, Bazan.

HTMS Chakri Naruebet

 

Bagaimanapun, malang menimpa negara Asia Tenggara itu kerana sebaik sahaja ia selesai membina kapal pengangkut pesawatnya itu pada 1997, Thailand sebagaimana negara-negara Asia yang lain telah dilanda masalah kewangan dan ekonomi yang serius dalam apa yang dipanggil “Krisis Kewangan Asia” (Asia Financial Crises).

Disebabkan masalah kewangan dan ekonomi serius dihadapi oleh kerajaan Thailand akibat krisis kewangan serantau itu, maka kapal “HTMS Chakri Naruebet” yang sepatutnya menjadi simbol kebanggaan negara dan tentera laut negara itu lebih banyak menghabiskan masanya di Pangkalan Laut Sattahip daripada belayar di laut.

Dengan berat mencecah 11,400 tan (full load), panjang keseluruhan kapal kebanggaan tentera laut Thailand adalah 182 meter.

Dengan “saiz” keseluruhannya itu, kapal “Chakri Naruebet” itu juga diiktiraf sebagai kapal pengangkut pesawat terkecil di dunia, jauh lebih kecil berbanding kapal-kapal pengangkut pesawat dimiliki oleh negara-negara lain walaupun tidak banyak negara di dunia memiliki kapal pengangkut pesawat.

Russia juga hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat, iaitu Admiral Kuznetsov.

Kapal pegangkut pesawat Thailand HTMS Chakri Naruebet belayar bersama kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat USS Kitty Hawk.

 

Tentera Laut Thailand enggan mengkategorikan HTMS Chakri Naruebet itu sebagai kapal pengangkut pesawat, walaupun kapal itu pada mulanya membawa sehingga sembilan buah pesawat Harrier STOL (Short Take Off and Landing).

Sebaliknya, negara Asia Tenggara itu mengkategorikan  HTMS Chakri Naruebet  sebuah “kapal pembawa helikopter.”

HTMS Chakri Naruebet boleh membawa 62 pegawai, 393 anggota dan 146 krew penerbangan bagi mengendalikan sembilan buah pesawat pejuang AV-8S (Matador) Harrier terpakai  yang diperolehinya daripada Tentera Udara Sepanyol.

Kapal pengangkut pesawat kebanggaan Thailand itu juga membawa enam buah helikopter SH-70 bagi mengangkut anggota tentera marin negara itu.

Bagaimanapun kegembiraan dan kebanggaan Tentera Laut Thailand terhadap kapal HTMS Chakri Naruebet berakhir pada 2006, apabila unit udara kapal terbabit telah dibubarkan apabila kesemua pesawat AV-8  Harrier milik Kor Marin Thailand itu ditamatkan perkhidmatannya.

Pesawat-pesawat AV-8 Harrier milik Thailand beroperasi diatas kapal HTMS Chakri Naruebet.

 

Ini membuatkan kapal pengangkut pesawat tunggal Asia Tenggara itu tidak memiliki sebarang pesawat  beroperasi di atas dek penerbangannya dan daripada saat itu bermulalah HTMS Chakri Naruebet dijadikan “bahan jenaka” rakyatnya sendiri yang tidak berpuashati dengan “pembaziran” dilakukan oleh tentera negara itu untuk memiliki kapal pengangkut pesawat.

Walaupun tanpa sebarang pesawat pejuang, kapal pengangkut pesawat tentera laut Thailand tetap menabur bakti kepada negara itu terutamanya dalam misi-misi kemanusiaan seperti menyelamatkan mangsa ketika negara itu dilanda Tsunami tidak lama dahulu.

Namun ia tidak mendiamkan rakyat Thailand yang terus mempersenda kewujudan dan fungsi  HTMS Chakri Naruebet.

Oleh kerana HTMS Chakri Naruebet itu dilihat kurang berfungsi, ia berterusan menjadi “bahan jenaka” oleh rakyat Thailand sendiri yang menyifatkan pemilikan kapal itu sebagai suatu pembaziran oleh rejim tentera negara itu.

“Kemarahan” rakyat Thailand terhadap HTMS Chakri Naruebet itu bertambah apabila mereka mengetahui bahawa kapal itu telah digunakan oleh tentera Thailand untuk membawa keluarga diraja Thailand “bersiar-siar” di sekitar perairan negara itu.

Ia menyebabkan rakyat Thailand menggelar HTMS Chakri Naruebet itu sebagai “kapal persiaran diraja”.

Terdapat juga di Thailand menggelar kapal pengangkut pesawat itu “Thai-tanic”, sebagai lawak jenaka terhadap kapal yang disifatkan sebagai tidak lebih “gajah putih” dalam armada Tentera Laut Thailand. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

ChakrifeaturedJenakaKapalThailand
Comments (0)
Add Comment