(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penggunaan taktik peperangan udara yang baru oleh tentera Russia telah dikenalpasti sebagai antara sebab di sebalik kejayaan negara itu dalam menembak jatuh sejumlah besar pesawat pejuang milik tentera udara Ukraine baru-baru ini.
Ketika bertemu dengan anggota tentera negara daripada Vostok Group of Force baru-baru ini, Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoigu itu menyatakan bahawa sebanyak 24 buah pesawat, helikopter dan dron Ukraine berjaya ditembak jatuh dalam tempoh lima hari.
Penganalisis pertahanan antarabangsa menyatakan kejayaan besar sistem pertahanan udara Russia di Ukraine akhir-akhir ini antaranya disebabkan integrasi operasi di antara pesawat Airborne Warning and Control System (AWACS) A-50 dengan sistem pertahanan udara terutamanya S-400 “Triumf.”
“Sistem pertahanan udara S-400 telah dilancarkan terhadap sasaran pada jarak yang maksimum menggunakan maklumat dan data yang ditransmisi oleh pesawat AWACS A-50 itu. Ia memberikan sistem pertahanan udara itu kemampuan untuk beroperasi pada tahap dan jarak yang maksimum,” kata penganalisis itu.
Sementara itu agensi berita TASS milik kerajaan Russia pula berkata, sistem pertahanan udara S-400 itu telah berganding-bahu dengan pesawat AWACS A-50 dalam operasi ketenteraan khas di Ukraine pada ketika ini.
“Ketika operasi ketenteraan khas, tentera Russia telah menggunakan sistem pertahanan udara S-400 bersama-sama pesawat AWACS A-50 yang dilengkapkan dengan radar jarak jauh, yang memastikan kejayaan sistem pertahanaan udara S-400 itu terhadap misinya, “ kata agensi berita itu.
Seorang lagi penganalisis pertahanan pula menyatakan bahawa segala data dan maklumat daripada pesawat AWACS A-50 itu telah diberikan kepada sistem pertahanan udara S-400 secara terus, memastikan sasaran sama ada pesawat dan helikopter tidak menyedari bahawa ia sedang dijejaki dan ditangani.
Sistem pertahanan udara S-400 menggunakan radar pengawasan dan penjejakan canggih yang menghasilkan frekuensi yang kuat, sekaligus mengaktifkan alat Radar Warning Receiver (RWR) yang dipasang pada pesawat-pesawat.
Penggunaan radar berkuasa tinggi milik S-400 itu boleh mendedahkan kedudukannya kepada pihak musuh dan ia sudah pasti membahayakannya kerana ia bakal berhadapan dengan serangan oleh pesawat pejuang Ukraine.
Apa yang terjadi kini menerusi aplikasi taktik peperangan udara yang baru oleh Russia, tugas mengesan pesawat musuh kini dikendalikan oleh radar jarak jauh milik pesawat AWACS A-50 dan segala maklumat dan data disalurkan kepada S-400.
Sistem pertahanan udara S-400 pula menggunakan radarnya dalam keadaan “war reserve mode” atau “training frequency” yang menyembunyikan data-data pentingnya yang membolehkan pihak musuh menganalisis ciri-ciri frekuensi radarnya.
Penganalisis pertahanan menyatakan bahawa sistem pertahanan udara S-400 itu berkemungkinan menggunakan peluru berpandu 40N6E yang mampu membedil sasaran sejauh 400km jaraknya.
Baru-baru ini, sistem pertahanan udara milik tentera Russia dilaporkan telah berjaya menembak jatuh tujuh buah pesawat pejuang MiG-29 Ukraine hanya di dalam tempoh 24 jam.
Sekiranya kenyataan yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan Russia itu terbukti benar, ia adalah suatu “berita yang amat buruk” kepada tentera Ukraine, memandangkan negara itu mempunyai jumlah pesawat pejuang yang sedikit.
“Hanya di dalam tempoh 24 jam, sejumlah tujuh buah pesawat pejuang MiG-29 tentera Ukraine telah ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Russia,” menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Russia sebagaimana dipetik oleh agensi berita negara itu, RIA Novosti.
Pihak Kementerian Pertahanan Russia tidak memberikan keterangan lanjut tentang dakwaan itu, namun pemerhati pertahanan menyatakan bahawa pesawat-pesawat MiG-29 Ukraine itu berkemungkinan besar telah menjadi mangsa kepada “serangan hendap” sistem pertahanan udara Russia. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com