Biden Mahu Kongres Amerika Luluskan Penjualan 40 F-16 Block 70, Kit Pada Turkiye

Usaha Turkiye memperolehi 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 buah kit pemodenan pesawat pejuang itu bernilai US$20 bilion (RM90 bilion) berhadapan satu demi satu rintangan daripada Kongres Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Jo Biden dilaporkan telah menulis surat kepada Kongres negara itu meminta supaya mereka meluluskan penjualan 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 buah kit pemodenan pesawat pejuang itu kepada Turkiye yang dianggarkan bernilai US$20 bilion (RM90 bilion).

Surat itu dihantar selepas Parlimen Turkiye meluluskan meluluskan undang-undang menyokong kemasukan Sweden ke dalam NATO, sekaligus mengesahkan usaha negara Nordic itu untuk menyertai pakatan ketenteraan yang tertangguh selama 2 tahun.

Sweden akan menjadi negara anggota NATO yang ke-32.

Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan perlu protokol kemasukan Sweden ke dalam pakatan ketenteraan itu yang perlu dimaklumkan di dalam Warta Rasmi sebelum ia berkuatkuasa.

Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson menerusi akaun media sosialnya menyatakan bahawa keluluskan daripada Parlimen Turkiye itu membuatkan “Sweden kini selangkah lebih dekat untuk menjadi anggota NATO”.

Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg menyambut baik tindakan dilakukan oleh Parlimen Turkiye dan berharap langkah oleh Ankara itu akan diikuti oleh sebuah lagi negara NATO iaitu Hungary, yang masih belum memberikan persetujuan terhadap penyertaan Sweden itu.

F-16 Block 70

 

Usaha untuk menjadi anggota NATO memerlukan persetujuan daripada kesemua 31 buah negara yang mengganggotainya.

Turkiye merupakan pengguna terbesar F-16 di luar Amerika Syarikat dengan 250 buah pesawat, sebahagian besarnya dibina sendiri secara berlesen oleh industri pertahanan negara itu.

Berikutan usahanya untuk membeli 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan kit-kit pemodenan itu berhadapan pelbagai rintangan daripada kongres Amerika, Turkiye menyatakan ia bersedia mencari pesawat pejuang lain sebagai alternatif.

Pada November lalu, Turkiye memulakan perbincangan untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon selepas permohonannya untuk mendapatkan varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70 berdepan pelbagai halangan daripada Kongres Amerika Syarikat.

Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler berkata, Turkiye sedang berunding dengan Britain dan Sepanyol tentang pembelian pesawat pejuang Typhoon itu, walaupun Jerman agak keberatan untuk menjualnya kepada Ankara.

Turkiye yang merupakan anggota NATO dilaporkan mahu membeli varian terkini pesawat pejuang Typhoon dan perkara itu telah dibincangkan dalam pertemuan di antara Guler dengan rakan sejawatannya daripada Britain, Grant Schapps yang berada di ibu negara, Ankara pada November tahun lepas.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon

 

Varian terkini pesawat pejuang Typhoon dipanggil Tranche 4 dan dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”.

 Ia dikatakan adalah pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 

Pesawat pejuang Typhoon itu diperbuat oleh konsortium syarikat-syarikat Eropah yang berpangkalan di empat buah negara iaitu United Kingdom, Jerman, Itali dan Sepanyol.

Penjualan pesawat pejuang itu memerlukan persetujuan daripada keempat-empat negara Eropah yang menghasilkannya.

Turkiye mahu memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon bagi menggantikan pesawat pejuang F-4 Phantom miliknya yang telah berusia dan mesti digantikan dengan segera.

Ia perlu bertindak dengan pantas untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuangnya yang telah berusia terutamanya selepas dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 oleh Amerika Syarikat.

Ankara dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 oleh Amerika Syarikat selepas ia meneruskan hasratnya untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.

Bagi menampung keperluan bagi pesawat-pesawat pejuang moden, Turkiye telah memulakan pembangunan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri yang dipanggil “KAAN”, tetapi ia dijangka akan hanya beroperasi pada tahun 2028-2029. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

BidenF-16featuredTurkiye
Comments (0)
Add Comment