(VIDEO) Beberapa Hari Selepas “Kemunculan” F-47, China Lakukan Penerbangan Ujian Terbaru J-36

(VIDEO) Penerbangan ujian terbaru oleh pesawat pejuang J-36 itu menunjukkan persaingan terbuka dan semakin sengit di antara China dan Amerika Syarikat dalam program pembangunan pesawat pejuang generasi keenam masing-masing.
(VIDEO) Beberapa Hari Selepas “Kemunculan” F-47, China Lakukan Penerbangan Ujian Terbaru J-36
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya beberapa hari selepas Presiden Donald Trump mengumumkan program pembangunan pesawat pejuang generasi ke-enam Amerika Syarikat dinamakan F-47,  China pula telah menerbangkan pesawat pejuang generasi ke-enam miliknya, J-36 China dalam penerbangan ujiannya yang terbaru.
Penerbangan ujian terbaru oleh pesawat pejuang J-36 itu menunjukkan persaingan terbuka dan semakin sengit di antara China dan Amerika Syarikat dalam program pembangunan pesawat pejuang generasi keenam masing-masing.
Video dan gambar-gambar yang tersebar meluas di platform media sosial negara itu, Weibo menunjukkan pesawat pejuang generasi ke-enam China yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation (CAC) itu terbang rendah di kemudahan syarikat itu di Chengdu.
CAC merupakan anak syarikat kepada Aircraft Industry Corporation of China (AVIC).
Laporan oleh pemerhati menyatakan kemungkinan pesawat pejuang generasi keenam J-36 China itu sedang melakukan ujian-ujian penerbangan awalnya, sekaligus menunjukkan kemajuan di dalam teknologi aeroangkasa ketenteraan oleh Beijing.
Gambar-gambar pesawat pejuang J-36 yang dirakam ketika dalam penerbangan dan dikongsi di pelbagai platform media sosial memaparkan reka bentuk sayap delta dimiiki pesawat itu, dengan ciri-ciri yang menekankan keupayaan halimunannya daripada dikesan oleh radar, kelincahan, serta kemungkinan ia mampu terbang pada kelajuan supersonik.
Antara imej yang menarik perhatian termasuk satu menunjukkan pesawat itu sedang mendaki dengan curam dari sudut belakang, manakala satu lagi merakamnya dalam penerbangan mendatar dengan gear pendaratan masih terkeluar.
 Gambar-gambar ini telah mencetuskan minat yang mendalam dalam kalangan penganalisis pertahanan dan peminat dunia penerbangan.
Prototaip pesawat pejuang generasi keenam China itu telah melakukan penerbangan sulungnya pada 26 Disember 2024.
Pesawat pejuang  J-36 dikategorikan sebagai pesawat pejuang berat pelbagai peranan.
Para penganalisis meramalkan pesawat pejuang J-36  berkemampuan mencapai kelajuan maksimum sehingga 2,900 kilometer sejam pada ketinggian 11,500 meter, selain boleh melakukan penerbangan supersonik pada kelajuan sekitar 2,100 hingga 2,200 kilometer sejam. 
J-36 dilaporkan mampu mencapai ketinggian operasi maksimum antara 20,000 hingga 21,000 meter,manakala daripada segi keupayaan persenjataan, J-36 mampu membawa beban tempur antara 10 hingga 13 tan.
Laporan terkini menunjukkan bahawa pesawat pejuang J-36 bakal dilengkapi avionik berasaskan kecerdasan buatan (AI), sensor canggih serta keupayaan untuk beroperasi bersama dron, sejajar dengan trend global pesawat pejuang generasi keenam.
J-36
Dengan ciri-ciri ini, J-36 bakal menjadi pesaing utama kepada pesawat pejuang generasi keenam Amerika Syarikat F-47 yang diumumkan oleh Presiden Trump beberapa hari lepas, program Next Generation Air Dominance (NGAD) Amerika Syarikat serta projek Global Combat Air Programme (GCAP) dan Future Combat Air System (FCAS) di Eropah.
Beberapa hari lalu, Presiden Trump mengumumkan bahawa  Boeing dianugerahkan kontrak bernilai US$20 billion (RM88 billion) untuk membina pesawat pejuang generasi ke-enam negara itu dinamakan F-47.
Pesawat pejuang F-47 dianggarkan bernilai melebihi US$300 juta (RM1.3 billion) seunit apabila ia mula memasuki peringkat produksi.
Presiden Donald Trump yang mengumumkan perkara itu, menyatakan bahawa pesawat pejuang experimental generasi ke-enam dibina oleh Boeing itu telah terbang dan menjalani pelbagai ujian secara rahsia selama lima tahun lalu.
“Versi eksperimen pesawat ini sebenarnya telah menjalani ujian penerbangan secara rahsia sejak hampir lima tahun lalu. Kami yakin keupayaannya jauh mengatasi mana-mana negara lain di dunia,” kata beliau.
Presiden Trump juga berkata bahawa bahawa pesawat pejuang generasi ke-enam F-47 itu akan mempunyai keupayaan untuk beroperasi bersama pesawat tanpa pemandu (UAV), selari dengan tumpuan utama ketenteraan masa kini — khususnya selepas Amerika Syarikat menyaksikan bagaimana Ukraine dan Russia menggunakan  dron secara berkesan untuk melancarkan serangan jarak jauh serta mengatur serangan berkelompok bagi melemahkan sistem pertahanan udara.
Pesawat pejuang generasi keenam China, J-36
J-36
“Pesawat ini akan terbang bersama dron. Ia boleh beroperasi dengan banyak dron, sebanyak mana yang diperlukan,” kata Trump.
“Ini merupakan teknologi baharu, namun ia tidak terbang bersendirian — ia bergerak bersama sejumlah besar dron, sebanyak mana yang anda mahukan — dan ini adalah keupayaan yang tiada pada mana-mana pesawat lain.”
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth pula berkata bahawa F-47 akan menjadi pesawat pejuang paling canggih, paling berbahaya dan paling serba boleh yang pernah wujud di dunia.
“Ia mampu terbang lebih pantas, bergerak lebih lincah dan mengatasi mana-mana musuh yang berani mencabar kami. Kami tidak mengambil mudah keunggulan udara (air superiority). Ia dipertahankan melalui pelaburan yang dirancang rapi, inovasi berterusan, serta daya cipta luar biasa rakyat Amerika, “ kata Hegseth.
Pesawat pejuang generasi ke-enam F-47 yang akan dibina oleh syarikat Boeing itu akan menggantikan pesawat pejuang generasi kelima F-22 Raptor dibina oleh syarikat Lockheed Martin yang digunakan oleh Amerika Syarikat pada ketika ini.
— DEFENCE SECURITY ASIA

CACChinaF-47J-36Trump
Comments (0)
Add Comment