Pasukan Khas ATM Pamer Ketangkasan Dalam Latihan Kolektif

Latihan dilaksanakan oleh Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP) menjurus kepada serangan ke atas sasaran menggunakan kaedah serangan dirancang (Deliberate Action) dan juga serangan serta merta (Immediate Action).

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP) telah mengadakan latihan kolektif yang melibatkan anggota tempur First Responder Group (FRG) ATM terdiri daripada pasukan khas tiga perkhidmatan bersama pasukan bantuan tempur ATM.

Latihan yang dilaksanakan menjurus kepada serangan ke atas sasaran menggunakan kaedah serangan dirancang (Deliberate Action) dan juga serangan serta merta (Immediate Action).

Di dalam latihan ini,  BOPKP telah menggunakan doktrin pengoperasian pasukan khas bersama anjing perang di dalam setiap penugasan secara maksimum.

Konsep penggunaan anjing perang di dalam operasi pasukan khas telah lama dipraktiskan oleh pasukan khas luar negara,

Cawangan Serigala, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) telah mengaturgerak anjing perang daripada jenis Guard Dog, Tracking Dog dan Explosive Detection Dog (EDD) bersama handler terlatih untuk ditumpangkan ke BOPKP semasa latihan diperingkat kolektif bagi melaksanakan latihan bersama dengan Tim Tempur BOPKP.

Anjing yang terlibat di dalam pengoperasian BOPKP adalah dari baka German Shepherd, Belgian Shepherd, Rottweiler, Labrador, Border Collie dan Pointer.

Penggunaan anjing daripada jenis Guard Dog yang dijadikan sebagai Attack Dog semasa serbuan dan penggeledahan di sasaran dilihat cukup praktikal dalam meningkatkan keupayaan Tim Tempur BOPKP di sasaran.

Manakala Tracking Dog pula akan digunakan sekiranya terdapat musuh yang berjaya melarikan diri semasa serangan dilaksanakan.

Anjing EDD akan digunakan untuk memastikan tiada bahan letupan atau Improvise Explosive Device (IED) yang berkemungkinan dipasang oleh pihak musuh di sasaran.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Gabungan kemahiran dan kepakaran anggota pasukan khas tiga perkhidmatan bersama anjing perang dan handler yang cukup terlatih daripada Cawangan Anjing Perang PULADA ini membolehkan BOPKP dapat melaksanakan penugasan dengan lebih efisen, efektif dan komprehensif dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman yang semakin kompleks.

Disediakan Oleh: Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan ATM

 

ATMBOPKPfeaturedPasukan Khas
Comments (0)
Add Comment