Bangladesh Secara “Rasmi” Nyatakan Minat Terhadap Pesawat Pejuang JF-17 Thunder ??

Pegawai-pegawai kanan tentera Bangladesh yang sedang dalam lawatan di Pakistan telah secara spesifik menunjukkan minat terhadap pesawat pejuang JF-17, sehingga menimbulkan spekulasi hebat mendakwa Tentera Udara Bangladesh sememangnya mahu memperolehi pesawat pejuang itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bangladesh dilaporkan telah secara “rasmi” menyatakan  minatnya terhadap pesawat pejuang buatan Pakistan dan China, JF-17 “Thunder” untuk memodenkan tentera udara negara Asia Selatan.
Semasa lawatan ke Pakistan pada 15 Januari lalu, delegasi pegawai-pegawai kanan tentera Bangladesh telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap sistem pertahanan canggih yang dihasilkan oleh industri pertahanan Pakistan, menurut laporan media negara itu Express Tribune.
Delegasi pegawai-pegawai kanan tentera Bangladesh yang diketuai oleh Lt Jen SM Qamarul Hassan itu turut mengadakan pertemuan dengan panglima Tentera Udara Pakistan Air Chief Marshall Zaheer Ahmad Babar di Air Headquarters, Islamabad.
Kedua-dua pihak membincangkan usaha untuk menjalin kerjasama di antara kedua-dua angkatan tentera terutamanya melibatkan tentera udara.
Menurut laporan media tempatan Pakistan itu, pegawai kanan tentera Bangladesh itu memuji kecanggihan sistem-sistem pertahanan yang dihasilkan oleh industri pertahanan Pakistan.
Pesawat pejuang JF-17 “Thunder” Tentera Udara Pakistan
Lt Jen SM Qamarul Hassan itu spesifiknya telah menunjukkan minat terhadap pesawat pejuang JF-17, sehingga menimbulkan spekulasi hebat mendakwa bahawa Tentera Udara Bangladesh amat sememangnya mahu memperolehi pesawat pejuang itu.
Laporan media menyatakan bahawa ini berkemungkinan merupakan petanda pertama daripada Bangladesh tentang “minatnya” terhadap pesawat pejuang J-17.
Tentera Udara Bangladesh sememangnya memerlukan pesawat pejuang moden untuk meningkatkan kemampuannya dan mengelak daripada terus bergantung dengan pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia ketika ini seperti F-7 dan MiG-29.
Laporan juga menyatakan bahawa usaha mendapatkan alat-alat ganti bagi pesawat pejuang MiG-29 buatan Russia disebabkan sekatan ekonomi dan ketenteraan yang dikenakan terhadap Moscow akibat konflik dengan Ukraine.
Baru-baru ini, media melaporakan kemungkinan Bangladesh menjadi negara kedua di rantau Asia Selatan selepas Pakistan untuk memperolehi pesawat pejuang buatan China, selepas Dhaka dikatakan berminat untuk memperolehi pesawat pejuang generasi 4.5 J-10C.
Media-media tempatan negara itu menyatakan bahawa Tentera Udara Bangladesh berminat untuk memperolehi sebanyak 16 buah pesawat pejuang J-10C itu.
JF-17 “Thunder”
Panglima Tentera Udara Bangladesh Marshal Udara Hasan Mahmud Khan dilaporkan berkata bahawa negara itu perlu meningkatkan kemampuan tentera udaranya.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memperoleh pesawat pejuang pejuang dan helikopter penyerang,” menurut beliau, sebagaimana dipetik oleh media tempatan tentang minat Tentera Udara Bangladesh untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C.
Pada Ogos tahun lepas, laporan media menyatakan bahawa China menawarkan pesawat pejuang J-10C kepada Bangladesh untuk menggantikan pesawat pejuang berusia F-7 miliknya yang turut dibekalkan oleh China.
Pesawat pejuang JF-17 dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu  Aircraft  Industry Group (CAIG) daripada China.
Varian terkini pesawat pejuang JF-17 iaitu Block III dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.
Antara kemampuan terbaru JF-17 Block III berbanding JF-17 Block 2 adalah pesawat varian termaju JF-17  Block 3 itu dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group. 
Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia.
Radar N011 “Snow Leopard” passive phased array yang digunakan oleh pesawat Su-30MKI India juga jauh ketinggalan berbanding radar yang digunakan oleh pesawat JF-17 Block 3, sebagaimana didakwa oleh pakar pertahanan China.
J-10CE
Varian terbaru pesawat JF-17 Block 3 itu juga menggunakan Wide-Angle Holographic Head-Up Display sebagaimana yang digunakan oleh pesawat generasi ke-lima China, J-20 “Mighty Dragon.”
Peningkatan keupayaan varian terbaru pesawat JF-17 Block 3 juga menyaksikan ia dilengkapi dengan Infra Red Missile Approach Warning System, sistem sensor yang terletak di intake udara pesawat sama seperti yang digunakan oleh pesawat J-10C milik China.
Bagi sistem persenjataan udara-ke-udara pula, pesawat JF-17 Block 3 ini akan dilengkapi dengan dua jenis peluru berpandu iaitu PL-10 yang turut digunakan oleh pesawat termoden China, J-20 “Mighty Dragon.”
Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” adalah peluru berpandu jarak dekat yang setanding dengan peluru berpandu AIM-9X buatan Amerika Syarikat.
Satu lagi peluru berpandu udara-ke-udara yang melengkapkan pesawat JF-17 Block 3 adalah “PL-15” yang memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km, memberikan kelebihan berbanding peluru berpandu udara-ke-udara dimiliki oleh pesawat-pesawat India. – DEFENCE SECURITY ASIA

BangladeshChinaJF-17Pakistan
Comments (0)
Add Comment